Pengenalan
Belajar falsafah merupakan satu ilmu
yang mempelajari mengenai sebuah proses memahami aktiviti-aktiviti berfikir
manusia, dan falsafah itu sendiri adalah aktiviti berfikir itu. Dengan kata
lain, falsafah mendorong manusia untuk berfikir dengan lebih kritis dan kritik.
Tujuan falsafah ialah mencari dan membuktikan kebenaran dan memberi arah tujuan
atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan. Setiap
perbuatan serta perlakuan manusia itu menggambarkan apa yang difikirkan oleh
seseorang dalam akalnya, di mana apa yang dilakukannya adalah apa yang
difikirkan. Oleh itu, seseorang yang berakhlak dan berdisiplin itu bolehlah
dikatakan sebagai seorang yang mempunyai fikiran yang tersusun dan teratur
serta akal yang sihat. Ini kerana, akhlak yang dicerminkannya menggambarkan
keadaan akal fikirannya.
Ramai manusia
tidak menggemari falsafah kerana ia dikatakan satu ilmu yang susah dan
merumitkan. Sebenarnya, falsafah itu sudah ada pada diri manusia itu sendiri.
Setiap dari manusia itu mempunyai falsafahnya sendiri. Falsafah yang
dimaksudkan di sini adalah corak serta aktiviti berfikir. Seseorang manusia
akan berfikir apa yang hendak dilakukan sepanjang seharian dia bekerja. Ini
bertujuan agar segala kerja dan tanggungjawab yang dipikulnya berjalan lancar.
Konsep
Asas Falsafah
Istilah falsafah berasal daripada
dua perkataan Yunani, iaitu philos
(bermakna mencintai) dan Sophia
(bermakna kebijaksanaan). Dengan berpandukan kepada makna dua perkataan Yunani
ini, istilah falsafah boleh diertikan sebagai perihal mencintai kebijaksanaan.
Pada zaman Yunani yang bertamadun
kira-kira 2500 tahun dahulu, ahli-ahli falsafah yang terkemuka seperti
Socrates, Plato dan Aristotle sentiasa berusaha dan cuba memikir, menilai,
mentafsir kehidupan dan pengalaman manusia dengan tujuan mencari kebenaran dan
nilai kehidupan yang sempurna. Konsep ini dapat dikesan daripada dialog
ahli-ahli falsafah yang direkodkan dalam zaman Yunani tersebut. Sebagai contoh,
Socrates (469 – 399 SM) pernah
berkata : “Kehidupan manusia yang tidak dinilai merupakan kehidupan yang tidak
berguna.”
Dalam zaman Yunani, ahli-ahli
falsafah sering memikir soalan-soalan setiap fenomena alam sekitar.
Sesetengahnya memandang jawapannya harus diperoleh terus melalui perbahasan.
Manakala, sesetengah ahli yang lain menegaskan jawapan itu hanya boleh didapati
melalui pemikiran deduktif, dan akhirnya menghuraikan falsafah sebagai
pemikiran atas fikiran manusia.
Maka, tugas utama seseorang ahli
falsafah ialah menilai kehidupan dan pengalaman manusia dengan cara
menganalisis dan memberi interprestasi, kemudian mencari rumusan yang boleh
membawa kepada taksiran secara menyeluruh terhadap ilmu dan kebenaran yang
berkaitan dengan kehidupan dan pengalaman manusia. Penemuan dan rumusan ahli
falsafah adalah amat berguna, dan akan dapat menjadi pedoman kepada manusia
untuk mencari kehidupan yang sempurna serta menentukan haluan untuk pembangunan
dan kemajuan negara.
Falsafah, dalam zaman Yunani dan
selepas beberapa kurunnya, merangkumi bidang yang sangat luas, termasuk
perkara-perkara seperti sains, matematik, teologi, psikologi, sosiologi dan
ekonomi. Secara khususnya, falsafah melibatkan diri terhadap kajian tentan
ilmu, alam nyata, fitrah manusia dan masyarakat. Ini adalah kerana ramai ahli
falsafah berpendapat bahawa falsafah boleh membawa kemajuan manusia melalui
usaha mencari ilmu dunia.
Immanuel Kant (1724 – 1804) seorang
ahli falsafah yang terkenal dan paling berpengaruh dari Jerman, berpendapat : “Perkara yang berkaitan dengan falsafah
ialah bukan menentukan peraturan, tetapi menganalisis pendapat peribadi
terhadap penjelasan umum.”
Menurut Russell (1946), falsafah dimaksudkan
sebagai sesuatu fahaman atau pengertian di antara teologi dan sains. Ini kerana,
seperti teologi, falsafah mengandungi spekulasi terhadap perkara yang belum
tepat dibuktikan. Manakala, seperti pendekatan sains, falsafah pula berusaha
menggunakan taakulan dan logik untuk membuktikan fahamannya. Oleh itu, Russell
memandang falsafah merupakan sebagai sesuatu bidang kawasan tanpa manusia,
didedahkan untuk serangan antara teologi dan sains.
Fung Yu-Lan (1966), dalam bukunya Sejarah Ringkas Falsafah China,
menghuraikan falsafah sebagai pemikiran relektif yang sistematik terhadap
kehidupan. Menurut beliau, seseorang ahli falsafah harus berfalsafah dengan
memikir secara relektif terhadap kehidupan, kemudian menyatakan pemikirannya
secara sistematik. Maka, semua teori kehidupan dan alam semesta, serta ilmu
adalah hasil daripada pemikiran relektif tersebut.
Mengikut E.D Miller dalam bukunya Questions That Matter (1984), falsafah
boleh ditakrifkan sebagai usaha untuk berfikir secara rasional dan kritis
terhadap perkara-perkara yang penting. Sehubungan ini, falsafah pendidikan
boleh diertikan sebagai satu usaha berfikir secara rasional dan kritis terhadap
perkara yang penting mengenai pendidikan.
Sharifah Alawiah Alsagoff dalam
bukunya Falsafah Pendidikan (1984) memberi tafsiran falsafah yang lebih
lengkap, iaitu :
1. Falsafah
ialah pertimbangan asas dan andaian mengenai pertimbangan terhadap perkara yang
penting.
2. Falsafah
mempersoalkan prinsip-prinsip realiti, ilmu dan nilai.
