Wednesday 29 February 2012

Teori Motivasi

Definisi
Motivasi merupakan satu penggerak dari dalam hati seseorang untuk melakukan atau inginkan mencapai sesuatu matlamat.  Motivasi boleh juga dikatakan sebagai rancangan atau kehendak untuk menuju kejayaan dan mengelakkan daripada kegagalan hidup. Dengan kata lain, motivasi adalah proses menghasilkan tenaga oleh keperluan yang diarahkan untuk mencapai sesuatu matlamat. Seseorang yang mempunyai motivasi bermakna ia telah memperolehi kekuatan untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan. Dalam satu-satu kelompok kumpulan, motivasi menjadi penggerak kepada kejayaan kumpulan.  Dengan adanya motivasi, maka wujudlah kerjasama, sifat suka tolong-menolong antara satu sama lain.

Motivasi merupakan kesan daripada interaksi seseorang dengan situasi tertentu yang dihadapi. Menurut Robbins (2001) menyatakan definisi motivasi ialah kesediaan untuk mengeluarkan tingkat upaya yang tinggi untuk tujuan organisasi yang dikondisikan oleh kemampuan upaya itu untuk memenuhi beberapa keperluan individu.

Selain itu, motivasi juga boleh didefinisikan sebagai kekuatan psikologi yang menentukan arah perilaku seseorang dalam organisasi, tahap kemampuan seseorang, dan tahap keteguhan seseorang individu dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Teori motivasi adalah berdasarkan kepada keperluan yang ada untuk digunakan sebagai pedoman bagi sesuatu pengurusan organisasi untuk menentukan faktor-faktor motivasi yang menyumbang terhadap cara dikehendaki untuk pengurus. Hal ini kerana mereka cukup berkemampuan untuk mempertimbangkan keunikan daripada pekerja sendiri dan persekitaran khusus di mana sesuatu organisasi beroperasi.

Motivasi memainkan peranan yang sangat penting dalam bidang pendidikan.  Guru dan murid memerlukan motivasi untuk mengerakkan dirinya untuk mencapai kualiti kerja atau kejayaan yang lebih cemerlang.  Di sini motivasi boleh ditakrifkan sebagai kebolehan atau persetujuan yang dilaburkan untuk mengembangkan tenaga demi mencapai matlamat atau juga penghargaan.  Oleh yang demikian motivasi adalah merupakan keadaan apabila keperluan manusia itu dipenuhi dengan diberi ganjaran dan sesuatu status yang baik.  Selaras daripada itu, mereka akan bekerja dengan lebih baik kerana tiada lagi kebimbangan, rasa selamat dan kehidupan yang terjamin telah tersedia untuk mereka. 

Begitu juga dengan kepuasan, jika seseorang itu diberi motivasi, maka secara tidak langsung kehendak mereka telah dipenuhi. Sekiranya kehendak dan kemahuan dipenuhi, maka seseorang itu boleh memberikan suatu kepuasan yang tidak terhingga pada diri mereka.  Pada masa yang sama guru juga menjadi “motivator” kepada pelajar-pelajarnya untuk berjaya dalam kehidupan mereka.  Seorang guru yang baik mesti mempunyai motivasi yang dinamik, cekap dan sentiasa berusaha untuk memajukan serta meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.  Guru yang bermotivasi juga mempunyai tenaga untuk menjadi penggerak kepada pelajar-pelajarnya.

Pelajar yang bermotivasi ialah pelajar yang mempunyai minat untuk belajar bagi mencapai matlamatnya.  Mereka akan mendengar dan memberikan perhatian sepenuhnya kepada pelajarannya.  Mereka aktif di dalam dan di luar kelas, mudah bertindak dan sedia menerima teguran dan arahan guru.  Mereka boleh berdikari dan suka memberikan pandangan dan pendapat dalam kelas.  Pelajar-pelajar seperti ini mempunyai penggerak dalam dirinya untuk mencapai kecemerlangan akademik dan juga dalam hidup keseluruhannya.  Oleh itu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di sekolah boleh dicapai melalui guru dan pelajar yang sentiasa bermotivasi.

