Wednesday 29 February 2012

Penerapan Kerja Berpasukan dalam Organisasi Sekolah

Pengenalan
Secara ringkasnya kerja berpasukan merujuk kepada pekerja yang bekerja dalam satu kumpulan yang sering bekerjasama dan menjalankan tugas secara berganding bahu bagi mencapai matlamat pasukan. Sebuah pasukan terdiri daripada gabungan sebilangan individu yang mempunyai kompetensi yang saling bergantung iaitu dari segi keupayaan, kepakaran, kemahiran dan pengatahuan serta mempunyai akauntabiliti dan komitmen terhadap prestasi pasukan serta bersedia melaksanakan tugasan secara bersama.

Istilah ‘kerja berpasukan’ memberikan maksud sekumpulan manusia yang berkerja bersama-sama dalam satu unit organisasi seperti sekolah. Ia juga menunjukkan bagaimana manusia bekerja dengan lebih berkesan dalam satu kumpulan kerja yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Tetapi ia tidak bermakna setiap individu tidak mempunyai kepentingan. Sebaliknya keberkesanan dan kecekapan kerja berpasukan sering kali melewati kepentingan dan sasaran secara individu. ‘Kerja berpasukan’ yang paling berkesan adalah apabila semua individu melibatkan diri dan member sumbangan secara harmoni bagi mencapai matlamat yang sama.

Kerjasama menghasilkan produk atau pendidikan yang berkualiti dengan penuh rasa tanggungjawab adalah kerja berpasukan. Setiap ahli kumpulan mempunyai tanggungjawab dan kepakaran masing-masing yang perlu digunakan bagi menghasilkan keberhasilan warga ssekolah dan sekolah. Sekolah boleh dinilai berdasarkan kualiti keberhasilan dan kualiti kerjasama yang ditunjukkan oleh warga sekolah dalam usaha menjadi satu kumpulan. Kerjasama yang erat dengan berpegang pada matlamat yang sama adalah wadah yang membawa kejayaan kepada mana-mana ahli kumpulan. Kumpulan kerja perlu mengenepikan perbezaan dan bekerja bagi mencapai matlamat itu.

Kepentingan kerja berpasukan adalah bagi membantu ahli organisasi sekolah membina keyakinan dalam menyuarakan pendapat serta mempunyai kemahiran yang diperlukan bagi bekerja dengan orang lain. Ia juga menjurus ke arah belajar bekerja dengan warga sekolah lain. Jarang terdapat pasukan kerja yang dijadikan contoh. Kebanyakkan kita mementingkan dan menekankan supaya menjadi yang terbaik secara individu. Pekerja jarang didedahkan dengan persekitaran yang menekankan kerjasama dan kita sudah dibiasakan dengan menilai kepelbagaian manusia dari segi idea, latar belakang dan pengalaman. Kita boleh mewujudkan budaya kerja secara berpasukan dengan melakukan beberapa perkara secara betul. Jika dilakukan dengan tekun dan menghargai nilai, perkara ini dapat dicapai walaupun sukar.

Bagi membentuk pasukan kerja yang efektif merupakan satu agenda yang menjadi keutamaan pihak pengurusan sekolah. Isu-isu pendidikan tidak lagi hanya berkaitan dengan sistem pendidikan dan persekolahan, tetapi juga melibatkan pelbagai faktor lain yang mempengaruhi kualiti pendidikan.  Oleh itu, pendekatan pengurusan sekolah haruslah bersifat holistik, iaitu melibatkan semua pihak dan dibuat secara berterusan. Oleh yang demikian, kerja secara berpasukan amat penting diamalkan di sekolah untuk menentukan kejayaan sesebuah sekolah.

