Tuesday 28 February 2012

Stres dalam Kalangan Guru Sekolah

Pendahuluan
Di zaman yang serba mencabar ini, pelbagai tekanan yang dihadapi oleh setiap manusia dan tidak terkecuali profesion keguruan. Tekanan ini wujud sama ada dalam bentuk fizikal, sosial atau psikologikal. Kesan tekanan ke atas individu bergantung kepada ciri-ciri atau sikap bagaimana seseorang individu itu menanganinya.

Falsafah Pendidikan semakin hari semakin bermutu dengan perangkuman pelbagai kriteria dan tuntutan yang perlu diterapkan dalam objektif pendidikan. Perubahan semasa di kalangan arus modenisasi dan globalisasi menjadikan keperluan bidang pendidikan perlu dipertingkat dan dipertambahkan cakupannya kepada pengkayaan multi-bidang. Berdasarkan permintaan yang tinggi tersebut, kita terpaksa membayar harganya yang wujud dalam bentuk bebanan terhadap pelaksanaan dan menghadapi permasalahan sampingannya. Arus pendidikan hari ini semakin mendesak para profesional pendidikan untuk bekerja keras dan lebih masa demi mencapai permintaan tinggi pendidikan tersebut. 

Di samping usaha peningkatan dan pelaksanaan, guru-guru semakin mula tertekan atau sekurang-kurangnya pernah merasa tertekan dengan permintaan tinggi bebanan kerjaya pendidikan ini. Hasilnya, secara tidak sedar para guru mengalami tekanan yang dianggap sebagai suatu keuzuran berpotensi mengganggu kelancaran operasi pendidikan. Justeru, simptom ketegangan atau tekanan di kalangan guru ini adalah suatu fitrah semulajadi kemanusiaan yang perlu ditangani dengan bijak dan bertimbang rasa. Adalah suatu tindakan yang rasional untuk memikir dan melaksanakan resolusi penyelesaian bagi masalah-masalah guru di samping melaksanakan pelbagai pelan peningkatan terhadap pendidikan. 

Kini profesion perguruan mengalami perubahan yang pesat dalam sistem pendidikan. Pelbagai dasar dan sistem pendidikan digubal atau diubahsuai sejajar dengan ledakan pengetahuan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Ini menyebabkan bidang tugas seorang guru semakin bertambah dan membebankan. Ini kerana guru merupakan “amanah” yang diberi tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu kepada anak didiknya. Sama ada rela atau tidak, mereka dituntut untuk menyesuaikan diri dengan sebarang bentuk perubahan serta pembaharuan dalam bidang pendidikan yang berlaku dari semasa ke semasa. Situasi ini secara umumnya mengakibatkan guru-guru terpaksa berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab yang lebih mencabar dan semakin kompleks.

Pendapat ini disokong oleh Faridah Karim dan Zubaidah Aman (1998) yang mengatakan selain daripada  mengajar dan berdepan dengan  pelbagai karenah  pelajarnya, seseorang guru  juga dituntut  untuk melaksanakan pelbagai  tugasan lain yang menjadi rutin pekerjaan  mereka  seperti mengutip yuran, mengemaskini kedatangan pelajar, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan dan lain-lain lagi.

Adakalanya, tugas guru bukan sekadar pengurus di sekolah sahaja, malah mereka juga menjalankan tugas di peringkat daerah dan negeri. Jelaslah kepada kita bahawa guru mempunyai tugas harian, mingguan dan tahunan yang penuh mencabar dan profesion perguruan ini sebenarnya sukar, meletihkan dan membosankan (Faridah Karim dan Zubaidah Aman, 1998).

Peranan guru sebagai pendidik disanjung tinggi oleh masyarakat dan mereka meletakkan harapan yang tinggi agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam mendidik anak bangsa. Dalam usaha ini, mereka terdedah kepada pelbagai cabaran, risiko dan kerumitan. Oleh itu stres yang dialami  oleh guru  merupakan  satu isu  yang patut diberi perhatian  yang wajar kerana pengelakan (burnout) mereka dalam memberi sumbangan  kepada  proses pendidikan  akan meninggalkan kesan  negatif  terhadap  pembangunan akademik  dan kesejahteraan diri generasi muda secara amnya. (Tang dan Yeung, 1999)

Pernyataan Masalah
Guru merupakan anggota utama dalam sekolah. Ini adalah kerana guru memainkan peranan yang paling penting untuk mendidik murid-murid di sekolah menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu dan berakhlak mulia. Secara ringkasnya guru memainkan peranan penting dalam merealisasikan strategi Kementerian Pendidikan Malaysia demi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan seterusnya membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia.