Ahli-ahli psikologi berpendapat bahawa tingkah laku manusia boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor.  Adakalanya manusia bertindak berdasarkan perasaan dan nalurinya sendiri dan juga kadang-kala dipengaruhi oleh persekitaran sekeliling.  Melalui apa cara pun, manusia bertindak untuk mencapai sesuatu matlamat dan ia akan mencari jalan yang paling mudah untuk mancapai matlamat tersebut.  Apa yang mendorong manusia bertindak untuk sesuatu tujuan itu ialah apa yang dinamakan “motivasi”  Untuk memahami dengan lebih mendalam tentang tindakan manusia ini kita perlulah mengkaji beberapa teori yang berkaitan.  Jadi teori yang akan diketengahkan di sini ialah tentang teori motivasi “Maslow” yang diasaskan oleh Abraham Maslow.

Maslow menganggap motivasi sebagai sesuatu yang kompleks, di mana tingkah laku luaran yang diperlihatkan oleh manusia. Beliau juga menganggap, individu akan terus bermotivasi oleh kerana sesuatu matlamat. Matlamat ini dianggap sebagai keperluan yang perlu dipenuhi oleh semua manusia tanpa mengambil kira budaya, persekitaran dan perbezaan generasi.

Personaliti yang dibincangkan oleh Maslow lebih kepada keperluan individu. Maslow sering mengaitkan perkembangan personaliti dengan motivasi. Motivasi lahir daripada keperluan yang diperolehi oleh setiap individu. Maslow berpendapat sebilangan keperluan dalaman yang menggerak serta mengarahkan pelakuan yang dipamerkan oleh individu. Keperluan yang ditunjukkan oleh Maslow boleh dilihat dalam bentuk hierarki.

Struktur dan fungsi di dalam badan organisme mempunyai keperluan yang tertentu.  Telah diakui bahawa manusia sebagai makhluk yang paling tinggi mempunyai keperluan yang kompleks.   Berdasarkan Atan Long ( 1976 : 131 ), Maslow (1954) telah menjelaskan bahawa keperluan-keperluan manusia itu berperingkat-peringkat.  Sesuatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperolehi sebelum keperluan yang lebih rendah peringkatnya dipenuhi terlebih dahulu.  Pada peringkat yang paling asas terdapat keperluan hayat ataupun keperluan fisiologi.  Setelah keperluan ini dipenuhi baharulah keperluan keselamatan, diikuti keperluan kasih-sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri dan peringkat tertinggi atau puncak bagi keperluan manusia adalah peringkat keperluan bagi penyempurnaan kendiri. 

Keperluan Fisiologi
Mengikut teori Maslow, peringkat ini merupakan keperluan yang paling asas. Keperluan ini adalah penting bagi kehidupan sesuatu organisme, apatah lagi manusia. Keperluan asas ini merangkumi apa yang diperlukan untuk diri atau fizikal seseorang seperti keperluan mendapatkan makanan, minuman dan tempat tinggal. Membicarakan teori motivasi Maslow dalam konteks pendidikan, pelajar-pelajar yang mendapat kurang makanan tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pelajaran mereka. Ini kerana kesan daripada kekurangan keperluan ini akan mengakibatkan kesihatan pelajar terganggu atau terjejas.

Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, para guru sepatutnya memberikan perhatian dan mengambil berat kepada tanda-tanda yang menunjukkan apa-apa kekurangan dari segi fizikal pelajar itu. Sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi pelajar akan kurang bermotivasi atau berminat terhadap pelajaran. Secara amnya, keperluan fisiologi merupakan keperluan manusia yang paling asas untuk hidup. Manusia perlukan udara, air, makanan dan tempat tinggal bagi memenuhi kehendak pertama dan utama ini. Pada masa ini, keperluan lain tidak sama sekali menjadi tumpuan selagi kehendak asas ini dipenuhi.

Keperluan Keselamatan
Setelah keperluan ini dicapai, manusia akan mencari keselamatan hidup, kestabilan kerja, jagaan masyarakat, undang-undang serta membebaskan diri daripada ancaman luaran mahupun dalaman. Tahap keselamatan ini amat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan hidup. Telah menjadi lumrah setiap yang bernyawa, aspek keselamatan amat penting dalam hidup. Demikianlah tiap-tiap individu memerlukan keperluan ini tetapi dengan kekuatan yang berbeza-beza..

Ada individu yang kurang mempunyai keperluan ini dan menjadikannya lebih gemar bersendirian, tetapi ada individu yang mempunyai keperluan ini dengan kuatnya sehingga menjadikannya bergantung di dalam banyak hal kepada orang lain. Keperluan ini boleh jadi timbul daripada keadaan anak-anak kecil yang tidak dapat hidup dengan sendirinya dan memaksa ia bergantung kepada orang dewasa terutama ibu bapa untuk mendapatkan keperluan ini agar ia sentiasa dilindungi. Sebagai contoh semasa dalam kesakitan seorang kanak-kanak amat memerlukan jagaan ibu bapa. Sikap kepekaan dan keprihatinan seorang ibu atau bapa yang bertanggungjawab diharapkan demi menjaga keselamatannya dan hasil penyelidikan yang dibuat oleh Harlow dan Zimmerman (1958) berdasarkan kajiannya turut menunjukkan betapa pentingnya perdampingan dan sentuhan orang dewasa kepada seseorang kanak-kanak.