Ciri-ciri pentadbir sekolah mentransformasikan kerja berpasukan secara kreatif dan inovatif
Pengetua atau Guru Besar dalam kerja berpasukan perlu mempunyai cirri-ciri tertentu dalam melaksanakan perubahan dengan berkesan. Ini kerana, tugas pengetua dan guru besar dalam pasukan bagi mencorakkan ahli yang dipimpinnya adalah berat. Pengetua dan pasukan kerja perlu memiliki ciri-ciri yang baik dan positif kerana kepada mereka menjadi contoh ikutan kepada orang bawahan. Antara ciri-ciri pengetua dalam mentransformasikan kepimpinan yang kreatif dan inovatif adalah :
1)      Mempunyai matlamat yang jelas
Pengetua yang mentransformasikan kepimpinan melalui kerja berpasukan terlebih dahulu perlu membentuk matlamat yang jelas. Matlamat ini perlu diterangkan kepada ahli pasukan supaya semuanya memahami apa yang ingin dicapai melalui kerja berpasukan itu. Matlamat adalah kekuatan yang mendorong pengetua untuk mewujudkan pasukan yang kreatif dan inovatif. Matlamat ini perlu mempunyai gambaran yang realistik dan mampu menaikkan semangat serta komitmen setiap ahli pasukan.
2)      Komited kepada tugas
Pengetua perlu mempunyai dan menunjukkan sikap komited pada tugasnya. Adalah bercanggah sekiranya pengetua meminta ahli pasukan melakukan tugas sedangkan beliau sendiri tidak menunjukkan  minat dan kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan tugas itu. Beliau perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada ahli yang pasukan yang lain.
3)      Ketahanan mental, emosi dan fizikal yang tinggi
Sebagai penjana perubahan, pengetua perlu mempunyai ketahanan mental, emosi dan fizikal yang tinggi bagi menjalankan tugas sebagai warga sekolah dengan berkesan. Sekiranya pengetua tidak mempunyai daya ketahanan ini, warga sekolah tidak mampu mmenghadapi pelbagai cabaran dan halangan yang mendatang baik daripada pasukan itu sendiri ataupun daripada faktor luaran. Dari segi fizikal, pengetua perlu mempunyai tubuh badan yang sihat dan cergas. Kecergasan fizikal dan ketidakstabilan emosi mempengaruhi sikap dan tingkah laku guru pada tugas dan gaya kepimpinannya. Pengetua yang terlalu emosional lebih mudah mengalami tekanan dan sukar diajak berunding dan mereka lebih cenderung mengamalkan gaya kepimpinan autokratik.
4)      Kemahiran  berfikir secara dinamik
Bagi membolehkan pengetua merealisasikan matlamat, warga sekolah perlu sentiasa dinamik, kreatif dan inovatif. Melalui cara ini, masalah kurang hubungan, sokongan dan komitmen daripada ahli pasukan dapat ditangani dengan mudah dan berkesan. Selain itu, kemahiran ini juga penting kepada pengetua bagi membuat ramalan dan jangkaan berkenaan cabaran dan masalah yang bakal dihadapi dalam pasukannya. Paling penting adalah membuat perancangan berkenaan agenda yang hendak dilaksanakan dlam kumpulan itu.