Walau bagaimanapun tugas dan tanggungjawab guru tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna sekiranya para guru menghadapi tekanan kerja. Menurut Kyriacou (1987), jumlah kajian yang semakin meningkat tentang tekanan guru di seluruh dunia menunjukkan keseriusan masalah ini. Gold dan Roth (1993) berpendapat salah satu punca yang menyebabkan guru mengalami tekanan adalah disebabkan oleh perubahan dalam sesuatu dasar. Pada tahun 2003, guru dikejutkan dengan dasar kerajaan Malaysia yang telah memperkenalkan pengajaran dalam Bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI). Ini memberi impak yang besar kepada guru pada masa itu kerana mereka perlu bersedia dari segi mental dan emosi untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun dasar tersebut akan digantikan  dengan dasar baru yang dikenali sebagai dasar memartabatkan Bahasa Melayu  dan memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Fenomena ini menyebabkan guru mengalami tekanan kerana terpaksa mengubah corak pengajaran mereka daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia. Mereka juga dituntut untuk mempersiapkan diri bagi melaksanakan dasar ini mulai tahun depan. Keadaan ini akan mengundang stres apatah lagi mereka belum bersedia untuk menghadapi perubahan yang drastik ini.

Memandangkan isu stres kerja boleh mengancam tahap profesionalisme guru-guru, maka pengkaji ingin mengambil kesempatan ini dengan membuat kajian yang lebih lanjut mengenai masalah ini dan juga faktor-faktor penyebab yang boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran guru.

Sesetengah guru yang tertekan dengan arahan yang diberikan akan melepaskan tekanan kepada pihak yang lain, umpamanya pelajar. Sementara dalam diri guru tersebut, dia kehilangan dirinya, sukar menghadapi kenyataan, bimbang yang berlebihan dan bertindak luar kawalan tanpa disedari. Sebagai seorang pendidik yang berdedikasi, akauntabiliti guru yang merangkumi bidang pekerjaan, sekolah, tingkah laku kendiri, murid dan profesion telah memberi tekanan yang berat kepada guru.


Definisi
Tekanan merupakan satu pengalaman yang lumrah dalam kehidupan manusia. Setiap manusia tidak dapat lari daripada tekanan tang boleh berpunca daripada peristiwa-peristiwa dalam kehidupan baik dalam bentuk fizikal, sosial dan psikologikal. Kesan tekanan ke atas seseorang individu banyak bergantung kepada ciri-ciri dan sikap individu itu bagaimana untuk mengatasinya.

Smither (1994) menakrifkan tekanan sebagai respon fisilogikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang. Schafer (1992) mendefinisikan tekanan sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang dalam bertindakbals kepada permintaan terhadap dirinya. Fontana (1989) pula memberi definisi tekanan sebagai permintaan yang dibuat ke atas keupayaan penyesuaian minda dan badan seterusnya menjelaskan sekiranya keupayaan seseorang itu dapat menangai permintaan itu, makan tekanan itu akan mendatangkan kesan yang positif

Stres diambil daripada perkataan Greek iaitu ‘Stringere’ yang bermaksud ketat atau tegang (Cox, 2000). Selye, seorang ahli perubatan merupakan perintis dalam menjalankan kajian tentang stres ini.  Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), stres merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini (Azizi, Jamaludin dan Mazeni, 2010). Kajian  yang  dilakukan oleh Institute Of Stress di New York, mendapati pada tahun 2002 terdapat 90% daripada lelaki dewasa  mengalami stres yang kuat sekurang-kurangnya  dua kali seminggu, manakala 25% lagi mengalami stres setiap hari.

Stres boleh didefinisikan sebagai satu keadaan  emosi yang kompleks dan satu reaksi  fisiologi dan psikologi  yang berlaku  pada seseorang  apabila ia bertindak balas  kepada faktor-faktor luaran  di persekitaran seperti keadaan tempat kerja, sikap rakan, hubungan  dengan subordinat dan tekanan kerja.

Menurut   Cox  dan  Brockley (1984), stress merupakan  satu  persepsi  yang  wujud  dari satu  perbandingan di antara arahan yang diberikan oleh seseorang dengan kebolehan untuk melakukan arahan tersebut  dengan jayanya. Schafer (1992) pula mentafsirkan stres sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang dalam bertindakbalas kepada permintaan terhadap dirinya. Sekiranya seseorang itu dapat menyesuaikan mindanya dengan menangani permintaan itu, maka tekanan tersebut akan mendatangkan kesan yang positif.