Dalam konteks pendidikan, keperluan keselamatan ini penting bagi menjamin keselamatan murid ketika berada dalam kawasan sekolah. Para guru berperanan mengawalselia segala perlakuan murid supaya tindakan mereka terkawal semasa berada dalam jagaan guru-guru tersebut.

Keperluan Kasih Sayang dan Kepunyaan
Berdasarkan Teori Maslow, turut diperlukan keperluan ini untuk mendapatkan hubungan yang mesra, kasih-sayang, dan perasaan diri. Kebiasaan yang berlaku di dalam kelas, pelajar kadang-kadang akan berasa terganggu apabila terjadi perkelahian atau perbalahan antara satu sama lain. Mereka berasakan diri dan emosi mereka berada di dalam keadaan yang tidak stabil menyebabkan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap proses pembelajaran mereka. Keadaan ini akan menjadi lebih kritikal dan tegang jikalau mereka dimarahi pula oleh guru dan dikenakan denda. Situasi ini akan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pelajar terbabit dan merasakan diri mereka seolah-olah tidak disukai, dihargai, atau tidak dipedulikan oleh guru mahupun kawan-kawan.

Ekoran daripada itu keinginan, minat, juga kehendak atau motivasi mereka untuk belajar akan pudar dan lenyap.  Dalam memenuhkan keperluan kasih sayang pula, manusia perlukan hubungan dengan insan lain. Kita semua pada asasnya ialah haiwan yang bersosial, iaitu kita perlukan kasih sayang daripada orang lain. Oleh itu manusia ini sememangnya tidak boleh wujud bersendirian.

Keperluan Penghargaan Kendiri
Tahap seterusnya adalah kehendak untuk penghargaan kendiri. Kita mahu berkuasa, sekurang-kurangnya ke atas diri kita sendiri. Pada masa yang sama, kita juga perlukan kekuatan, kebolehan, kepakaran serta kebebasan.

Seterusnya manusia ingin dihormati, disanjungi dan kehendak status dalam hidup. Satu unsur besar dalam pembinaan konsep kendiri adalah penerimaan. Penerimaan oleh keluarga, guru dan rakan sebaya amatlah penting. Penerimaan bermaksud menghargai sifat-sifat istimewa individu sebagai manusia unik yang bebeza dengan individu lain dari segi sikap, pengetahuan dan kemahiran. Penerimaan bererti memberi peluang kepada individu belajar menerima diri mereka sendiri. Penerimaan rakan sebaya penting supaya mereka tidak merasa tersingkir. Murid yang diterima kerap kali memperolehi prestasi akademik yang tinggi berbanding individu yang tidak diterima rakan sebaya. Murid yang diterima merasai diri mereka dihargai, dikasihi dan bernilai. Oleh itu mereka dapat berinteraksi secara positif membincangkan masalah pembelajaran dalam kumpulan.Guru perlu menyediakan aktivviti seperti projek-projek bagi setiaap murid supaya mereka dapat berdamping dan mendampingi murid yang lain.

Setiap individu memerlukan penilaian yang tinggi dan stabil tentang diri mereka. Bagi memenuhi kehendak atau membolehkan perkara ini berlaku, terlebih dahulu seseorang itu perlu menghormati dirinya sendiri dan berusaha pula menjadikan dirinya dihargai oleh orang lain. Faktor yang penting ialah keperluan ini dapat dipenuhi apabila seseorang itu mempunyai keyakinan diri dan kebebasan, juga pengiktirafan, perhatian, dan penilaian diri orang lain. Konsep ego seseorang itu berkait rapat dengan perasaan penghargaan diri.

Berdasarkan Saedah, Zainun, dan Tunku Mohani (1996) mengungkap kata-kata Kubiniec (1970), ‘Orang yang mempunyai konsep diri yang kuat lebih berkemungkinan mencapai kejayaan akademik’. Ini bertepatan sekali jika dihubungkaitkan dengan diri seseorang pelajar itu. Rasa ingin tahu mempunyai pertalian yang erat untuk memenuhi kehendak ini. Rasa ingin tahu ini juga akan menggerakkan pelajar tersebut mendapatkan pengetahuan dan pengalaman yang menarik perhatian mereka.