5)      Ilmu dan tahap kognitif yang tinggi
Pengetua perlu mempunyai ilmu dna tahap kognitif yang tinggi. Beliau sebaik-baiknya memiliki tahap keupayaan kognitif yang tinggi bagi memikir, memahami dan mengenal pasti setiap agenda yang hendak dilaksanakan. Dengan itu, pengetua dapat merancang, membuat jangkaan dan ramalan, mengenal pasti sektiap keperluan, menyusun strategi dan seeterusnya melaksanakannya. Biasanya pengetua yang Berjaya mempunyai tahap ilmu pengetahuan atau IQ yang tinggi berbanding ahli bawahannya. Ciri ini penting bagi membolehkan pengetua menangani setiap masalah secara rasional.
6)      Kemahiran diagnostik yang efektif
Kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah adalah satu lagi ciri yang perlu dimiliki oleh pengetua dalam menangani masalah pasukannya. Sebarang masalah yang dihadapi oleh ahli pasukan memerlukan penyelesaian yang cepat dan betul. Dalam erti kata lain, pengetua perlu mempunyai kemahiran diagnostik dalam mmenjalankan peranannya sebagai ketua pasukan. Ketua pasukan perlu bijak mengenal pasti dan menyelesaikan setiap masalah.
7)      Kemahiran komunikasi yang berkesan
Pengetua perlu mengamalkan komunikasi yang berkesan dalam melaksanakan setiap tugas dan program. Pengetua perlu menerangkan dengan jelas berkenaan matlamat, kenapa, mengapa dan bagaimana tugas ataupun program itu hendak dilaksanakan. Jika pengetua tidak dapat berkomunikasi dengan baik, visi dan wawasan organisasi sekolahtidak dapat diperjelaskan. Ketua perlu memahami proses, pola dan saluran komunikasi yang betul supaya matlamat dapat disampaikan dan diterima oleh ahli-ahli yang lain. Melalui cara ini jurang komunikasi antara ketua dan ahli-ahli kumpulan dapat dikurangkan.
8)      Akhlak dan personaliti yang baik
Ciri-ciri pengetua yang berkesan tidak lengkap jika tidak mengambil kira dari sudut ketinggian moral, akhlak dan personaliti. Pengetua yang tidak menunjukkan kahlak dan personaliti yang baik, tidak diterima oleh warga sekolahnya dengan ikhlas. Hal ini tentu menyulitkan agenda yang hendak dilaksanakan melalui kumpulan kerana pengetua sukar mendapat kerjasama daripada pihak-pihak yang terlibat.
9)      Cekap mentadbir dan mengurus
Pengetua perlu berupaya mengurus dan mentadbir dengan cekap dan berkesan. Setiap agenda, perkara dan program yang dirancang mengalami perubahan dan menimbulkan pelbagai konflik dan ketegangan. Kebolehan mengurus dan mentadbir pasukan dengan bijak adalah dituntut.