3. Falsafah
cenderung mengumpulkan rumusannya kepada bentuk mazhab-mazhab atau
sisitem-sistem pemikiran.
4. Falsafah
ialah pendekatan yang rasional terhadap sesuatu masalah atau persoalan.
5. Falsafah
ialah sesuatu penyiasatan yang komprehensif dan logikal mengenai asas-asas
pemikiran atas semua aktiviti manusia khususnya dalam bidang sains, seni agama
dan pendidikan.
Hu Jun (2003), di dalam bukunya What is Philosophy?, mentakrifkan
falsafah sebagai panduan kebijaksanaan dan seni hidup manusia. Beliau
berpendapat falsafah boleh dihayati daripada perspektif berikut :
1. Falsafah
adalah suatu disiplin yang berlainan dengan disiplin-disiplin seperti
psikologi, pedagogi, ekonomi, sosiologi, teologi dan sebagainya.
2. Mengikut
perkataan philosophy falsafah adalah
diertikan sebagai perihal mencintai kebijaksanaan. Semua usaha intelektual
manusia adalah kerana mencintai kebijaksanaan.
3. Falsafah
bermula daripada rasa terkejut. Mengikut Plato, rasa terkejut ini memotivasikan
manusia berfikir dan ini memulakan aktiviti berfalsafah.
4. Tujuan
utama falsafah ialah usaha memahami kendiri individu. Mengikut Descartes (1596
– 1650) : “saya memikir kerana ia itu
saya”, menjelaskan falsafahnya ialah mengkaji diri sendiri.
5. Falsafah
ialah panduan kesejahteraan hidup. Seorang ahli falsafah dari Rome pernah
berkata : “Falsafah! Guru sepanjang
hayat, sahabat terbaik dan penentang kejahatan yang tidak ditandingi.”
Ringkas kata, perkataan falsafah
boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan
bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli
falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah
ialah mencari serta membukti kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk
perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.
Ciri-ciri
Berfikir Falsafah Ke Arah Kebenaran
Menurut Sidi Gazalba (1974), beliau
menyatakan dalam bentuk falsafah bahawa makhluk berfikir ialah manusia. Manusia
berfikir ialah ahli falsafah. Ahli falsafah ialah manusia tetapi manusia bukan
ahli falsafah. Berfalsafah adalah berfikir tetapi berfikir bukan berfalsafah.
Berfikir yang dikatakan berfalsafah ialah apabila usaha berfikir yang
mengandungi tiga ciri iaitu berfikir radikal, berfikir sistematik dan berfikir
universal.
1. Berfikir
Radikal : Radikal berasal daripada perkataan radix (bahasa Yunani) yang bererti akar. Berfikir radikal ialah
berfikir sehingga ke akar umbi atau sehingga ke peringkat paling dasar.
Berfikir sebegini bukanlah hanya dengan imbasan sahaja atau seperti
hangat-hangat tahi ayam semata-mata. Tiada yang tahu, tiada yang suci dan tiada
yang terlarang bagi berfikir secara radikal.
2. Berfikir
Sistematik : Berfikir sistematik ialah berfikir logik dan tersusun dengan
bergerak selangkah demi selangkah dengan penuh kesedaran dan urutan yang bertanggungjawab
dan saling berhubungan secara teratur.
3. Berfikir
Universal : Berfikir universal ialah berfikir secara umum dan mencakupi
keseluruhan perspektif atau worldview.
Berfikir sebegini tidak khusus atau terbatas pada bahagian-bahagian tertentu
sahaja.
Falsafah
: Cabang, Persoalan dan Penyelesaian
Pada amnya, falsafah
diklasifikasikan kepada empat cabang atau bidang kajian, iaitu :
1. Metafizik
yang berkaitan dengan kajian realiti.
2. Epistemologi yang
berkaitan dengan kajian ilmu.
3. Aksiologi yang
berkaitan dengan kajian nilai.
4. Logik yang
berkaitan dengan penaakulan.
Ada ahli falsafah membahagikan
aksiologi kepada dua cabang lagi, iaitu aksiologi
etika dan aksiologi estetika.
Terdapat pula ahli falsafah lain yang tidak mengakui logik sebagai cabang
falsafah dengan sebab logik merupakan kaedah
atau pendekatan berfalsafah. Mereka
berpendapat logik ialah kaedah yang digunakan dengan metafizik, epistemologi
dan aksiologi dalam kajian realiti, ilmu dan nilai masing-masing. Bagi mereka,
cabang falsafah sebenarnya diklasifikasikan di bawah tiga bidang kajian sahaja,
iaitu metafizik, epistemologi dan aksiologi.
Metafizik
Metafizik adalah salah satu cabang
falsafah yang berkaitan dengan kajian sifat dan asal usul mengenai realiti
mutlak. Istilah ini berasal daripada nama tajuk Meta ta physica dalam karya Aristotle ‘Prinsip Pertama’. Oleh sebab tajuk itu bermakna ‘Selepas Fizik’, maka pengertian
metafizik ialah berkaitan perkara yang keluar daripada fizik.
Metafizik Aristotle (384 – 322 SM)
pada asasnya berkaitan dengan masalah-masalah seperti bahan dan penyebabnya
(temasuk sebab pertama, atau Tuhan), serta kewujudan yang telah menjadi kajian
dalam ontologi, sesuatu cabang atau bidang kajian metafizik.
Mengikut istilah falsafah, ontologi
ialah pengajian kewujudan (existence)
atau kejadian (being). Ahli ontologi
sentiasa berusaha mengetahui makna apabila kita mengatakan kewujudan sesuatu.
Misalnya, epistemologi dan aksiologi Plato (421 – 347 SM) adalah berlandaskan
ontologi.
Mengikut Immanuel Kant (1724 – 1804),
konsep metafizik tentang persepsi ‘kebenaran’ sebenarnya hasil struktur
kognitif dalam minda manusia.
Masa kini, pengertian metafizik
ditafsir sebagai cabang falsafah mengenai kajian realiti yang muktamad. Cabang
falsafah metafizik ini mengkaji realiti dengan mempersoalkan perkara seperti:
1. Apa
dia alam semester?
2. Apa
dia kehidupan?
3. Apa
dia pemikiran?
4. Apa
dia demokrasi? dan sebagainya.
Di samping itu, ia juga
mempersoalkan perihal Tuhan; misalnya, adanya Tuhan atau tiada Tuhan?