Keperluan Kesempurnaan Kendiri
Konsep kesempurnaan kendiri adalah pengertian atau kefahaman seseorang terhadap dirinya sebagai individu yang asing yang memiliki satu ciri-ciri yang unik atau istimewa (Shaffer,1985). Ia membawa maksud bagaiman seseorang individu itu berpendapat dan menganggap dirinya.Penyempurnaan kendiri pula bermaksud apa yang seseorang itu boleh jadi, ia mesti jadi, iaitu potensinya dilahirkan. Anggapan dan pendapat itu adalah berasaskan kepekaan dan kesedaran tentang kekuatan dan kelemahannya.Kesedaran itu pula lahir daripada maklum balas, gerakbalas atau preaksi individu lain disepanjang pergaulan, sosialisasi atau interaksi dengan individu lain.

Cohen (1959) menjelaskan bahawa orang yang mempunyai konsep kendiri yang tinggi dikonsepsikan sebagai orang yang menyukai atau menghargai dirinya dengan melihat dirinya berkebolehan dalam hubungan dengan dunia luar. Manakala mereka yang mempunyai konsep kendiri yang rendah pula melihat dirinya sebagai orang yang membenci dan tidak menghargai dirinya. Iaitu seseorang yang tidak berkebolehan untuk berhubung secara berkesan dengaan persekitarannya.

Peringkat penyempurnaan kendiri ini adalah peringkat yang paling tinggi dan hanya diperolehi apabila semua keperluan peringkat bawah itu telah dipenuhi. Demikian pula mengikut Atan Long (1976) daripada Maslow (1970), keperluan untuk penyempurnaan kendiri itu adalah keperluan yang menjadi kemuncak atau yang tertinggi di dalam peringkat sistem keperluan manusia. Keperluan ini hanya dapat dicapai setelah seseorang itu memenuhkan keperluan lain yang terdapat pada peringkat yang lebih bawah di dalam sistem keperluan tadi. Menurutnya lagi, keperluan penyempurnaan diri ini merupakan pemenuhan keseluruhan keperluan manusia.

Ini bermakna seseorang yang telah mencapai peringkat ini telah dapat memenuhi keperluan untuk mendapatkan keindahan dan estetika. Ia telah dapat dengan sepenuhnya akan makna hidup dan menerima keadaan dirinya dan orang lain serta merasakan gembira tentang nikmat hidup dan telah menggunakan kebolehannya dengan semaksimanya.

Akhir sekali usaha manusia yang teragung adalah untuk mencapai kesempurnaan kendiri. Semua tahap kehendak sebelum ini perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang itu inginkan kesempurnaan kendiri.

Pengaruh teori motivasi terhadap prestasi individu dalam sesebuah organisasi.
Motivasi penting dalam kehidupan kita seharian. Memotivasikan diri sendiri adalah tenaga yang mengangkat diri ke tahap yang diingini. Orang yang benar-benar berjaya sentiasa sedar tanggungjawabnya dalam memotivasikan diri sendiri. Dia akan memulakan daripada dirinya sendiri, kerana dialah yang memiliki kunci penggerak dirinya. Mustahil bagi memotivasikan diri orang lain sebelum kita belajar memotivasikan diri sendiri. Alasan yang sering menyebabkan kegagalan seseorang itu adalah kerana mengabaikan tenaga motivasi dalam diri sendiri.

Peluang berada di mana-mana bagi orang yang mengerti dan menggunakan motivasi diri sendiri dan orang yang bermotivasi melibatkan diri sendiri manakala orang biasa hanya berjanji. Pada asasnya, apa yang kita peroleh daripada hidup ini bergantung pada bagaimana kita menyesuaikan apa yang kita mahu dengan motivasi diri sendiri. Tenaga motivasi diri datang daripada satu tindakan rancangan peribadi yang teguh dan pelaksanaan rancangan itu dalam kehidupan setiap hari. Sekiranya kita tidak dapat memanfaatkan tenaga dan potensi sendiri, mental akan terlantar sepanjang hayat.

Dalam kajian ahli psikologi, teori motivasi dalam organisasi tertentu perlu mempersoalkan cara untuk melaksanakan teori-teori motivasi yang ada. Ini bukan kerana kegagalan korespondensi antara generasi teori-teori baru dan perubahan keadaan organisasi hari ini, tetapi kerana tidak dengan mempertimbangkan nilai termasuk pekerja dalam proses motivasi; dengan kata lain, kerana pelaksanaan teori motivasi yang sedia ada mungkin kurang berkesan.

