Tuesday 28 February 2012

Penggunaan Buku Teks dalam Pengajaran & Pembelajaran di Sekolah

Pengenalan
Tumpuan kertas kerja ini membincangkan pandangan guru-guru pelatih terhadap kaedah penggunaan buku teks Bahasa Melayu yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran yang dapat meningkatkan minat dan penglibatan murid lemah secara individu. Perbincangan secara umum difokuskan kepada maklum balas atau pandangan guru pelatih berkaitan dengan konsep umum buku teks iaitu aspek kandungan, aktiviti dan latihan, persembahan dan grafik buku teks berkenaan. Kajian ini juga membincangkan kebaikan buku teks sebagai bahan pembelajaran untuk murid lemah serta jenis aktiviti yang digunakan untuk menarik minat murid memahami isi kandungan buku teks. Salah satu aspek penting yang dipertimbangkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah cara atau kaedah yang sesuai dan berkesan bagi membantu murid lemah dalam pembelajaran melalui penggunaan buku teks yang berkualiti.

Pernyataan Masalah
Buku teks merupakan sumber terpenting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di mana guru mengaplikasikan teknik-teknik pengajaran yang berkesan bagi mencapai objektif pembelajaran di dalam bilik darjah. Buku teks yang berkualiti akan menghasilkan informasi yang berkesan kepada murid-murid. Selaras dengan itu, dalam penghasilan buku teks yang berkualiti beberapa pandangan dan respon daripada guru-guru diperlukan bagi mengenal pasti keseluruhan isi kandungan buku teks mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.

Dalam kajian ini, pernyataan masalah dijelaskan secara ringkas dan terperinci. Justifikasi dan dasar pemikiran yang dijelaskan menyentuh beberapa pandangan yang jelas dari sudut kandungan buku teks itu  sendiri, aktiviti dan latihan yang terdapat dalam buku teks, persembahan dan juga bahan grafik yang digunakan dalam buku teks tersebut. Pandangan dan respon daripada guru pelatih sangat diperlukan bagi membantu penghasilan buku teks yang berkualiti kerana idea-idea baru diperlukan dalam memupuk minat dalam kalangan pelajar terhadap penggunaan buku teks sebagai sumber rujukan utama semasa sesi pembelajaran dalam kelas.

Hipotesis
Dalam jurnal ini, hipotesis yang dinyatakan adalah jelas. Hipotesis tersebut dikemukakan untuk menjelaskan hasil penyelidikan yang ingin dicapai supaya mudah dicapai dan dicerap. Antara hipotesis kajian yang dinyatakan oleh penulis adalah bertujuan untuk memerhatikan pandangan pelbagai kumpulan guru pelatih seperti berikut:
·        Meninjau pandangan guru-guru pelatih pengkhususan Pengajian Melayu terhadap peranan dan keberkesanan buku teks Bahasa Melayu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
·   
     Meninjau pandangan guru-guru pelatih pengkhususan Kajian Sosial dengan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran elektif terhadap peranan dan keberkesanan buku teks Bahasa Melayu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Berdasarkan pernyataan masalah yang telah dikemukakan, hipotesis yang terhasil ini adalah secara logiknya saling berkaitan antara satu sama lain. Hipotesis ini membantu penulis untuk mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi dalam proses kajian. Secara kesimpulannya, kajian yang dilakukan oleh penulis dapat memberikan sumbangan terhadap keberkesanan penggunaan buku teks Bahasa Melayu dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Sorotan Literatur
Keberhasilan pengajaran ditentukan oleh beberapa faktor. Faktor-faktor tersebut antara lain kurikulum, guru-guru dan para pelajar. Secara umum di dalam kurikulum termaktub tujuan, metode dan strategi pembelajaran di kelas. Kurikulum merupakan panduan guru dan pelajar dalam melaksanakan pembelajarannya di dalam kelas.