Rumusan yang didapati daripada soalan-soalan
tersebut dikaitkan dengan falsafahnya, misalnya metafizik pragmatisme,
metafizik idealisme, metafizik eksistensialisme dan sebagainya. Sebagai contoh,
mengikut metafizik idealisme, semua realiti dapat digolongkan kepada satu
perkara iaitu kerohanian.
Epistemologi
Epistemologi ialah cabang falsafah
yang mengkaji ilmu pengetahuan. Epistemologi mempersoalkan perkara seperti Apa dia ilmu? Bagaimana kita memperoleh
ilmu? Bagaimana kita bukti kesahihannya? Apakah perkaitan ilmu dengan
pembelajaran?
Di dalam proses perkembangan
epistemologi, sejak tamadun zaman purba kala, telah wujudnya mazhab
materialisme dan idealisme, iaitu pendekatan-pendekatan dialektik dan metafizik
yang bertentangan. Melalui kedua-dua pendekatan ini, maka materialisme dan idealisme
berkembang bersama dengan empirisisme dan rasionalisme yang mana idea mereka
dianggap lebih mantap dan lebih sistematik.
Secara umumnya, epistemologi yang
berlandaskan mazhab idealisme menekankan penguasaan ilmu daripada kesedaran
kepada kefahaman. Ahli mazhab idealisme berpendapat ilmu didapati daripada
pemikiran rasional atau pengalaman yang subjektif. Mereka menolak ilmu sebagai
refleksi otak manusia terhadap dunia secara objektif. Manakala, epistemologi
yang berlandaskan mazhab materialisme menekankan pendekatan ilmu daripada
kefahaman kepada kesedaran. Oleh sebab ahli materialisme memandangkan ilmu
sebagai sesuatu persepsi secara langsung dan refleksi yang pasif, maka teori
epistemologi mereka tidak dapat menghuraikan masalah ilmu rasional dengan
tepat.
Teori epistemologi yang
berlandaskan materialisme dialektikal, meletakkan perlaksanaan teorinya sebagai
tempat pertama, menggunakan pendekatan dialektik (proses interaksi di antara
tesis dan antitesis demi menghasilkan sintesis) untuk menyelesaikan masalah
semasa proses ilmu, iaitu mulai daripada persepsi yang menggerakkan pemikiran
abstrak, demi mendapat penyelesaian secara saintifik berkenaan masalah sumber,
proses, tujuan dan fungsi ilmu.
Teori epistemologi yang
berlandaskan emperisisme dan rasionalisme merupakan dua mazhab yang paling
berpengaruh terhadap pendidikan masa kini. Kedua-dua teori merupakan huraian
falsafah secara sistematik yang berkembang di bawah konteks revolusi sains pada
abad ke-17. Kedua-dua pendekatan memberi pertimbangan utama kepada pencarian
ilmu asas yang kekal. Model rasionalisme yang menarik perhatian ahli falsafah
pendidikan mereka seperti Descartes, Leibniz dan Spinoza adalah didapati
daripada demonstrasi formal dalam logik dan matematik tanpa pemerhatian atau
eksperimen. Mereka berusaha membentuk semula secara kritis segala ilmu manusia
dengan mengaplikasikan pemikiran tulen asas dan aksiomnya, sebagaimana yang
dinyatakan oleh Descartes : ‘Saya
memikir, maka saya wujud.’ Sedangkan, ahli emperisisme seperti Locke, Berkeley
dan Hume menggunakan persepsi yang diperoleh daripada pengalaman sensori
sebagai ilmu yang benar.
Perbahasan antara ahli rasionalisme
dan ahli emperisisme adalah berpusatkan khasnya ke atas kemungkinan ilmu yang
dilahir secara semula jadi, sama ada ilmu diperoleh sebagai a priori, iaitu didapati melalui
penaakulan tanpa pengalaman dahulu, atau a
posterior, iaitu ilmu didapati daripada pengalaman atau sesuatu yang tidak
terpisah daripada pengalamannya. Ahli emperisisme menekankan minda manusia
sebagai lembaran kosong sehingga kesan persepsinya ditinggalkan daripada
pengalaman sensorinya.
Immanuel Kant (1724 – 1804),
seorang ahli falsafah dari Jerman dalam abad ke-18, menggabungkan emperisisme
dan rasionalisme dalam teori epistemologi beliau, dan mensintesiskannya di
antara pengalaman dengan konsep. Mengikut beliau, tanpa organ-organ deria
manusia, kita tidak dapat mengenal pasti kesan dan kesedaran benda yang
terwujud, tetapi tanpa kefahaman, kita tidak dapat membentuk konsep
daripadanya. Maka, proses memperoleh ilmu ialah menggabungkan sesuatu yang
melibatkan persepsi, imaginasi dan kefahaman yang berinteraksi dengan proses
penaakulan. Menurut Kant, struktur mengorganisasikan konsep asas tidak boleh
diperoleh daripada pengalaman sahaja. Tetapi, ia perlu digunakan untuk
membolehkan kita menginterprestasikan pengalaman dunia secara keseluruhan.
Maka, konsep ini adalah sebenarnya telah wujud sebelum pengalaman yang
diperoleh seseorang.
Aksiologi
Cabang falsafah aksiologi merupakan
kajian terhadap nilai, dengan mempersoalkan perkara seperti apakah yang bernilai? Sebagaimana yang
telah dihuraikan, cabang falsafah aksiologi ini adalah diklasifikasikan kepada
dua bahagian, iaitu etika dan estetika.
Cabang etika mengkaji perkara
seperti nilai-nilai moral, prinsip moral dan tingkah laku serta sifat murninya.
Maka cabang etika ini pula dikenali sebagai falsafah moral. Istilah etika
diperoleh daripada perkataan Yunani ethos,
yang membawa maksud adat resam dan kelakuan. Etika sebagai suatu disiplin pula
dibahagikan kepada etika normatif dan metaetika. Etika normatif mengkaji dan
mencadangkan prinsip-prinsip kelakuan yang betul dan salah, baik dan jahat.
Pada masa dahulu, kebanyakan ahli
falsafah menumpukan kajian berasaskan etika normatif. Sejak abad ke-19,
metaetika semakin mendapat perhatian ahli falsafah dengan menggunakannya untuk
mempersoalkan perkara seperti peranan etika dalam kehidupan, asas logikal
tentang sesuatu sistem etika dan kesahihannya.