Motivasi ialah penggerak kepada kemahuan dan keinginan hendak berjaya ataupun hendak mencapai sesuatu. Motivasi boleh juga dikatakan sebagai rancangan untuk kejayaan seseorang ataupun rangsangan hendak mengelakkan diri daripada kegagalan. Orang yang mempunyai motivasi bererti dia sudah memperoleh kekuatan bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup sama ada di dunia ataupun akhirat ataupun keduanya sekali. Ahli psikologi memfokuskan pada tiga persoalan asas mengenai motivasi iaitu apakah yang menyebabkan seseorang memulakan satu tingkah laku. Apakah yang menyebabkan seseorang bergerak ke arah matlamat atau impian? Apakah yang menyebabkan seseorang tabah dan berkeras hendak mencapai impian itu? Motivasi adalah sesuatu yang ada (ataupun tiada) dalam diri dan minda yang akan menentukan kejayaan ataupun kegagalan dalam apa jua perkara yang dilakukan. Motivasi berpunca dari dalam ataupun dari luar diri seseorang.

Dalam bidang pelajaran, guru perlu tahu sama ada pelajarnya cenderung ke arah motivasi yang timbul dari dalam ataupun dari luar diri mereka. Ini perlu supaya guru dapat bertindak dengan sewajarnya bagi memberikan rangsangan kepada pelajarnya supaya berusaha. Motivasi yang berpunca dari dalam diri iaitu yang didorong oleh faktor kepuasan dan ingin tahu disebut motivasi intrinsik. Motivasi yang berpunca dari luar iaitu apabila kita buat sesuatu bagi mendapatkan ganjaran adalah ‘motivasi ekstrinsik’. Motivasi ekstrinsik diwujudkan daripada rangsangan luaran dengan tujuan menggerakkan individu supaya melakukan sesuatu aktiviti yang membawa faedah kepadanya. Motivasi ekstrinsik ini dapat dirangsang dalam bentuk-bentuk seperti pujian, insentif, hadiah, gred dan membentuk suasana dan iklim persekitaran yang kondusif bagi mendorongkan pelajar belajar. Contohnya, pujian yang diberikan oleh guru kepada seseorang pelajar kerana kerjanya yang baik akan menyebabkan daya usaha pelajar itu meningkat. Kajian itu mengukuhkan respons pertama iaitu perlaksanaan kerja. Suatu stimulus atau 'peristiwa yang diakibatkan' memperkuatkan kemungkinan respons itu berlaku lagi dipanggil peneguhan. Peneguhan positif ialah stimulus atau peristiwa yang menyebabkan kemajuan dalam pembelajaran ataupun perubahan kelakuan positif. Peneguhan ini lazimnya menggembirakan dan dipanggil sebagai ganjaran. Peneguhan yang tidak menyebabkan ke-majuan dalam pembelajaran adalah peneguhan negatif. Peneguhan negatif adalah stimulus atau peristiwa yang sekiranya dielakkan selepas sesuatu respons berlaku akan mengakibatkan peningkatan respons itu.

Umpamanya, guru dapat mengelakkan sesuatu yang menghalang pelajar daripada memberikan perhatian dalam kelas supaya pelajar itu dapat menumpukan perhatian pada peneguhan utama. Antara jenis peneguhan, terdapat peneguhan utama dan peneguhan sekunder. Peneguhan utama terdiri daripada benda ataupun peristiwa yang memberi kesan langsung kepada kelakuan seseorang dan tidak bergantung pada pembelajaran bagi kuasa peneguhan.