Manakala stres dalam kalangan guru didefinisikan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif, tekanan serta kekecewaan yang berpunca daripada aspek kerja mereka. (Kyriacau & Sutcliffe, 1978). Guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendididikan akan mengalami stres. Kebanyakkan guru pada masa kini terpaksa melakukan kerja-kerja perkeranian, menyedia alat bantu mengajar, menghadiri kursus sepanjang minggu dan terpaksa melakukan penyesuaian terhadap tugasan dan ini sedikit sebanyak telah menganggu emosi dan minda mereka. Stres kerja pada tahap yang tinggi akan membawa kepada rasa ketidakpuasan kerja, sering mengelakkan diri dan mengabaikan kerja.  

Kyricaou (1987) kemudiannya mentakrifkan tekanan guru sebagai pengalaman yang dialami oleh guru berhubung dengan emosi yang tidak menyenangkan seperti ketegangan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan dukacita yang disebabkan oleh aspek-aspek pekerjaan sebagai seorang guru.

Tekanan guru juga boleh didefinisikan sebagai kesan tindak balas negatif seperti kemarahan dan tekanan oleh seseorang guru. Ia kebiasaannya merangsang potensi perubahan fisiologi seseorang guru seperti peningkatan kadar degupan jantung dan perembesan hormon tertentu ke dalam salur darah. Seterusnya ia memberi kesan terhadap aspek tugas perguruan yang merangkumi kesungguhan menjalankan tugas, keyakinan diri dan kerasionalan tindakan.

Dunham (1976) melaporkan hasil kajiannya mengenai tekanan guru berdasarkan analisis data yang mengandungi 658 orang guru di sekolah rendah dan sekolah menengah di United Kingdom. Para responden, iaitu guru diminta untuk menerangkan situasi tekanan yang dihadapi dan bagaimana mereka mengatasi masalah tersebut. 

Daripada kajian tersebut, kesimpulan yang boleh dibuat ialah ‘lebih banyak guru yang mengalami tekanan guru’, ‘hanya angka sedikit sahaja dalam kalangan guru yang tidak mengalami tekanan guru’. Tekanan dihadapi terutamanya dalam organisasi, konflik yang dialami dalam pembahagian tugas, dan keadaan tempat kerja. Untuk itu, antara tindakan guru yang menghadapi tekanan guru yang berlebihan telah memillih langkah untuk meletakkan jawatan dalam sesuatu organisasi; guru memilih untuk mengajar pelajar yang kurang kemampuan belajar atau kelas yang kurang cerdik. Komunikasi dalam kalangan guru semakin kurang berkesan dan guru memilih untuk mendiamkan diri. Guru yang memiliki karakter atau personaliti yang baik berubah sama sekali kepada seseorang yang langsung tidak dikenali dan kepuasan kerja yang rendah. 

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa tekanan guru telah dikaitkan dengan penyakit sakit mental. (Fletcher dan Payne, 1982). Menurut Blase’s (1982) berdasarkan jurnal yang ditulis oleh Kyriacou (1987), sebilangan besar guru menunjukkan tahap penglibatan kerja yang rendah akibat tekanan yang berlebihan. Tenaga tidak digunakan untuk meneruskan kerja berkaitan dengan pengajaran, sebaliknya melepaskan tenaga secara tindakan fizikal atau melepaskan geram terhadap pelajarnya. Sesetengah guru yang tidak melepaskan geram pula memilih jalan dengan tidak hadir ke sekolah akibat tekanan guru yang berlebihan. Tekanan dalam kalangan guru menyebabkan  potensi berlakunya masalah salah guna kuasa guru terhadap murid-murid. Terutamanya yang berlaku dalam aspek hukuman yang boleh mengakibatkan penderaan. 

Konsep tekanan telah digunakan secara meluas untuk menerangkan peningkatan motivasi pekerjaan dan penurunan kepuasan kerja. Tekanan boleh memberikan kesan sama ada positif atau negatif. Fisher (1994), percaya bahawa mereka yang mengalami masalah tekanan pekerjaan adalah kurang efisyen. Mengalami sikap kemurungan, kerisauan atau kegelisahan, kemarahan dan fobia merupakan tanda-tanda tertekan yang mungkin berpunca daripada persekitaran luar atau faktor-faktor kognitif individu.

Kepentingan Kajian
Kajian ini amat berguna kepada guru dan pentadbir sama ada di peringkat sekolah, daerah, zon mahupun di peringkat Jabatan pelajaran. Bagi guru, ia diharap dapat menjadi panduan untuk mengatasi masalah ketegangan ini agar dapat menjalani suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih selesa dan harmoni.