Cambridge International Dictionary of English memberi menjelaskan “A book that contains detailed information about a subject for people who are studying that subject.” Dent (1955) pula menjelaskan bahawa buku teks ialah alat pembelajaran yang penting dan sukar diganti dengan bahan lain. Menurut Dr. Mohd Puad (2009) dalam kenyataan akhbar beliau, buku teks sekolah disediakan dengan menggunakan pelbagai kaedah pedagogi pengajaran dan pembelajaran bagi mencapai objektif Falsafah Pendidikan Negara bagi membentuk keupayaan individu secara holistik dan berintegrasi. Gopinathan (1983) pula memberi definisi buku teks sebagai alat yang digunakan secara meluas di bilik darjah walaupun terdapat pelbagai alat bantu mengajar yang canggih dalam era teknologi maklumat pada masa kini.

Ryan McFall (2005) dalam kenyataan beliau menjelaskan A textbook written at a high level assumes a reasonable amount of prior content knowledge, while a low level textbook often seeks to “water down” the concepts so that readers new to the field can understand them”. Kata pengantar merupakan kata pembuka dan arahan yang dapat digunakan guru sebagai alat untuk membuka cakerawala dan wawasannya tentang isi buku teks. (Suparti, Sugiran dan Sulisstiyono, 2010)

Subjek dan Populasi
Kajian yang berbentuk tinjauan ini telah dijalankan secara kuantitatif. Bagi mendapatkan data yang tepat, tinjauan soal selidik telah digunakan. Seramai 41 orang guru pelatih daripada Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) telah terlibat dalam tinjauan ini dan guru pelatih ini terbahagi kepada dua kumpulan; 20 orang guru pelatih pengkhususan Pengajian Melayu dan  21 orang lagi guru pelatih daripada pengkhususan Kajian Sosial dengan Bahasa Melayu sebangai subjek elektif.

Berdasarkan maklumat di atas, dapat dijelaskan bahawa populasi dalam kajian ini dapat dikenal pasti. Ini kerana hanya 41 orang sahaja guru pelatih yang terlibat dalam kajian ini. Manakala kaedah dalam pemilihan sampel pula adalah jelas kerana setiap sampel mewakili populasi dan sampel yang terlibat ialah dalam kalangan guru pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Januari 2008 di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang. Sampelan secara kelompok telah dipilih berdasarkan populasi, seperti pilihan rawak berdasarkan pengkhususan dalam sesebuah Institut Pendidikan. Ini menunjukkan bahawa sampelan yang dipilih mampu menghasilkan dapatan yang tepat dalam menghasilkan analisis.

Instrumen
Terdapat dua kriteria penting dalam mengenal pasti instrumen iaitu kesahan dan kebolehpercayaan. Instrumen yang digunakan untuk kajian ini adalah set soal selidik yang terdiri daripada empat komponen utama. Setiap komponen mempunyai 7-10 item. Item-item setiap komponen telah dibina dan diubah suai daripada sumber Bahagian Buku Teks, KPM dan pengkaji sendiri. Skala Likert telah digunakan dalam soal selidik ini. Dalam kajian ini, instrumen yang terhasil adalah untuk mengukur sejauh mana tahap keberkesanan penggunaan buku teks Bahasa Melayu KBSR di sekolah-sekolah. Instrumen yang tidak sempurna mengandungi item yang salah dan kesahan diperlukan untuk menentukan isi kandungan dan ketepatan ramalan bagi melengkapkan soal selidik. Instrumen yang dihasilkan akan menghasilkan ukuran yang sama setiap kali sampel yang sama digunakan. Manakala kebolehpercayaan dalam kajian ini pula merujuk kepada skor yang diperolehi sama ada keberkesanan dan kualiti buku teks mampu kekal secara konsisten atau tidak. Secara ringkasnya, penulis telah menggunakan instrumen yang bersesuaian dengan fungsi kebergantungan pembolehubah dan data yang telah terkumpul akan melalui proses analisis menggunakan perisian komputer Statistical Package for Social Science (SPSS)