Di dalam kebanyakan sistem
organisasi sosial, kelakuan etika biasanya dipandang sebagai penyempurnaan
kendiri melalui usaha mengejar kebaikan, kewajiban terhadap orang lain atau
menerima prinsip-prinsip kebaikan, atau kedua-duanya. Penyempurnaan kendiri mungkin
boleh diperoleh daripada kegembiraan atau keseronokan, atau daripada usaha
mengejar sesuatu yang ideal. Kewajiban biasanya termasuk bukan sahaja
kehormatan kepada orang lain dan norma masyarakat, tetapi juga sebagai
perkhidmatan kepada Tuhan.
Estetika mengkaji nilai-nilai
mengenai kecantikan dan seni. Istilah estetika pula diperoleh daripada
perkataan Yunani yang membawa maksud persepsi deria.
Estetika mempersoalkan perkara
seperti “apakah kecantikan”, “Apakah nilai-nilai kecantikan?”, dan sebagainya.
Tentang persoalan seni, Plato dan Aristotle memandangnya sebagai peniruan dan
kecantikannya sebagai ungkapan kualiti universal. Plato pula membezakan seni
dari segi kecantikan yang ideal dengan objek yang cantik. Manakala, Aristotle
menganggap kecantikan adalah direka bentuk dalam harmoni kerja seni.
Kepada orang Yunani, konsep seni
merangkumi semua kraf tangan, bentuk simetri, keseimbangan dan perpaduan dalam
tenunan, seni tembikar, puisi dan seni pahat. Sejak abad ke-19, seni menjadi
sesuatu yang berkaitan dengan lukisan, seni pahat dan sastera, dan dikenali
sebagai seni halus.
Immanuel Kant memberi tafsiran baru
kepadanya dengan memandang penikmatan seni bukan semata-mata persepsi
kecantikan instrinsiknya, tetapi sebagai penglibatan penilaian yang subjektif.
Hari ini seni tidak lagi digunakan
dalam upacara agama atau sivil sahaja, tetapi dipandang sebagai refleksi
psikologikal, sosial dan politikal. Di dalam mazhab Marxisme, seni sering
digunakan untuk tujuan sosial, menyokong atau melemahkan keadaan ekonomi yang
sedia ada.
Konsep nilai etika atau estetika
adalah berbeza-beza dengan falsafah yang berlainan. Misalnya, dalam aksiologi
idealisme, nilai adalah mutlak dan kekal secara abadi. Manakala, aksiologi
pragmatisme memandang nilai sebagai relatif atau tertakluk kepada keadaan.
Logik
Logik adalah pengkajian terhadap
perkara-perkara yang berbentuk penaakulan sah. Ia adalah berkaitan dengan usaha
mencari kaedah yang boleh membezakan penaakulan sah dengan penaakulan tidak sah
atau tidak rasional.
Perkataan logik berasal daripada
perkataan Yunani ‘logik’ dan
Aristotle merupakan seorang ahli falsafah yang pertama mengorganisasikan
hukum-hukum penaakulan. Aristotle dikatakan menyusun dunia dalam beberapa
kategori, yang membawa ilmu-ilmu dengan mengenal pasti kualiti-kualiti am di
dalam entiti yang berbeza. Lantaran itu, perkataan silogisme dicipta dengan
membawa idea logik Aristotle seperti berikut :
“Diberi
dua premis, sesuatu kesimpulan (atau inferens) akan diikutinya.”
Misalnya :
Premis 1 : Semua manusia ialah makhluk yang fana.
Premis 2 : Socrates ialah seorang manusia.
Premis 3 : Jadi, Socrates ialah makhluk yang fana.
Berdasarkan huraian di atas,
jelaslah pendekatan logik Aristotle digunakan mirip dengan kaedah deduktif,
iaitu menggunakan sesuatu prinsip am untuk membuat kesimpulan terhadap perkara
khusus. Logik deduktif serupa ini adalah sering berkait dengan mazhab falsafah
idealisme dan realisme.
Selain kaedah deduktif, logik
induktif sebaliknya digunakan untuk membuat kesimpulan berasaskan perkara-perkara
yang khusus. Seperti kaedah deduktif, kaedah induktif juga banyak digunakan
dalam pemikiran falsafah idealisme dan realisme. Sesungguhnya, pendekatan
penaakulan tidak terhad kepada deduktif dan induktif sahaja. Misalnya, di bawah
pemikiran falsafah rasionalisme, ahli-ahli falsafah yang menggunakan pendekatan
rasionalis berusaha mencari kebenaran atau prinsip dengan cara penaakulan
ataupun melalui perhubungan dengan logik.
Logik berkait rapat dengan
ketiga-tiga cabang falsafah, iaitu metafizik, epistemologi dan aksiologi.
Sesungguhnya, logik merupakan kaedah yang digunakan dalam setiap pemikiran
mazhab falsafah. Ia digunakan untuk mengkaji peraturan-peraturan falsafah yang
membolehkan ahli-ahli falsafah berfalsafah dengan membentuk dan mengesahkan
usul-usul atau hujah-hujah falsafah.
Sebagai kesimpulan, diturunkan satu
rumusan Morris dan Van Cleve (1961) yang mengaitkan cabang-cabang falsafah dengan
beberapa mazhab falsafah umum seperti jadual di bawah.
Mazhab
Falsafah
|
Metafizik
(Realiti)
|
Epistemologi
(Kebenaran)
|
Aksiologi
(Nilai)
|
Etika
|
Estetika
|
Idealisme
|
Alam fikiran
|
Kebenaran sebagai idea
|
Mematuhi yang Maha Kuasa
|
Refleksi keunggulan
|
Realisme
|
Alam kebendaan
|
Kebenaran sebagai fakta yang dapat
dipersepsi
|
Hukum-hukum tabii (menurut sifat
semula jadi)
|
Refleksi tabii (sifat keadaan atau
bentuk semula jadi)
|
Pragmatisme
|
Alam pengalaman
|
Kebenaran sebagai pengalaman yang
berlaku
|
Nilai-nilai umum
|
Citarasa umum
|
Eksistensialisme
|
Alam kewujudan
|
Kebenaran sebagai pilihan individu
(kebebasan individualiti)
|
Berdasarkan kebebasan individu
|
Penjelmaan daripada nilai dan norma
masyarakat
|
Perkaitan cabang-cabang falsafah dengan
mazhab-mazhab falsafah.