Bagi pihak pentadbir di peringkat sekolah, daerah dan zon, hasil kajian ini diharap dapat dijadikan panduan untuk membuat perancangan yang lebih khusus dalam perancangan aktiviti-aktiviti staf di sekolah.

Manakala bagi pihak Jabatan Pelajaran, kajian ini diharap dapat memberi maklumat bagi merangka program yang lebih jitu dan tersusun kepada guru dalam menangani masalah stres supaya mereka dapat bekerja dalam keadaan yang lebih tenang dan selesa.

Batasan Kajian
Oleh kerana pengkaji mempunyai masalah dari segi kekangan masa, maka kajian hanya dapat dijalankan di dua buah negeri sahaja iaitu Perak dan Selangor. Responden yang terpilih  adalah seramai 10 orang guru yang terdiri daripada guru siswazah dan bukan siswazah. Tumpuan utama kajian adalah untuk melihat tahap stres yang dialami oleh guru-guru tersebut  dalam urusan seharian mereka.

Metodologi
Reka bentuk kajian ini adalah berbentuk deskriptif. Menurut Azizi et al. (2007), penyelidikan deskriptif merupakan penyelidikan yang bermatlamat untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku. Jenis penyelidikan ini adalah jenis tinjauan. Kajian ini adalah bertujuan untuk melihat tahap stres dalam kalangan guru-guru di dua  negeri iaitu Perak dan Selangor. Data yang diperoleh dengan menggunakan soal selidik telah diedarkan kepada responden yang terpilih untuk mewakili populasi, iaitu guru-guru di dua buah negeri iaitu Perak dan Selangor.

Responden kajian ini terdiri daripada 10 orang guru dari Sekolah Menengah Doktor Megat Khas (Sekolah Gred A) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Rawang (Sekolah Gred A). Sekolah-sekolah tersebut terletak di Kinta Utara, Perak dan Selangor. Pemilihan sampel ini dibuat secara sampel rawak.

Instrumen penyelidikan
Dalam kajian berkaitan dengan ketegangan guru sama ada di sekolah menengah ataupun sekolah rendah, kami menggunakan kaedah soal selidik yang lebih kepada jawapan yang memerlukan ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Kaedah soal selidik ini mengandungi satu set soalan sebanyak 13 item. Kaedah ini membolehkan kumpulan kami untuk mengumpulkan maklumat bagi tujuan analisis yang dapat menjawab persoalan kajian. 

Biasanya, bidang pendidikan menggunakan kaedah soal selidik. Kumpulan kami memilih kaedah ini disebabkan soal selidik ini dapat dibina pada kos yang rendah dan masa yang diperlukan adalah singkat bagi menjawabnya. Tambahan pula, kami dapat memperolehi data-data atau maklumat dari jumlah responden yang lebih ramai dan cepat.  Justeru, kaedah soal selidik ini dilakukan di dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Megat Khas, Ipoh dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Rawang. Disebabkan kekangan masa, sampel kajian kami hanya melingkungi seramai 10 responden daripada sekolah-sekolah tersebut.  Di dalam kajian ini, kami hanya membuat analisa data bertumpukan peratusan.

Prosedur Kajian
Soalan soal selidik yang diberikan kepada responden akan disertai dengan arahan yang jelas pada bahagian soalan tersebut. Semua responden akan menjawab soalan soal selidik dengan bantuan penyelidik di dalam keadaan yang selesa dan tidak tertekan. Soal selidik akan dikutip sebaik sahaja responden selesai menjawab soalan.

Analisa Data
Kajian ini menggunakan Self Report Teacher Stress oleh Dunham (1992) pula digunakan untuk mengenal pasti kedudukan faktor-faktor utama seperti teguran pihak pentadbir, beban tugas, kekangan masa dan sumber, dan hubungan interpersonal yang mempengaruhi tekanan kerja guru. Responden diminta menandakan darjah persetujuan terhadap faktor yang menyebabkan tekanan kerja berdasarkan kaedah soal selidik yang berpandukan `Ya' atau `Tidak’.  
                                              Jadual 1 :  Tahap Tekanan Guru
Tahap Tekanan
Bilangan Guru
Peratus Tekanan
Tahap Tekanan Tinggi
3
30%
Tahap Tekanan Sederhana
5
50%
Tahap Tekanan Rendah
2
20%

                          Jadual 2  :  Tahap Ketegangan guru Berdasarkan persoalan.
Persoalan
Tahap Ketegangan Guru
Hilang ‘mood’ bekerja apabila ditegur oleh pengetua
40%
Suka pergi ke sekolah  &
Suka bekerja di sekolah
60%
      Rela buat kerja tambahan apabila
      diarahkan oleh pihak pentadbir
60%
      Bebanan kerja agak meletihkan
40%
      Masih ada masa untuk mengeratkan
      silaturahim di kalangan guru
80%
      Agihan tugas bagi guru  dilakukan     
      secara adil
90%