Sekiranya pelajar diberikan pujian apabila dia berkelakuan baik akan terus berkelakuan baik kerana mereka tahu mereka akan mendapat ganjaran itu. Peneguhan utama ini diberikan kepada pelajar kerana mereka belum tahu cara bertindak apabila mendapat peneguhan sekunder. Peneguhan sekunder ialah stimulus atau peristiwa yang memper-kukuhkan sesuatu respons melalui pembelajaran. Peneguhan ini selalunya bersifat linguistik ataupun sosial. Contohnya pujian daripada guru, perhatian guru, markah, senyuman daripada guru ataupun apa-apa isyarat pengiktirafan daripada guru. Peneguhan ini menjadi peneguhan sekunder selepas berlakunya pembelajaran beberapa lama. Menurut Walberg (1986), kedua-dua jenis peneguhan ini penting bagi mempertingkatkan kualiti dan kuantiti pembelajaran pelajar. Di dalam kelas, guru perlu tahu jenis peneguhan yang hendak diberikan dan sekerap mana ia perlu diberikan. Ada peneguhan yang dapat diberikan dengan kerap, contohnya pujian sokongan ataupun pujukan. Menurut Kazdin(1984), peneguhan lebih berkesan sekiranya diberikan dengan kerap pada peringkat pembelajaran baru. Oleh itu, semasa pelajar mula mempelajari sesuatu tugasan yang baru, mereka sebaik-baiknya diberikan pujian dan sokongan dengan kerap. Hukuman ataupun deraan adalah suatu bentuk peneguhan negatif dan ia sebaik-baiknya tidak diberikan. Hukuman lazimnya digunakan oleh guru bagi menghapuskan kelakuan pelajar yang tidak baik. Hukuman ini mungkin sebagai kerja tambahan, kelas tahanan, deraan fizikal dan pelbagai jenis hukuman lagi.

Guru juga menggunakan sindiran, kemarahan dan kritikan bagi mengawal kelakuan pelajar. Hampir semua jenis hukuman memberikan kesan buruk kepada pelajar. Oleh itu, peneguhan jenis ini lebih baik dielakkan. Hukuman boleh diberikan sekiranya jenis hukuman itu dibenarkan oleh pihak sekolah, Jabatan Pendidikan ataupun Kementerian Pendidikan. Motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi daripada rangsangan dalaman. Ia terdiri daripada dorongan dan minat individu bagi melakukan sesuatu aktiviti tanpa mengharap ataupun meminta ganjaran. Sebagaimana yang sudah dibincangkan, Bruner (1966) mengaitkan motivasi intrinsik ini dengan naluri ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan bagi murid yang baru masuk sekolah. Bagaimanapun, bukan semua motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi. Terdapat juga motivasi intrinsik dibentuk kepada pembelajaran dan pengalaman yang membawa kepuasan. Contohnya, tabiat membaca buku cerita dan bermain alat muzik adalah gerakan motivasi intrinsik yang dibentuk daripada pembelajaran dan pengalamannya. Harter (1981) mengenal pasti lima dimensi kecenderungan motivasi intrinsik dalam bidang pembelajaran. Dimensi-dimensi ini adalah cabaran, insentif bekerja bagi memuaskan minat dan sifat ingin tahu, percubaan penguasaan yang bebas, penilaian yang bebas ber-kenaan apa yang hendak dilakukan di dalam kelas dan kriteria dalaman untuk kejayaan. Pelajar yang lebih cenderung ke arah motivasi intrinsik sukakan pekerjaan yang mencabarkan. Mereka mempunyai insentif yang lebih untuk bekerja bagi memanfaatkan kepuasan diri sendiri daripada mengambil hati guru bagi mendapat gred yang baik. Mereka lebih suka mencuba mengatasi masalah dengan sendiri daripada bergantung pada bantuan ataupun bimbingan guru. Mereka juga menerapkan suatu sistem penguasaan matlamat dan taraf penilaian yang membolehkan mereka membuat penilaian bebas ber-kenaan kejayaan ataupun kegagalan mereka di dalam kelas tanpa bergantung pada guru bagi mendapat maklumat ataupun penilaian.

Motivasi intrinsik dapat diterangkan sebagai suatu keadaan psikologi yang diakibatkan apabila individu menganggap diri mereka berkebolehan dan dapat menentukan sesuatu dengan sendiri. Kedua-dua persepsi diri ini mengesahkan perihal kawalan. Contohnya dalam satu kes, satu keadaan adalah berkenaan kebolehan mengawal manakala satu keadaan lagi berkenaan mendapat peluang hendak mengawal. Seseorang itu mengalami motivasi intrinsik yang tinggi sekiranya dapat melakukan sesuatu yang digemari seperti memandu kereta, melawat tempat-tempat yang disukai, memilih tempat penginapan dan memilih makanan yang diidamkan. Sekiranya dia diberikan hadiah seperti lawatan ke tempat-tempat yang ditentukan oleh badan penganjur, tempat penginapan dan jenis makanan juga ditentukan oleh pihak itu, dia tidak mendapat peluang hendak menentukan segala-galanya sendiri. Oleh itu, motivasi intrinsiknya menjadi terlalu rendah. Menurut Weisz dan Cameron (1985), individu yang mempunyai persepsi yang mereka berkebolehan dalam sesuatu keadaan juga mempunyai persepsi dapat mengawal situasi itu. Sekiranya peluang hendak bertindak dengan cara yang ditentukan oleh diri sendiri diberikan individu yang mempunyai persepsi kebolehan diri yang rendah, dia tidak dapat menggunakan peluang itu bagi memberikan manfaat kepada dirinya. Guru yang mahu meningkatkan motivasi intrinsik pelajar dalam bidang akademik perlu mewujudkan suasana akademik yang memberi peluang kepada pelajar mengawal. Guru juga perlu menentukan pelajar itu dapat melakukannya dengan cemerlang dalam keadaan itu. Walau bagaimanapun, perlu ditentukan terlebih dahulu yang pelajar itu mempunyai persepsi yang diri mereka berkebolehan.