Pasukan kerja yang berkesan akan menambahbaikan lagi pengurusan yang berkesan, dinamik serta dapat beri kepuasan dan motivasi kepada guru. Dengan kefahaman dan kesedaran yang tinggi ini akan menghasilkan suasana budaya kerja cemerlang dan seterusnya berjaya mencapai objektif, visi dan misi sekolah dan membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia. Kerja berpasukan mampu meningkatkan tahap pengetahuan, kemahiran dan keupayaan guru-guru yang melakukan kerja secara kolaboratif. Ia mampu juga meningkatkan produktiviti mereka. Kerjasama antara para pendidik dan pihak pengurusan sekolah akan merealisasikan pencapaian matlamat sekolah, seterusnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kerjasama secara berpasukan di kalangan pihak pengurusan dan guru serta seluruh organisasi sekolah bukanlah mudah untuk dicapai dan keadaan sedemikian memerlukan pengorbanan kepentingan individu demi keutamaan matlamat dan kepentingan organisasi. Oleh itu, amatlah wajar diberi perhatian terhadap kerja berpasukan dalam organisasi sekolah dan keberkesanan pengaplikasian kerja berpasukan oleh pihak yang terlibat terutamanya di sekolah.

Peranan pengetua dan guru besar mengurus kerja berpasukan
Pengetua dan guru besar mempunyai peranan yang mencakupi pelbagai aspek dalam memastikan pasukannya bergerak ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan. Apabila pemimpin melaksanakan peranannya secara kreatif dan inovatif, beliau dapat mengorganisasikan pasukannya dengan baik. Antara peranan pemimpin pasukan adalah :
1)      Perancang
Pengetua yang baik perlu bijak merancang dan menyusun perancangan. Perancangan yang dibuat perlu diteliti dan mempunyai tujuan yang jelas. Dalam merancang kerja, pengetua perlu mendapatkan idea-idea daripada ahlinya supaya kualiti kerja dapat ditingkatkan lagi. Beliau juga perlu bertindak dengan berkesan bagi menggerakkan ahli-ahli yang lain supaya bekerja secara aktif baik dari aspek menjana idea, tenaga dan sebagainya. Dalam perancangan, banyak perkara ayng perlu difikirkan, diurus dan ditadbir dengan dimensi dan perspektif yang baru oleh ketua dan pasukannya. Warga sekolah perlu memikirkan berkenaan perjalanan, kos sama ada dalam bentuk kewangan, ataupun bukan kewangan serta risiko yang bakal dihadapi kemudian hari.
2)      Pelaksana
Pengetua sebaik-baiknya tidak menggunakan kuasa yang diperolehi bagi memaksa ahli-ahlinya melaksanakan kehendaknya yang bersifat peribadi. Sebagai pelaksana, pengetua perlu berusaha menjalankan ataupun memenuhi kehendak ahli-ahlinya. Mereka juga perlu melaksanakan program yang ditetapkan bersama. Dalam aspek ini, pengetua perlu mengambil kira susunan tugas ahli kumpulan mengikut keperluan dan kepakaran masing-masing selaras dengan matlamat organisasi. Bagi meningkatkan motivasi dan kepuasan kerja, faktor-faktor seperti minat, kepakaran dan kemahiran setiap ahli kumpulan perlu diambil kira dalam menstrukturkan tugasan. Melalui cara ini, pasukan kerja itu akan memperoleh kejayaan.
3)      Ahli ataupun sebahagian daripada ahli kumpulan
Pengetua tidak dapat berdiri dengan sendiri tanpa ahli-ahli dibelakangnya. Warga sekolah adalah sebahagian yang tidak terpisah daripada kumpulannya. Walaupun sebagai ketua, pengetua juga perlu bertindak sebagai ahli dalam pasukan kerja itu.
Pengetua perlu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan ahli-ahli kumpulan yang lain. Beliau tidak sepatutnya mewujudkan jurang perbezaan bagi mengasingkan diri daripada bergaul dan berinteraksi dengan orang bawahannya. Ketua yang baik bukan memberi arahan, tetapi bersama-sama dengan ahli pasukannya memberi tunjuk ajar dan melaksanakan tugas. .
4)      Mengawasi hubungan antara ahli kumpulan
Dalam pasukan kerja di sekolah, terdapat pelbagai ragam dan perbezaan sifat atau tingkah laku antara setiap ahli. Perbezaan ini mewujudkan pelbagai pendapat dan menimbulkan konflik sehingga mencetuskan suasana tegang dalam pasukan kerja itu. Tugas pengetua adalah menjaga ahlinya supaya tidak berlaku perselisihan dan berusaha membangunkan hubungan yang harmoni serta semangat bekerjasama antara setiap ahlinya.
5)      Pemberi ganjaran, pujian ataupun hukuman