Namun kesemua kajian di atas, pada Jadual 1 dan Jadual 2 menunjukkan terdapatnya peratusan yang signifikan antara faktor-faktor organisasi dengan kepuasan kerja dan ketegangan guru, secara perbandingan persepsi terhadap beban tugas, polisi organisasi dan kemudahan di tempat kerja yang hanya pada tahap memuaskan sahaja. Oleh hal yang demikian, faktor-faktor yang disebutkan di atas wajar sekali diberikan pertimbangan yang serius dalam merancang, merangka dan melaksanakan program bagi mempertingkat tahap kepuasan kerja dan seterusnya mengurangkan ketegangan guru dalam sesebuah organisasi sekolah.

Secara keseluruhannya, peratusan bagi objektif kajian iaitu mengkaji tahap ketegangan guru sederhana adalah sebanyak 50%. Dengan ini para guru tidak mungkin akan menghadapi masalah untuk meningkatkan prestasi kerjaya diri mereka untuk terus berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh pada masa akan datang agar kualiti pendidikan dan kecemerlangan dapat dimajukan dalam sektor pendidikan negara ini.

Selain itu, terdapat sebahagian besar iaitu 60% responden bersetuju bahawa mereka berasa suka bekerja di sekolah mereka. Kenyataan ini disokong oleh kajian yang dibuat oleh Mallilo (2007) di mana pekerja-pekerja mengakui secara umumnya kerja mereka menyeronokkan. Ini menunjukkan mungkin terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mereka seronok bekerja. Sebagai pendidik, mereka harus sentiasa mempunyai perasaan seronok bekerja ini agar para pelajar juga tidak bosan untuk menerima pelajaran mereka.

Responden juga  mengaku bahawa mereka merasa selesa dengan kerja mereka. Sebanyak 60% responden yang menyokong penyataan ini. Ia menggambarkan para guru ini sebenarnya memahami tugas mereka dengan baik. Maka mereka juga akan merasakan yang kerja mereka ini adalah satu kerja yang baik dan seterusnya akan menghasilkan kepuasan atas kerjaya yang mereka lakukan dan ketegangan dalam kalangan guru akan berkurangan.

Namun hanya 40% sahaja yang menyokong pernyataan yang mungkin menyebabkan sebahagian guru rasa letih dengan kerja mereka disebabkan bebanan tugas. Selebihnya menyatakan mereka tidak berasa tertekan. Mungkin disebabkan kerana mereka berasakan sudah menjadi tanggungjawab mereka memikul beban sebagai seorang guru dan sentiasa berfikiran terbuka untuk mengatasi semua permasalahan. Kenyataan ini disokong oleh kajian Marriot dan Sexton dalam Saleha (2001) guru-guru ini berorientasikan tanggungjawab yang konsisten.

Majoriti responden iaitu 80% setuju bahawa walaupun sentiasa ada kerja untuk dilakukan tetapi mereka masih mempunyai masa terluang untuk merehatkan minda sekurang-kurangnya sebelum memulakan kelas yang baru dan mengeratkan silaturrahim dalam kalangan guru dengan mengadakan jamuan makan.

Responden sebanyak 90% menyatakan pentadbir sentiasa menegur tentang kerja mereka, sentiasa ada bila diperlukan dan memberikan arahan tambahan melalui `contact-time’. Ini menunjukkan para pentadbir ini menjalankan tugas mereka dengan teliti dan penuh konsisten. Ini juga memberi gambaran kepada responden bahawa pentadbir mereka mengetahui tugasnya dengan baik. Kenyataan ini disokong dengan kajian yang dibuat oleh Jaafar (1995) di mana keputusan kajian beliau menunjukkan bahawa aspek penyelia menjadi punca utama kepuasan kerja yang dapat mengurangkan ketegangan guru. 

Perbincangan
Tahap Ketegangan Guru
Dapatan kajian terhadap 10 orang responden mengenai tahap ketegangan guru menunjuk bahawa sebahagian kecil responden berada di tahap ketegangan tinggi (tiga orang) dan sebahagian besar responden berada di tahap ketegangan sederhana (lima orang) manakala dua orang sahaja berada di tahap ketegangan rendah. Di dalam kajian Tan (1996) yang mendapati bahawa sebahagian besar daripada guru sekolah rendah dan menengah yang dikajinya mengalami tekanan kerja sederhana dan sebilangan kecil sahaja yang mengalami tahap tekanan kerja yang serius. Kajian di luar negara oleh Abouserie (1996) dan Capel (1991) menyokong dapatan kajian ini di mana majoriti daripada responden yang dikaji mengalami tekanan yang sederhana dan sebilangan kecil mengalami tekanan kerja yang tinggi.