Sekiranya mereka tidak mempunyai persepsi seperti itu, peluang-peluang yang diberikan bagi mengawal tidak akan digunakan dengan sempurna. Faktor-faktor yang mempengaruhi motivasi intrinsik ialah persepsi atau kebolehan seseorang itu membentuk kebolehan yang dipersepsi daripada penilaian berkenaan kebolehannya oleh orang lain. Semakin tinggi pencapaian seseorang pelajar, semakin besar kemungkinan pelajar itu menilai dirinya sebagai berkebolehan. Kebolehan yang dipersepsi ini mempengaruhi bagaimana pelajar itu rasa berkenaan dirinya. Pelajar yang mempunyai kebolehan yang dipersepsi yang tinggi kemungkinan besar mempunyai keyakinan diri sendiri.

Yang penting, persepsi diri pelajar tidak terjejas. Pelajar perlu melahirkan kebolehan yang baru bagi mengekalkan motivasi intrinsik. Bantuan pengajaran Faktor yang dapat meningkatkan konsep kendiri pelajar berkenaan kebolehannya adalah kejayaan dalam sesuatu tugasan. Biasanya pelajar memerlukan bimbingan guru dalam melaksanakan tugasan yang sukar. Guru biasanya memberitahu pelajar prosedur bagi menyelesaikan tugasannya. Guru jarang memberi peluang kepada pelajar memikirkan cara tersendiri bagi memperoleh kejayaan dalam tugasannya. Guru sebaik-baiknya mendedahkan pelajar kepada kemahiran membuat keputusan sendiri. Biarkan pelajar membuat keputusan sendiri tetapi dengan bimbingan guru. Ini dapat meningkatkan motivasi intrinsik pelajar.

Cara lain yang dapat dilakukan adalah dengan memberi bantuan pengajaran kepada mereka. Guru perlu menunjukkan contoh berkenaan apa yang pelajar perlu lakukan. Ini lebih baik daripada memberitahu pelajar berkenaan apa yang mereka perlu buat. Ini membolehkan pelajar menghayati sifat-sifat yang terdapat dalam contoh itu. Dalam keadaan ini, guru memberi peluang kepada pelajar supaya berfikir, mengawal usaha dan menentukan bagaimana serta sejauh mana pelajar bergantung pada contoh-contoh yang diberi. Pembahagian tugas adalah strategi yang membolehkan guru memberi tugasan yang mencabar kepada pelajar. Tugasan dapat dibahagi kepada bahagian-bahagian kecil dan setiap bahagian dilakukan oleh beberapa orang pelajar.

Contohnya, sebelum guru meminta pelajar mengarang sebuah esei, guru akan meminta pelajar menyediakan rangka esei. Guru terlebih dahulu membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan kecil dan setiap kumpulan diberi tugasan kecil seperti bahagian pengenalan, isi-isi penting dan penutup. Perbincangan diadakan sebelum setiap pelajar mengarang esei itu secara individu. Berkongsi tugasan juga adalah pendekatan yang hampir sama dengan pendekatan pembahagian tugasan. Kedua-dua pendekatan ini memerlukan tugasan dibahagikan kepada tajuk-tajuk ataupun bahagian-bahagian yang lebih kecil. Contohnya, dalam aktiviti menghasilkan dokumen berkenaan sejarah Malaysia. Tajuk ini dapat dipecahkan kepada beberapa contoh kecil dan kumpulan kecil pelajar hanya perlu membuat satu tajuk kecil. Kemudian, maklumat tajuk-tajuk kecil ini digabungkan bagi menghasilkan satu dokumen yang lengkap. Melalui cara ini, konsep motivasi dapat diterapkan dalam diri pelajar itu sendiri di samping dapat meningkatkan prestasi diri pelajar itu dalam pencapaian akademik.