(Sumber
: Morris & Van Cleve (1961) Philosoply and the American Schools, Houghton
Mifflin Co. New York, US)
Konsep
Pendidikan
Pendidikan, mengikut pandangan
umum, bermaksud proses atau aktiviti untuk mengembangkan jasmani, emosi,
rohani, intelek dan sosial (JERIS) untuk menambahkan kemahiran, kebolehan dan
pengetahuan supaya dapat memberi kebahagiaan, faedah dan kemajuan dalam hidup
dan dapat bertindak rasional untuk diri sendiri, bangsa dan agama (Annick, 1999).
Pendidikan merupakan proses perubahan manusia untuk mencapai aktualisasi diri atau
dengan kata lain mencapai kesedaran diri. Ia berkait rapat dengan kesedaran hubungan
antara manusia dengan pencipta, manusia lain, makhluk lain dan alam.
Secara khususnya, pendidikan boleh
diertikan sebagai aktiviti persekolahan. Ini bermakna pendidikan merupakan
aktiviti-aktiviti yang mempunyai objektif, rancangan dan organisasi untuk
mendidik murid-murid supaya menjadi insane yang berilmu pengetahuan, berakhlak
mulia dan menguasai kemahiran tertentu, demi berupaya menyesuaikan diri dalam
masyarakatnya pada masa depan.
Usaha utama pendidikan adalah untuk
menyediakan seseorang individu memainkan peranan yang positif dan berkesan
dalam masyarakat. Di dalam usaha ini juga, pendidikan menjadi suatu agen untuk
menyebar dan mengekalkan kebudayaan yang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan
semasa. Dalam masyarakat moden ini, pendidikan adalah penting untuk menyediakan
ahli-ahli masyarakat untuk menghadapi cabaran kehidupan dan pembaharuan serta
membuat pengubahsuaian demi memberikan sumbangan untuk pembangunan masyarakat
itu.
Pandangan
Tokoh-Tokoh Falsafah Barat Terhadap Pendidikan
Falsafah dan pendidikan merupakan
dua disiplin ilmu yang berbeza tetapi mempunyai perkaitan yang sangat erat.
Kehidupan manusia membentuk falsafah yang tersendiri. Perkembangan manusia yang
berkait dengan pendidikan membawa kepada pertembungan falsafah dalam
pendidikan. Pendidikan pula memerlukan kurikulum sebagai pengisiannya bagi
membolehkan manusia memperoleh pengetahuan, kemahiran, nilai dan budaya untuk
survival dalam kehidupannya dan generasi yang seterusnya.
Perkataan pendidikan mempunyai
tafsiran yang berlainan bagi setiap individu. Pengertian pendidikan sentiasa
berubah mengikut peredaran zaman, tujuan dan tugasnya. Pada asalnya, perkataan education dibentuk daripada dua
perkataan Latin, iaitu educere yang
bermakna membimbing atau melatih, dan educare,
iaitu melatih atau mengasuh.
Plato (427 – 347 SM), seorang ahli
falsafah yang terkemuka pada zaman Yunani, berpendapat pendidikan merupakan
suatu proses untuk membentuk individu yang berakhlak mulia. Beliau menyokong
pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan adalah untuk memberi latihan moral kewarganegaraan
yang baik. Proses pendidikan dapat membentuk warganegara yang baik serta setia
dan mematuhi undang-undang negara.
Plato percaya seseorang hanya dapat
ilmu apabila dia berusaha bersungguh-sungguh dengan menggunakan pemikiran
secara kritis. Mengikut beliau, ramai orang bersedia menerima fenomena yang
diperhatikan kali pertama, seperti dengan orang yang berpuas hati melihat bayang
yang dipantulkan sinar dari luar ke atas dinding gua. Orang ini enggan
meninggalkan tempatnya untuk menghadapi realiti, dan tidak seperti ahli
falsafah yang menggunakan masa hidup sepenuhnya berusaha secara
bersungguh-sungguh mencari kebenaran.
Menurut Plato, orang yang mencintai
kecantikan, benda yang baik atau tindakan yang adil adalah orang yang ada
pendapat, tetapi bukan ilmu. Seorang yang berilmu mencintai kecantikan,
kebaikan dan keadilan yang sebenar. Bagi Plato, pendapat adalah berkaitan
dengan objek yang dipersepsikan, dan ini boleh disalahertikan. Manakala, ilmu
yang sebenar adalah di luar persepsi dan berkaitan dengan dunia abadi yang mana
tidak boleh disalahertikan. Maka, perkara yang khusus adalah pendapat dan bukan
ilmu. Seorang yang berilmu adalah dimotivasikan oleh hasrat yang mencintai apa
yang sebenar, terbaik, tulen, tertinggi dan abadi.
Plato, di dalam buku Republic, menjelaskan fungsi pendidikan
sebagai pemilihan murid yang sesuai untuk melatih mereka berdasarkan potensi
masing-masing. Kandungan pelajaran harus dirancang mengikut peringkat-peringkat
perkembangan individu. Pendidikan merupakan interaksi antara individu dengan
masyarakatnya. Oleh itu, ciri-ciri sosio-budaya harus mempengaruhi perkembangan
kognitif individu, termasuk tingkah lakunya. Mengikut Plato, pendidikan adalah
tanggungjawab negara. Republik yang idealnya adalah : “Jika pendidikan individu
dapat memenuhi keperluan masyarakat dan negara, dan potensi individu dapat
diperkembang mengikut perbezaan individu, maka pendidikan ini akan dikatakan
mencapai tujuan dan fungsinya.”
Aristotle (384 – 322 SM), ahli
falsafah Yunani yang terkemuka selepas Plato, dalam bukunya Politik, menghuraikan pendidikan sebagai
ilmu yang bersifat etikal dan politikal. Mengikut beliau, tujuan pendidikan
ialah memberikan setiap warganegara segala peluang untuk mencapai kebahagiaan
hidupnya. Proses pendidikan dapat melatih warganegara mematuhi
peraturan-peraturan dan tingkah laku yang baik dan cekap dalam pengurusan
pentadbiran serta keupayaan mempertahankan kedaulatan negara.