Faktor-Faktor Lain yang Menghasilkan Ketegangan Guru
Faktor Salah Laku Pelajar
Faktor ini merupakan faktor utama yang menyebabkan guru menghadapi tekanan di sekolah. Sikap biadap atau tidak menghormati dan menghargai guru ketika guru sedang mengajar seperti membuat bising, berbual-bual, tidak membuat latihan yang diberikan selain keluar kelas tanpa kebenaran guru yang sedang mengajar. Bagi pelajar-pelajar yang suka ponteng kelas bagi mata pelajaran yang diajar oleh guru itu juga telah menyebabkan tekanan emosi kepada guru tersebut. Ini adalah kerana tindakan pelajar yang sebeginilah telah menyebabkan prestasi sesuatu mata pelajaran itu merosot dan ini juga memberi suatu tekanan kepada guru-guru di sekolah.



Faktor Beban Tugas
Kebanyakan guru berasa tertekan apabila mereka diberikan tugas-tugas lain yang banyak selain daripada mengajar. Selain itu, pengagihan tugas yang tidak saksama dan seimbang dalam kalangan guru juga telah menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan guru. Guru yang memegang jawatan penting seharusnya tidak diberikan jadual waktu yang padat, sama seperti guru-guru lain. Sebagai cadangan guru disiplin tidak seharusnya diberikan waktu mengajar yang padat kerana guru ini berperanan membantu pihak sekolah menangani masalah disiplin murid sepanjang masa persekolahan. Jika perkara ini dibiarkan tentunya guru ini akan berasa tertekan disebabkan beban tugas mengajar dan tugas mengawal disiplin murid di sekolah.

Faktor Kekangan Masa dan Sumber
Faktor kekangan masa dan sumber seperti mengadakan ujian bulanan yang terlalu kerap telah menyebabkan guru-guru tidak berkesempatan untuk menghabiskan sukatan pelajaran kerana masa yang terlalu singkat. Guru itu juga harus memeriksa kertas jawapan pelajar dan membuat analisis keputusan ujian tersebut. Namun begitu, apabila terlalu rapat masa ujian tersebut, maka guru itu akan berasa tertekan kerana tugas menyemak kertas baru sahaja selesai dilakukan.

Faktor Kekurangan Sumber
Kekurangan sumber seperti kekurangan bilik darjah, kekurangan makmal komputer, komputer dan perisiannya merupakan faktor penting kepada guru-guru yang memerlukan peralatan tersebut untuk pengajaran. Tambahan pula mata pelajaran yang diajarnya itu memang berkaitan dengan alat-alat tersebut. Sekiranya kekurangan sumber ini berlaku, ianya akan menyebabkan guru-guru menjadi kurang bersemangat dan tertekan kerana ia boleh menjejaskan kualiti pengajarannya.
Faktor Hubungan Interpersonel
Faktor hubungan interpersonel ini kerap berlaku di antara guru-guru biasa dengan pihak pentadbir sekolah seperti ketua-ketua panitia mata pelajaran, ketua-ketua bidang mata pelajaran, Penolong Kanan Kokurikulum, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penolong Kanan Pentadbiran malah dengan Pengetua sekolah. Hubungan yang kurang baik di antara guru biasa juga berlaku. Wujudnya jurang komunikasi di antara guru lama dengan guru baru dan kurangnya rasa hormat menghormati dalam kalangan guru ketika menjalankan tugas. Terdapat juga sebilangan guru yang suka mencampuradukkan urusan peribadi dengan tugas di sekolah yang boleh menjejaskan hubungan dalam kalangan guru-guru.

Pendedahan Menangani dan Mengawal Tekanan
Sebagaimana para profesional dalam bidang lain, para guru juga perlu diberi pendedahan untuk menangani tekanan sebagai usaha bekerjasama menyelesaikannya sendiri. Selye (1978) menyatakan bahawa tekanan hidup adalah tidak harus dielak kerana tekanan hidup adalah satu-satunya fenomena yang dapat menyiapkan manusia untuk menghadapi kecemasan atau bahaya dengan cara berada dalam tahap berjaga-jaga. 