Pengetua sebaik-baiknya dapat menggembirakan hati ahli-ahlinya yang kuat bekerja serta memberi banyak sumbangan kepada kempulannya melalui ganjaran. Pengetua boleh memberikan ganjaran berbentuk pujian apabila ahli kumpulannya melaksanakan tugas dengan jayanya. Apabila pengetua menunjukkan siakp menghargai sumbangan para ahlinya, secara tidak langsung beliau mendapat kerjasama yang padu daripada orang bawahannya. Orang bawahan juga akan terus meningkatkan sumbangan kerana hasil penat lelah warga sekolah selama ini dihargai oleh pihak pentadbir. Melalui cara ini, tidak timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan kakitangan. Di samping itu, pengetua juga perlu berani dan bertindak tegas ke atas ahli-ahli yang merugikan kumpulan kerja. Namun, hukuman tidak digalakkan dikenakan ke atas ahli yang melanggar arahan dan tidak melaksanakan tugasan. Pengetua perlu menggunakan jalan penyelesaian dan pendekatan yang berhemah bagi mengatasi masalah ini. Contohnya, pengetua perlu menegur orang bawahannya terlebih dahulu di samping membimbing warga sekolah membetulkan kesilapan yang dilakukan. Jika jalan penyelesaian yang diambil tidak mampu mengatasi masalah itu, maka tindakan tegas pelru diambil.
6)      Pengantara
Dalam menyelesaikan perselisihan atau menerima aduan daripada anggota kumpulannya, pengetua perlu bertindak tegas, tidak pilih kasih ataupun hanya mementingkan satu pihak sahaja. Pengetua sebagai pengantara mampu membantu menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh ahli pasukan itu. Konflik yang berlaku dalam pasukan kerja yang tidak dapat diselesaikan memerlukan bantuan daripada pihak ketiga untuk mengatasinya. Konflik menjejaskan semangat kerjasama setiap ahli dan merugikan pasukan. Apabila konflik tidak di atasi dengan cara yang bijak, pembentukan kerja berpasukan menjadi sia-sia. Peranan pengetua adalah bertindak sebagai orang tengah dalam menjaga keharmonian pasukan kerja, seterusnya dapat menyumbang kepada kecemerlangan pasukan itu. Pengetua juga perlu bertindak sebagai pengantara kepada orang bawahannya dengan pihak atasan. Sebarang maklumat daripada pihak atasan perlu disampaikan kepada ahlinya.
7)      Pemegang tanggungjawab ahli
Pengetua perlu bertanggungjawab ke atas perbuatan ahlinya yang dilakukan atas nama kumpulannya. Ini kerana, pengetua sudah diamanahkan bagi menjaga ahli-ahli di bawah pimpinannya. Apabila sesuatu berlaku pada ahlinya, pengetua harus bertanggungjawab bagi memastikan ahli-ahlinya berada dalam keadaan baik.
8)      Bertindak sebagai ‘ayah atau ibu’
Tindakan pengetua kepada anak buah atau kumpulannya perlu menggambarkan seolah-olah tindakan ayah ataupun ibu kepada anggota keluarganya. Begitu juga perumpamaan yang diberikan kepada pengetua dalam pasukan kerja. Pengetua perlu menganggap orang bawahannya seperti ahli keluarga yang perlu diberi perhatian sepenuhnya. Pengetua perlu mengambil berat hal ehwal ahli pasukannya seperti kebajikan, penyediaan kemudahan dan sebagainya. Hubungan sesame ahli juga perlu dititikberatkan. Pemimpin kerja berpasukan perlu berusaha mewujudkan hubungan bersikap kekeluargaan yang mesra antara satu sama lain. Ini bertujuan bagi menjamin sifat kerukunan pasukan itu sepanjang masa.
9)      Penanggung risiko
Sama ada pasukan yang dipimpin berjaya atau tidak, pemimpin perlu menanggung setiap risiko yang bakal dihadapinya. Warga sekolah perlu menyedari dirinya adalah tempat melemparkan kesalahan dan keburukan yang terjadi dalam kumpulannya. Warga sekolah perlu berani bertanggungjawab atas kesalahan orang lain. Para pengetua perlu mengetahui ciri-ciri keterampilan dan peranan masing-masing sekiranya inging menjadi pemimpin yang efektif. Apabila pengetua dapat memupuk sifat-sifat kepimpinan yang positif dan melaksanakan peranan warga sekolah dengan sebaiknya, warga sekolah mempunyai peratus kejayaan yang tinggi bagi memimpin pasukannya melangkah ke arah yang lebih berdaya saing. Ini kerana pengetua adalah individu paling penting bagi mengemudi dan mencorakkan pasukannya mengikut acuan yang sudah dibentuk. Pengetua eprlu mencari kaedah yang berkesan bagi berurusan dan berhadapan dengan perubahan bagi mengekalkan keberkesanan organisasi. Pengetua perlu menghormati dan mengintegrasikan faktor persekitaran seperti individu, kumpulan, organisasi dan komuniti dalam meningkatkan pencapaian matlamat demi keuntungan bersama.