Logik yang diperkenalkan oleh
Aristotle adalah berkaitan rapat dengan pemikiran deduktif, iaitu mengaplikasikan
generalisasi umum untuk menghuraikan kes khusus atau membentuk generalisasi
baru. Logik Aristotle menggunakan silogisme yang merangkumi dua premis yang
benar dan satu kesimpulan yang sah.
Sebagai contoh :
Premis 1 : Semua manusia adalah makhluk yang
fana.
Premis
2 : Plato ialah manusia.
Kesimpulan : Plato ialah makhluk yang fana.
Mengikut Aristotle, kebaikan adalah
kecemerlangan manusia. Maka, tujuan pendidikan ialah memupuk kebaikan murid.
Semua rakyat bertanah harus dididik apa yang berguna untuk mereka, agar mereka
berbudaya mempunyai kebaikan dan masa untuk memainkan peranan yang
bertanggungjawab dalam pentadbiran negara.
Rumusan
Falsafah Pendidikan Aristotle
1. Pendidikan
adalah berhubung rapat dengan politik, dan perlu berkuatkuasa sebelum
perlaksanaannya.
2. Pendidikan
sekolah harus dihadkan kepada warganegara sahaja. Kanak-kanak hamba tidak layak
dididik.
3. Pendidikan
harus mengutamakan rasionaliti individu.
4. Oleh
kerana pembentukan konsep, teori dan prinsip berdasarkan pengalaman konkrit,
pendekatan pembelajaran yang betul ialah daripada konkrit kepada abstrak dan
daripada spesifik kepada umum. Teori yang dibentuk harus diaplikasikan.
Jean Jacques Rousseau (1712 –
1778), seorang pendidik di negeri Eropah, memandang pendidikan sebagai suatu
proses yang berterusan dan bermula dari masa-masa kanak-kanak kecil. Dalam
proses ini, segala potensi semulajadi lahir dengan sendirinya mengikut kehendak
dan peraturan semulajadi.
Pandangan
Tokoh-Tokoh Pendidikan Barat Terhadap Pendidikan
Di dalam buku A Philosophy of Education, John Macdonald menghuraikan perbezaan
pendidikan di antara masyarakat primitif dengan masyarakat moden. Menurut
beliau, pengertian pendidikan di dalam masyarakat primitif ialah latihan
vokasional dan pelajaran adat resam, kepercayaan serta cara bersembahyang,
disampaikan melalui tunjuk ajar dengan secara tidak langsung daripada keluarga
dan pergaulan dengan orang dewasa. Manakala pengertian pendidikan dalam
masyarakat moden merupakan latihan khusus menguasai kemahiran dan memperoleh
ilmu pengetahuan yang penting untuk kehidupan, disampaikan melalui pengajaran
secara langsung daripada guru yang berilmu tinggi serta mempunyai kemahiran
mengajar.
Mengikut Froebel (1782 – 1852),
pendidikan adalah bertujuan mencapai kehidupan yang lurus, suci dan mulia.
John Stuart Mill (1806 – 1873) pula
memandangkan pendidikan sebagai suatu proses yang member bantuan untuk setiap
individu supaya hidup dengan penuh kegembiraan.
Seorang pakar pendidikan yang lain,
T.H. Huxley (1825 – 1895), di dalam bukunya Science
of Education, menegaskan orang yang benar-benar dikatakan berpendidikan
sempurna akan bersedia untuk berkhidmat demi kemajuan diri dan masyarakatnya,
serta rela melaksanakan kerjanya dengan ikhlas dan patuh kepada undang-undang
alam, penuh bertenaga, bersemangat, berseni dan bermasyarakat.
Maria Montessori (1870 – 1952),
seorang doktor dan pendidik di Itali, mentafsirkan pendidikan sebagai proses
membentuk dan mengembangkan intelek, jasmani, rohani dan sosial kanak-kanak.
John Dewey (1859 – 1952), seorang
pakar pendidikan dari Amerika Syarikat, pernah mengatakan pendidikan merupakan
satu proses perkembangan individu. Menurut beliau, pendidikan merupakan usaha
mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi pengetahuan semula jadi yang
ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan lebih selamat lagi.
Konsep
Falsafah Pendidikan
Pada asasnya, konsep falsafah
pendidikan adalah berbeza dengan konsep falsafah dan pendidikan. Secara
ringkasnya, falsafah pendidikan merupakan konsep filososfikal dalam pendidikan,
yang berkait rapat dengan pendekatan falsafah yang digunakan untuk membina
teori pendidikan berdasarkan masalah atau isu pendidikan di bawah kajian
pengkaji.
Di dalam jurnal Harvard Education Review (1955),
terkandung beberapa makalah yang membincangkan pengertian, ciri-ciri, tujuan
dan isi falsafah pendidikan. Maka, berdasarkan dapatan perbincangan
masing-masing, konsep falsafah pendidikan dirumuskan seperti berikut :
1. Definisi
falsafah pendidikan haruslah ditentukan berdasarkan ciri-ciri falsafah iaitu
ditentukan melalui kaedah spekulatif, normatif dan analitik. Menurut Frankena,
falsafah pendidikan yang dikaitkan dengan ilmu harus berlandaskan criteria
utamanya iaitu epistemologi, diikuti dengan aplikasi metafizik, kaedah deduksi
dan logiknya untuk membentuk teori pedagogikal.
2. Falsafah
pendidikan seharusnya ialah teori pendidikan. Frankel C. menghuraikan penentuan
tujuan dan pendidikan adalah aplikasi pendekatan yang sistematik daripada
falsafah pendidikan.
3. Falsafah
pendidikan mengandungi ciri-ciri tersendiri. Soalan asas falsafah pendidikan
ialah “Apakah pendidikan?”. Maka,
hasil daripada falsafah pendidikan adalah atas usaha kajian intelektual dengan
tujuan pendidikan, realiti objektif, prinsip asas dan nilainya.
E.D. Miller, dalam bukunya Question That Matter (1984),
mmenginterpretasikan falsafah sebagai usaha memikir secara rasional dan kritis
atas perkara-perkara yang penting. Maka, falsafah pendidikan boleh diertikan
sebagai usaha memikir secara rasional dan kritis atas pendidikan. Berdasarkan
huraian-huraian di atas, falsafah pendidikan boleh dirumuskan sebagai panduan,
arah tuju atau pendapat terhadap pendidikan.