Pertamanya, para guru perlu diberi pengetahuan mengenai kemahiran mengenal pasti dan peka terhadap punca-punca yang menyebabkan tekanan. Patterson (1986) dan Janis (1982) menyarankan kaedah inokulasi tekanan. Kaedah ini bertujuan meningkatkan pertahanan terhadap tekanan yang akan dihadapi oleh seseorang. Teori ini mengandaikan bahawa apabila seseorang itu telah bersedia untuk menghadapi tekanan atau sebarang bentuk perubahan emosi, maka kesan yang diakibatkan oleh perubahan itu adalah tidak begitu teruk jika dibandingkan dibandingkan dengan mereka yang tidak bersedia untuk menghadapinya. Dengan itu, para guru perlu diberi pendedahan mengenai risiko-risiko yang bakal dihadapinya dalam profesion perguruan. 
Teknik tenang diri juga boleh didedahkan kepada para guru di mana teknik ini adalah baik untuk mengurangkan tekanan harian.

Salah satu teknik yang dicadangkan adalah Teknik Pengenduran Otot-otot Secara Progresif (Progressive Muscle Relation oleh Dr. Edmund Jacobson, 1902) dan juga  beberapa amalan berkaitan pengisian rohani guru seperti meditasi, zikir, solat dan ibadat umum.  Amalan pemakanan guru juga perlu diberi panduan dan perhatian supaya bukan hanya murid-murid sahaja yang dijaga aspek jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Tetapi guru juga sepatutnya diberi pendedahan terhadap penjagaan aspek tersebut. 

Cadangan
Kajian ini boleh dilaksanakan dengan lebih lanjut dengan membuat kajian tentang perbandingan umur guru, jantina, lokasi sekolah dan kelayakan guru terhadap ketegangan guru. Kajian ini juga perlu dilihat daripada aspek min dan sisihan piawai. Selanjutnya pengkaji perlu membuat Ujian T yang menunjukkan skor min terhadap tekanan kerja dengan gred sekolah.  Didapati juga sampel yang dipilih bagi kajian ini adalah terlalu sedikit maka perlu ditambahkan bilangan sampel kajian.  Akhirnya, perlu juga membuat kajian berdasarkan kaedah soal selidik yang menggunakan lima mata  Skala Likert.  Dengan itu, kejituan kajian ini memberi makna yang lebih mendalam tentang ketegangan guru.



Rumusan
Profesion guru adalah salah satu daripada tugas yang sukar dan perlu kepada usaha pengorbanan yang tinggi. Sememangnya boleh dikatakan bahawa semua bidang mampu menyebabkan tekanan kepada individu. Tetapi tidak bermakna bahawa tekanan pada tahap tinggi sehingga menyebabkan gangguan  pada operasi pendidikan itu perlu dipandang sebagai suatu insiden biasa. Perkara ini perlu diberi perhatian sekurangkurangnya melalui tindakan atau pelaksanaan penyelesaian secara berperingkat.

Resolusi perlu difikirkan bagi menyelesaikan dan mengurangkan masalah tekanan dalam kalangan guru demi kebaikan perjalanan pendidikan. Sesungguhnya tekanan guru yang tidak terkawal boleh memberi kesan negatif terhadap mutu pendidikan negara. Tekanan yang tidak terkawal antara lainnya akan memberi kesan kepada kepuasan kerja, strategi berdaya tindak, sokongan sosial dan konsep kendiri guru. 

Memandangkan tugas guru adalah mencabar, ‘anggapan’ bahawa menjadi seorang guru adalah mudah perlu dibuang daripada mentaliti setiap pihak. Begitu juga dengan anggapan bahawa tugas mendidik adalah hanya tanggungjawab guru dan guru perlu memiliki daya pengorbanan yang tinggi. Demikian adalah fakta atau alasan yang tidak relevan untuk digunakan supaya permasalahan tekanan ini dapat diabaikan.  Di antara cadangan dan resolusi yang perlu dipertimbangkan berkaitan tekanan dalam kalangan guru adalah seperti  mengkaji semula beban tugas guru.

Keinginan juga turut berubah mengikut keperluan dan peredaran masa. Kepuasan kerja merupakan perasaan dalaman seseorang pekerja terhadap pekerjaan yang dilakukannya hasil interaksi dengan persekitaran. Perasaan puas ini akan mendorong seseorang itu rela datang ke tempat kerja dengan rasa tanggungjawab.  Justeru, dapat mengurangkan ketegangan dalam kalangan guru.