 Analisis Data
Setelah data dikumpulkan, perisian komputer Statistical Package for Social Science (SPSS) digunakan untuk menganalisis data tersebut secara statistik deskriptif dan statistik inferensi. Statistik deskriptif sangat sesuai digunakan dalam merumus kajian ini kerana deskriptif akan digunakan untuk menerangkan pola sampel seperti taburan kekerapan, min, median dan mod.  Manakala statistik inferensi pula sesuai digunakan dalam menguji hipotesis kerana inferensi membolehkan penyelidik membuat andaian tentang populasi dan perlu memenuhi beberapa kriteria seperti perwakilan data. Antara analisis data yang digunakan ialah ujian-T, ANOVA, khi-kuasa-dua dan korelasi. Kedua-dua jenis statistik ini adalah bersesuaian untuk mentafsirkan dapatan yang tepat kerana penyelidik dapat menggunakan statistik yang lebih berupaya menentukan signifikan penyelidikan dan statistik yang digunakan ini adalah bersesuaian dengan tahap pengukuran sesuatu data itu.
Hasil dapatan ini dipersembahkan menggunakan jadual kekerapan, peratusan dan min untuk melihat pandangan guru pelatih terhadap kualiti buku teks Bahasa melayu KBSR. 

Keputusan Kajian
Berdasarkan keputusan dapatan, pengkaji mendapati bahawa terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian khusus agar pihak sekolah dan murid dapat memanfaatkan penggunaan buku teks secara optimum di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Keputusan daripada semua pengujian hipotesis telah dipersembahkan dengan jelas dan jadual kekerapan telah digunakan bagi menguji beberapa pandangan guru pelatih berkenaan penggunaan buku teks ini. Statistik juga telah dijelaskan dengan tepat di mana statistik deskiptif dan statistik inferensi digunakan bagi merumus dan menguji data yang diperolehi bagi menghasilkan dapatan yang tepat. Keputusan kajian ini telah dipersembahan dengan jelas dengan adanya penggunaan perisian komputer Statistical Package for Social Science (SPSS) yang menghasilkan keputusan yang tepat dan relevan. Jadual kekerapan, peratusan, min, median dan mod juga dapat dihasilkan dengan tepat berdasarkan penggunaan SPSS.

Perbincangan
Berdasarkan dapatan kajian, komponen yang terdapat dalam buku teks merupakan satu aspek yang penting kerana buku teks merupakan panduan utama kepada guru mengenai perkara yang hendak diajar di dalam kelas. Di Malaysia, kandungan buku teks dibahagikan kepada beberapa unit kecil bagi memudahkan guru mengajar tajuk-tajuk kecil dengan skop yang lebih meluas. Dalam kajian ini, pengkaji telah menerangkan implikasi yang mungkin memberi kesan terhadap dapatan kajian. Pengkaji juga ada menegsakan bahawa halaman pertama merupakan rangsangan yang penting dalam setiap unit. Biasanya halaman pertama ini mengandungi bahan grafik yang menarik minat murid untuk berfikir dan berbincang mengenai tajuk yang dipelajari terlebih dahulu. Pengkaji juga ada membincangkan penggunaan buku kerja yang menjejaskan fungsi buku teks sebagai sumber rujukan utama. Ini dibuktikan melalui tinjauan beliau terhadap kajian pengkaji lain yang menunjukkan bahawa buku teks paling kurang digunakan oleh guru untuk memberi latihan kepada murid di dalam kelas.