Peranan pengetua sebagai pemimpin dalam kehidupan seseorang guru haruslah diserlahkan melalui peranan role model atau mentor. Pengetua boleh bertindak dalam pelbagai cara agar warga sekolah dapat melabel mereka sebagai tempat rujukan yang boleh dicontohi atau dijadikan idola. Ini secara tidak langsung menjadikan mereka sebagai mentor yang boleh diteladani oleh seluruh warga sekolah. Pengetua juga perlu mentranformasikan kepimpinan melalui kerja berpasukan terlebih dahulu dalam membentuk wawasan dan matlamat yang jelas. Wawasan ini perlulah mempunyai gambaran yang realistik dan mampu menaikkan semangat serta komitmen setiap warga sekolah.

Kepimpinan seorang pengetua perlu mencakupi pelbagai aspek dalam memastikan pasukannya bergerak ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan. Apabila pemimpin melaksanakan peranannya dengan berkesan, beliau dapat mencapai matlamat pasukannya dengan baik. Selain itu, setiap pengetua perlu melengkapkan diri dengan kemahiran yang lengkap dari segi fizikal dan teknikal kerana sebagai pengetua, mereka perlu bersikap proaktif dan bersedia mengambil risiko serta berani keluar daripada kepompong keselesaan. Pengetua yang melakukan transformasi kepimpinan seharusnya sentiasa memahami dan melibatkan orang lain dalam apa jua keadaan sekali pun kerana di sinilah mereka mendapat mandat dan kepercayaan daripada setiap ahli dalam organisasi. Proses pengagihan kepimpinan ini tidak boleh bergantung pada arahan dan kawalan sahaja tetapi perlulah mendapat kerjasama dan persefahaman bersama. Jika guru mampu mentadbir dan mengurus secara sendiri, ini dapat meningkatkan profesionalisme guru sekali gus mengurangkan pergantungan terhadap kepimpinan.

Kelebihan Kerja Berpasukan
Menurut Spiegel Cresencio Torres (1994) kerja berpasukan memberikan banyak faedah kepada pasukan mahupun ahli  dalam pasukan tersebut. Dari segi faedah pasukan, ia akan meningkatkan produktiviti kerja, meningkatkan kualiti kerja dan meningkatkan moral pekerja. Dari segi faedah individu pula, ia dapat mengurangkan tekanan kerja dengan tanggungjawab dikongsi bersama, mereka akan merasakan diri dihargai oleh ahli dalam pasukan, kebolehan individu boleh dikongsi bersama dengan ahli pasukan dan pengalaman setiap ahli pasukan boleh dijadikan panduan kejayaan. Dengan itu, kejayaan akan dikongsi bersama ahli pasukan. Selain ini, kerja berpasukan mempunyai kelebihan seperti meningkatkan rangsangan, mengeratkan tali persaudaraan dan setia kawan antara pekerja, mengurangkan sebarang pergeseran, atau  berpuak-puak yang selalunya merupakan angkara yang tidak sihat dan mewujudkan  perasaan seronok bekerja. Ahli pasukan akan sentiasa suka menghasilkan kerja yang paling baik dan mampu mewujudkan suasana yang intim. Mereka juga akan  meningkatkan perasaan bangga kepada pasukan dan organisasi. Pasukan kerja yang berjaya akan memiliki ciri-ciri tersendiri dengan hasil yang menguntungkan semua pihak. Ciri-ciri am kerja berpasukan adalah sempadan yang jelas, manfaat daripada kemahiran  yang pelbagai, tugasan yang jelas untuk dipersembahan, mempunyai sasaran tarikh, bergantung pada kerjasama, bilangan ahli yang tidak terlalu ramai, akauntabiliti individu dan saling bergantung, kerja secara kolektif, aktif dalam penyelesaian masalah, perbincangan secara terbuka, saling bergantung dan kepimpinan berkongsi. Pasukan kerja yang efektif dianggap sebagai pemangkin yang  terkuat untuk melaksanakan perubahan organisasi. Pasukan kerja yang berkesan tidak akan wujud secara kebetulan. Pasukan berkesan perlu dilahirkan dengan sengaja dan diurus secara sistematik. Maka dalam konteks organisasi sekolah, pasukan kerja yang diwujudkan adalah bertujuan dan memiliki matlamat yang jelas. Sebelum ditinjau lagi adalah wajar meninjau teori-teori pengurusan yang membicara kerja berpasukan. Manfaat yang akan diperolehi oleh pengetua dalam mewujudkan pasukan ayng kreatif dan inovatif dengan bertindak kerja berpasukan ialah  berbagai bidang kepakaran, pengetahuan dan kemahiran dapat digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ini akan melahirkan penyelesaian yang berkesan. Mereka bertindak secara berpasukan boleh membantu meningkatkan moral kakitangan dan kepuasan bekerja kerana mereka sama-sama diberi peluang menyelesaikan masalah-masalah kualiti jabatan. Masalah-masalah yang dikongsi bersama oleh berbagai fungsi dan bahagian boleh diselesaikan dengan cepat dan berkesan kerana cadangan yang dibuat oleh kakitangan secara berpasukan akan lebih mudah untuk dilaksanakan berbanding
dengan cadangan yang dibuat oleh individu. Apabila kakitangan mengamalkan semangat berpasukan, mereka akan secara langsung boleh mengukuhkan tiga aspek yang penting kepada proses peningkatan kualiti iaitu pertukaran maklumat dan idea-idea dan lebih meluas, semangat saling percaya-mempercayai dalam kalangan kakitangan dan komunikasi yang lancar di dalam organisasi. 