Aliran
Falsafah Pendidikan Pendidikan Barat Masa Kini
Falsafah pendidikan tidak sekadar
bertanyakan tentang asas metafizik, epistemologi dan aksiologi malah ia juga
akan membincangkan berkaitan dengan pendidikan. Di samping itu, ia juga cuba
memberi makna kepada konsep-konsep sejagat yang mendefinasikan proses pendidikan,
konsep pendidikan, tujuan pendidikan, kurikulum, pembelajaran dan sebagainya.
Tujuan atau matlamat pendidikan ialah untuk mengembangkan potensi individu dan
mencapai kesedaran kendiri. Falsafah Pendidikan Barat masa kini mengandungi
unsur-unsur falsafah tradisional dan juga aliran moden. Antara falsafah
pendidikan tradisional yang utama ialah essensialisme dan parennialisme.
Manakala falsafah pendidikan moden yang berpengaruh ialah progressivisme,
rekonstruktivisme dan eksistensialisme.
Essensialisme
Pendidikan essensialisme bersifat
fleksibel di mana ia terbuka untuk perubahan, toleran dan tidak terikat dengan
doktrin tertentu. Nilai yang jelas dan tahan lama serta guru yang memiliki sifat
autoriti. Falsafah aliran ini mementingkan pembentukan peribadi dan kurikulumya
disusun dari topik yang mudah kepada yang lebih kompleks serta menekankan kemahiran
3M iaitu menulis, mengira dan membaca. Ahli-ahli essensialisme mengkaji semula
perkara-perkara yang akan dimasukkan ke dalam kurikulum dan membezakan program-program
sekolah kepada pelajaran yang penting dan kurang penting serta membentuk autoriti
guru di dalam bilik darjah.
Menurut Mok Soon Sang (2004), guru
menurut fahaman essensialisme hendaklah memainkan peranan yang penting dalam
proses pendidikan. Mereka berperanan
dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan mengajar mereka memperolehi keperluan
dan kualiti kehidupan orang dewasa supaya mereka boleh berjaya dalam hidup.
Guru juga hendaklah bersifat demokratik, kreatif, mempuyai inisiatif dalam pengajaran
dan mahir menggunakan taktik ganjaran dan denda kepada pelajar (Abdul Rahman dan Zakaria Kasa, 1986). Ahli-ahli essensialime menganggap segala
inisiatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran terletak di bawah
tanggungjawab guru. Guru juga hendaklah mencerminkan kebaikan sesuatu
masyarakat (Azizi Jaafar,
2009). Oleh itu, kaedah pengajaran yang disarankan termasuklah pembacaan,
syarahan, ingatan, ulangan dan peperiksaan.
Pendidikan membolehkan setiap
individu menyedari keupayaannya. Kanak-kanak akan hadir ke sekolah agar dapat
memahami keadaan dunia sekelilingnya dan dapat mentafsirkannya mengikut minat
dan kemahuannya. Fahaman ini mementingkan pengalaman masyarakat daripada
pengalaman perseorangan. Sesuatu kebudayaan yang kompleks memerlukan sistem
pendidikan yang baik, oleh itu guru yang berdisiplin dan berdedikasi dalam
melaksanakan amatlah dikehendaki. Selain itu, kurikulum essensialisme di
bahagikan kepada dua bahagian kepada mata pelajaran penting seperti matematik
dan sains manakala mata pelajaran yang kurang penting ialah seni, muzik,
Pendidikan jasmani dan vokasional. Bahan pengajaran juga disediakan dengan sempurna
dan dirancang dengan sistematik.
Kriteria kenaikan darjah hendaklah
ditetapkan mengikut pencapaian pelajar semasa peperiksaan. Semasa di sekolah
rendah lagi, pendekatan secara 3M telah dijalankan (Azizi
Jaafar, 2009). Pendidikan essensialisme ini menyarankan penerapan nilai-nilai
sosial, kebudayaan, politik, cendiakawan dan penulisan terkenal dan guru juga
hendaklah mempunyai kelayakan dan kemahiran dalam bidang nilai masyarakat
tradisi dan moden. Elemen-elemen yang diperlukan dalam pendidikan pula meliputi
pengetahuan semasa dan masa lampau. Maka tumpuan kurikulumnya berkaitan dengan
perkara yang benar-benar penting dan diperlukan. Jadi semua aktiviti ko-kurikulum
kurang diberi keutamaan.
Perennialisme
Parennialisme berasaskan daripada
falsafah tradisional yang banyak dipengaruhi oleh fahaman idealisme. Mengikut
ahli parennialisme, nilai moral dan rasional manusia semakin merosot. Oleh itu,
untuk meyelamatkan umat manusia daripada kelenyapan fungsi utama pendidikan
hendaklah mengutamakan perkembangan potensi rasional individu, membantu mencari
prinsip mutlak dan memahami dunia yang sebenar.
Maka parennialisme memandang
pendidikan sebagai jalan iaitu proses mengembalikan kebudayaan sekarang.
Ahli-ahli parennialisme menganggap bahawa ciri-ciri asas semulajadi manusia
berbentuk universal dan tiada had masa. Manusia itu bersifat rasional.
Rasionaliti serta intelek ini hendaklah disemai melalui pendidikan. Tujuan
pendidikan adalah untuk mengajar nilai dan pengetahuan yang berbentuk universal
dan tiada had masa (Azizi Jaafar, 2009). Selain itu, mereka menganggap tujuan sejagat
pendidikan adalah untuk mencari dan menyebarkan kebenaran. Ini kerana,
kebenaran merupakan perkara yang universal dan tidak berubah-ubah. Maka, proses
utama dalam pendidikan adalah mendisiplinkan mental dan jiwa pelajar di samping
mengembangkan potensi penaakulan (Abdul
Rahman dan Zakaria Kasa, 1986). Oleh itu, pembacaan tulisan-tulisan agung dan
bahan-bahan masa lampau merupakan tugas yang penting bagi para pelajar. Dengan
pembacaan ini, secara tidak langsung pelajar dapat idea daripada pemikiran para
cendiakawan. Dengan ini pelajar dapat menonjolkan bakat yang ada pada dirinya
yang selama ini terpendam disebabkan tiada asuhan atau tunjuk ajar daripada
pihak luar.