Dalam merungkaikan beberapa persoalan mengenai fungsi dan keberkesanan buku teks ini, pengkaji telah membincangkan aplikasi yang bersesuaian dengan hipotesis yang telah dibina. Aplikasi yang digunakan pula secara jelas dan logik menerangkan hasil dapatan dan ia saling berhubung kait dengan teori yang dikemukakan dalam sorotan literatur. Memandangkan peranan buku teks yang begitu penting dalam sistem pendidikan di Malaysia, maka dengan itu pihak SPBT perlulah menjalankan kajian yang terperinci dan mendalam bagi melihat tahap kualiti buku teks tersebut. Antara sampel yang terlibat dalam kajian ini adalah ibu bapa atau penjaga murid, dan murid itu sendiri yang boleh menambahkan lagi kebolehpercayaan, kesahihan dan akauntabiliti kajian. Selain itu, pengkaji juga boleh menjadikan responden dari sekolah swasta sebagai sampel kajian bagi membuat perbandingan tentang tahap maklum balas atau pandangan mereka masing-masing dalam isu keberkesanan penggunaan buku teks di sekolah.

Konklusi
Pada akhir kajian, pengkaji mendapati bahawa penggunaan buku teks dapat membantu pencapaian objektif dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sekiranya bahan yang terkandung di dalamnya bersesuaian dengan tahap dan keperluan murid. Bahan yang terkandung dalam buku teks merangkumi teks utama, latihan dan aktiviti yang bersesuaian. Maka dengan itu sudah jelaslah objektif yang ingin dicapai dalam kajian ini. Walaupun teknologi maklumat semakin berkembang, tidak dinafikan bahawa fungsi dan peranan buku teks masih diperlukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Jadi tidak hairanlah sekiranya pihak KPM mengarahkan supaya buku teks diwajibkan sebagai sumber rujukan utama di dalam kelas. Penggunaan buku teks secara berkesan dapat meningkatkan pencapaian akademik murid dan ini dibuktikan sendiri oleh guru dan murid yang berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dalam kajian ini, pengkaji tidak menafikan kepentingan buku teks yang digunakan sebagai sumber rujukan utama.

Rumusan
Kesimpulannya, pengkaji mendapati bahawa penggunaan buku teks dapat meningkatkan prestasi murid dalam sesuatu pembelajaran di sekolah. Rumusan yang dibuat oleh penulis adalah jelas, lengkap dan bertepatan dengan objektif yang ingin dicapai dalam kajian ini. Dapatan kajian ini diharapkan dapat membantu Bahagian Buku Teks dan panel penulis untuk menghasilkan buku teks yang lebih berkualiti untuk manfaat semua pihak.

Bibliografi
Tay Meng Guat (2010). Pandangan Guru Pelatih Terhadap Buku Teks Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Institut Pendidikan Guru, Kampus Batu Lintang. Junal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 9, 2010
Hj. Shahruddin Basri, Chan Lee Chiun dan Muslimin Fadzil (2004). Penggunaan Buku Teks Secara Berkesan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah untuk Murid Berprestasi Rendah di Peringkat Sekolah Menengah. SMK Sultan Abdul Jalil, Kluang, Miri Sarawak dan SMK Tiram Jaya. Bahan Sejarah 2004
Ryan McFall (2005). Electronic Textbook That Transform How Textbooks Are Used”
Hope College, Holland Michigan, USA. The Electronic Library, Vol. 23, No. 1, 2005
Jamaludin Hj. Badusah dan Mohamed Amin Embi (2006). Keberkesanan Penggunaan Buku Elektronik : Penulisan Karangan Berbentuk Deskriptif. Jurnal Teknologi Maklumat & Multimedia 3 (2006): 43-54
Helen Gunter (2001). Critical Approaches to Leadership in Education. University of Birmingham, United Kingdom Journal of Educational Enquiry, Vol. 2, No. 2, 2001
Surat Kepada Pengarang (2010). Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia. Diakses pada 2 Oktober 2010 dari http://www.moe.gov.my

1 comment:

aza said...

salam, boleh saya dapatkan artikel penuh bagi jurnal ini.
saya berminat untuk jadikan sebagai LR dalam kajian saya. terima kasih

Post a Comment