Ahli kerja pasukan akan mempunyai peluang yang luas untuk bertukar pengetahuan, pengalaman, maklumat dan idea dengan rakan sekerja melalui kerja berpasukan. Pekerja ini akan meningkatkan kebolehan seseorang ahli dalam pasukan mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif bagi mempertingkatkan kualiti kerja yang dijalankan. Dalam suasana  kerja berpasukan, ahli pasukan mudah menjalankan perasaaan percaya-mempercayai sesama mereka. Dengan perasaan ini individu akan merasa bebas dan lebih  yakin untuk bertindak dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Dengan itu mereka akan dapat membuat keputusan keputusan dengan cepat, menggunakan  budi bicara dengan sempurna dan mengembangkan bakat serta potensi yang ada di dalam diri masing-masing bagi menggerakkan proses peningkatan kualiti. 

Konklusi
Peranan pengetua sebagai pemimpin perlu membina konsep kekitaan atau kerja sepasukan agar penambahbaikan organisasi dapat dilakukan secara berterusan. Pengetua juga perlu menunjukkan strategi yang dapat membantunya mengadaptasi dan melibatkan diri dengan persekitaran antaranya menjalinkan hubungan mesra dengan masyarakat persekitaran sama ada dengan jabatan kerajaan, swasta mahupun individu. Dapat disimpulkan, tugas atau peranan pengetua yang mentransformasikan kepimpinan organisasi pendidikan tidak hanya tertumpu pada definisi pemimpin itu sahaja, bahkan memimpin dan mempengaruhi orang lain dengan usaha yang gigih dalam mencapai matlamat organisasi. Pengetua juga perlu menguasai kemahiran kemanusiaan serta bertindak sebagai penjana perubahan, serta perlu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menguruskan masalah dan tekanan yang dihadapi oleh warga sekolahnya.

Pengetua selaku peneraju utama dalam kepimpinan peringkat sekolah perlu melakukan satu anjakan paradigma kerana perubahan dalam organisasi itu sangat penting dilaksanakan. Tanpa perubahan, organisasi itu tidak akan mencapai matlamat dan kecemerlangan. Namun, bagi melaksanakan perubahan bukan sesuatu perkara yang boleh diambil mudah. Ia memerlukan pertimbangan dan penglibatan semua pihak supaya perubahan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.




3 comments:

Unknown said...

Terima kasih

Anonymous said...

maklumat terbaik...terima kasih

Unknown said...

terima kasih...perkongsian yang bermanfaat

Post a Comment