Konklusi
Kita telah mendalami maksud sebenar motivasi, dari mana ia didapati, dan bagaimana motivasi berhubungkait dengan prestasi perilaku dalam sesebuah organisasi. Akan tetapi kita tidak dapat dapat menjangkakan apa yang memotivasikan seseorang individu, mengapa mereka menjadi seorang yang mempunyai motivasi yang tinggi dan bagaimana mereka meneruskan motivasi yang ada dalam diri mereka sendiri.

Teori motivasi ini ada menyediakan jawapan terhadap beberapa persoalan dengan menerangkan mengapa pekerja berperilaku seperti yang mereka lakukan dalam organisasi. Kunci utama cabaran yang dihadapi oleh seorang guru dalam istilah motivasi ialah bagaimana ia menggalakkan pelajarnya untuk menyumbangkan idea dalam proses pembelajaran mereka dan juga terhadap peningkatan prestasi sekolah mereka. Seorang guru tentu mahukan pelajarnya lebih bermotivasi dalam menyumbangkan sesuatu input terhadap pencapaian sekolah (usaha, perilaku kerja tertentu, kemahiran, pengetahuan, masa dan pengalaman) kerana input mempengaruhi persembahan akademik pelajarnya. Keprihatinan adalah kunci untuk para guru dan pelajar dalam teori motivasi ini. Untuk memiliki pelajar yang bermotivasi tinggi, guru harus mengenalpasti setiap pelajar dan perlu berusaha untuk memuaskan hati pelajar di dalam kelas, dan setelah keperluan ini telah dikenalpasti, guru harus memastikan bahawa keperluan pelajar dipuaskan jika mereka melakukan perilaku yang dikehendaki.

Pelajar akan lebih bermotivasi untuk melakukan perilaku yang dikehendaki pada peringkat tinggi hanya jika mereka berfikir bahawa mereka boleh melakukannya. Jika mereka fikir mereka benar-benar akan tampil pada peringkat tinggi ketika mereka belajar bersungguh-sungguh, harapan mereka adalah tinggi. Jika tahap motivasi rendah kerana pelajar tidak berfikir usaha mereka akan dinilai standing dengan peningkatan prestasi, guru perlu meyakinkan mereka bahawa mereka mampu melakukan pada peringkat tinggi jika mereka berusaha keras. Selain itu, pihak sekolah dapat meningkatkan motivasi pelajar, dengan membantu mereka meningkatkan kemahiran dan kemampuan mereka dalam tugasan yang diamanahkan kepada mereka.

Minat dapat dibina akibat hubungan, pengalaman, kejayaan, maklumat dan kebiasaan. Guru bertanggungjawab menyediakan keadaan bagi membolehkan minat itu wujud dan berkembang. Oleh itu, guru perlu mengetahui jenis motivasi yang dapat membantu pelajar mencapai potensi sepenuhnya.

Bibliografi
Atan Long (1976).  Psikologi Pendidikan.  Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa   dan Pustaka. Drs. Wasty    
             Soemato (1987), Psikologi Pendidikan, Jakarta,  PT Bina Aksara. 
Mok Soon Sang (2000). Nota dan Latihan Ilmu Pendidikan : Pendidikan di Malaysia dan Psikologi      
            Pendidikan 1. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Saedah, Zainun, Tunku Mohani (1996).  Motivasi Dalam Pendidikan. Kuala  Lumpur : Utusan Publications 
            & Distributors Sdn. Bhd.
Seong Sin Lee (2007). Vroom’s Expectency Theory and The Public Library Customer Motivation 
            Model. College of Information, Florida State University, Tallahassee, Florida, USA. Vol. 56, No.9
            Dilanthi Amaratunga, David Baldry (2002). Performance Measurement in Facililities   
          Management and Its Relationships With Management Theory and Motivation. University of 
           Salford, U.K
Nigel Bassett-Jones, Geoffrey C. Lloyd (2005). Does Herzberg’s motivation theory have staying power? 
           Oxford Brookes Business School, Oxford, UK, and Rajarata University of Sri Lanka, Sri Lanka
Maria C. Osteraker (1999). Measuring  Motivation in a Learning Organization. Swedish School
of Economics and Business Administration, Finland.
Baharom Mohamad, Iliyas Hashim (2009). Bagaimana Memotivasi Pelajar : Teori Konsep dan
Kepentingan.  Kuala Lumpur : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Listen
Read phonetically


No comments:

Post a Comment