Masalah ketegangan dalam kalangan guru dapat dikurangkan jika pihak pentadbir dapat meningkatkan motivasi pekerja. Hal ini dapat dilaksanakan dengan memastikan sistem dan prosedur kerja berkesan dan senang difahami. Sebagai contoh, semua pekerja termasuk pekerja baru perlu diberitahu sejelas-jelasnya mengenai tugas-tugas yang harus dibuat dan prosedur untuk melakukannya. Seterusnya, sistem insentif perlu dihubungkaitkan dengan prestasi pekerja. Selanjutnya, perlu memastikan keberkesanan saluran komunikasi (perhubungan). Setiap pentadbir dan penyelia perlu dilatih menggunakan cara efektif dalam perhubungan dengan pekerja bawahan agar dapat membantu mewujudkan suasana harmoni di dalam pekerjaan.

Ketegangan guru juga boleh dikurangkan apabila membuat perancangan program latihan dan pembangunan guru yang tepat, mencukupi dan secara menyeluruh. Pada masa yang sama perlu mengenal pasti objektif-objektif  latihan dan pembangunan yang perlu dicapai. Dengan itu, guru-guru yang mahir dalam menjalankan tugasnya akan menjadi lebih bermotivasi. Tambahan pula, perlu mengadakan gaya dan cara kepimpinan di dalam organisasi sekolah yang dapat membantu meningkatkan motivasi pekerja. 

Isu ini perlu dipandang serius supaya bidang pendidikan yang sentiasa diperbaharui dan dipertingkatkan mutunya ini dapat selari dengan keperluan dan kepentingan semua pihak yang terlibat. Meningkatkan mutu pendidikan bukan bermakna perlu mengorbankan atau menuding hanya kepada sesuatu pihak. Tetapi perlu dengan usaha serta penglibatan semua pihak dan memenuhi kepentingan setiap pihak yang terlibat.  Penyelesaian yang ditekankan perlu merangkumi penglibatan semua pihak termasuk kementerian, sekolah dan individu guru itu sendiri. Segalanya adalah usaha demi mempertingkat dan memartabatkan status pendidikan Malaysia. 























Rujukan
Azizi Yahya, Jamaludin Ramli, Mazeni Ismail (2010), Stress Dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah  di Empat Buah  Negeri Di Malaysia, Asia Pasific Journal Of Educators and Education, Vol 25, pp103-136.

Abdul Wahid Nuruddin (1996). Stres Pekerjaan di Kalangan Guru: Satu Kajian Kes. Tesis (B.Ed), Sintok: Universiti Utara Malaysia.

Abouserie. R. (1996). Stress, Copying Strategies and Job Satisfaction in University Academic Staff Educational Psychology. 16(1): 49-56.

Borg, M.G. and Riding, R.J. (1993). Teacher Stress And Cognitif Style. British Journal of Educational Psychology. 65: 49-67.

Dunham, J. (1976).  Stress Situations and responeses in National Association of Schoolmasters (Ed.). Stress in schools. Hemel Hempstead: National Association of Schoolsmasters.

Faridah Karim dan Zubaidah Aman (1998). Implikasi Burnout di Kalangan Guru Terhadap Sistem Pendidikan. Prosiding Seminar Isu-isu Pendidikan Negara. November 26 – 27. Malaysia: Universiti Kebangsaan Malaysia, 317-333

Fisher, S. 1994. Stress in academic life. The mental assembly line. The Society for Research into Higher Education & Open University Press.

Fontana, D. (1989). Managing Stress. British Psychological Society & Routledge Ltd.
Gold, Y. dan Roth, R. A. (1993). Teachers Managing Stress and Preventing Burnout - The Professional Health Solution. London: The Falmer Press.

Schafer, W. (1992). Stress Management For Wellness (2ndEd.). Orlando : Harcourt Brace. 

Smither, R. D. (1994). The Psychology Of Work And Human Performance (2nd ed.). New York : Harper Collins College Publishers. 

Smither, R. (1994). Stress and teachers: Old wine in new bottle. Urban Education, 19, 39–51.

Tang, Tak On dan Yeung, Alexander Seeshing (1999). Hong Kong Teachers’ Sources of Stress, Burnout, and Job Satisfaction. International Conference on Teacher Education. Februari 22 – 24. Hong Kong: Educational Resources Information Center, 1 – 22.

Zakiah Arshad. (2003). Stres kerja di kalangan guru-guru sekolah rendah: Satu kajian di Zon Bandar, Kota Tinggi, Johor. Unpublished thesis, Universiti Teknologi Malaysia.




3 comments:

Unknown said...

saya ingin cite kertas ni sebagai rujukan dlam thesis,,boleh dapatkan info penuh pengarang ?

Unknown said...

saya ingin cite kertas ni sebagai rujukan dlam thesis,,boleh dapatkan info penuh pengarang ?

H@N!3 said...

boleh saudari berkongsi instrumen dengan saya?

Post a Comment