Kurikulum parenialisme pula
berpegang kepada kembali ke asal kerana yang asal itulah yang benar. Pendidikan
adalah sama bagi semua orang kerana manusia mempunyai potensi yang sama dan
guru mempunyai kuasa autoriti di dalam kelas (Azizi
Jaafar, 2009). Isi kandungan kurikulum adalah tetap dan tidak berubah tetapi ia
boleh menggunakan kaedah pembelajaran Socrates. Kebenaran dalam kurikulum parenialisme
adalah sejarah dan sekolah merupakan agensi masyarakat yang bertujuan untuk
membentuk manusia menjadi manusia yang rasional. Mata pelajaran yang diutamakan
adalah matematik, bahasa, doktrin-doktrin dan buku-buku ternama. Ia juga
menekankan 3M dalam kurikulum dan mewujudkan kelas vokasional bagi pelajar yang
kurang pandai. Kaedah pengajaran yang dicadangkan adalah ingatan, pembacaan,
penulisan, latih tubi dan ulangkaji.
Progressivisme
Pengajaran progressive pula, mereka
menggunakan pendekatan induktif dalam mencapai matlamat pendidikan kerana
pendekatan induktif tidak memerlukan teori tetapi memerlukan mereka membentuk
penerangan sendiri yang akan menerangkan fenomena yang didedahkan. Menurut Mok
Soon Sang (2010), guru hanyalah berfungsi sebagai pembimbing atau penasihat
dalam penyelesaian masalah. Kurikulum mereka memberi tumpuan kepada proses
pelajaran manakala kurikulum essensialisme dan parenialisme memberi tumpuan kepada
mata pelajaran (Abdul
Rahman dan Zakaria Kasa, 1986). Pelajar bebas memilih dan membuat keputusan ke
atas dirinya jika ia dianggap baik. Mereka menggambarkan pendidikan adalah
penghidupan dan bukan persedian untuk hidup. Pencarian kebenarannya melalui
pengalaman dan isi kandungan kurikulum adalah pengetahuan asas dan pengalaman.
Kaedah pengajaran secara inquiri iaitu secara penyelidikan. Kebenaran merupakan
milik masyarakat. Sekolah merupakan tempat menggalakan kerjasama bukannya
persaingan serta sekolah juga menggalakkan demokrasi.
Pelajar akan diberikan kebebasan
secara fizikal dan mental untuk mengembangkan bakat dan kemampuan yang
terpendam dalam diri mereka tanpa dikekang oleh rintangan daripada orang lain.
Oleh itu, falsafah ini tidak bersetuju dengan fahaman parennialisme dan
essensialisme yang bersifat autoriti. Ini disebabkan autoriti akan mematikan
pengembangan dan daya kretiviti pelajar. Fahaman ini menyatakan kurikulum yang
paling wajar dilakukan ialah kurikulum yang bersifat fleksibel dan terbuka.
Kurikulum jenis ini mudah diubah dan dibentuk sesuai dengan peredaran zaman.
Kurikulum hendaklah berpusatkan kepada pengalaman atau eksperimen. Guru
hendaklah menggalakkan pelajar mengambil inisiatif sendiri dan menggunakan
kaedah praktikal dan pengalaman dalam mencari ilmu pengetahuan. Hanya ilmu
sains sahaja merupakan ilmu yang benar. Oleh itu, peranan guru hanyalah sekadar
pembimbing dan penasihat kepada pelajar. Bagi mereka, pelajar merupakan seorang
individu yang berpengalaman, berfikiran dan suka mengembara. Buku pula dianggap
sebagai alat dalam proses pembelajaran dan bukan sebagai sumber pengetahuan
yang tidak boleh dipersoalkan. Sekolah pula tempat pelajar bekerjasama bukannya
tempat untuk bersaing.
Rekonstruktivisme
Rekonstruktivisme merupakan
falsafah pendidikan yang dipecahkan daripada aliran fahaman progresivisme dan
menjadi suatu falsafah sendiri. Pelopor utama aliran fahaman rekonstruktivisme
ialah George S. Counts (1899 – 1974) dan Harold O. Rugg (1886 – 1960),
kedua-duanya adalah penyokong pragmatism John Dewey.
Ahli-ahli rekonstruktivisme
berpendapat falsafah pendidikan progresivisme hanya sesuai digunakan dalam
masyarakat yang stabil; oleh itu adalah perlu mengadakan suatu falsafah
‘krisis’ seperti rekonstruktivisme untuk menyelamatkan kebudayaan masyarakat
yang kian diancam dan menghadapi masalah keruntuhan. Tambahan pula mengikut
mereka, progresivisme terlalu mementingkan pendekatan dan proses pendidikan,
sehingga mengabaikan objektif dan hasilnya. Mereka berpendapat tugas utama
pendidikan harus mengandungi objektif eksplisit, iaitu membentuk “Order Baru
Masyarakat” sebagai objektif yang ideal, membaiki masyarakat, merealisasikan
demokrasi untuk masyarakat dan sarwa jagat demi membawa kebajikan dan kesejahteraan
untuk manusia.
Aliran fahaman rekonstruktivisme
mula menjadi perhatian di dalam tahun 1950-an, apabila Theodore Burghard Hurt
Brameld (1904 – 1987) menggabungkan teori progresivisme dengan behavioural
sains sebagai asas rekonstruktivisme. Beliau berpendapat pengalaman sebenarnya
ialah hasil interaksi manusia dengan elemen-elemen dalam alam persekitaran dan
alam sosial, di mana pengalaman individu merupakan tempat utama dalam proses
interaksi tersebut. Nilai berubah mengikut perubahan masyarakat. Nilai yang
tertinggi akan dapat dicapai apabila individu dan masyarakat memperoleh
kepuasan dalam peringkat penyempurnaan. Sehubungan ini, sekolah seharusnya
menjadi sesuatu organisasi yang mengamalkan prinsip rekonstruktivisme. Hal ini
memerlukan murid mematuhi segala prinsip tingkah laku yang ditentukan dan
berusaha mempertingkatkan kualiti pembelajaran mereka. Mengikut mereka, teori
progresivisme yang menyarankan kaedah penyelesaian masalah tidak mempunyai
objektif dan nilainya dan cara yang berkesan untuk mengkaji masalah sosial
ialah teknik perbincangan, yang akan dapat mencapai matlamat penyelesaian
masalah sosial, dan seterusnya membentuk masyarakat sosial yang harmoni dan
sempurna.
Maka, teori rekonstruktivisme, di
dalam usaha membina masyarakat baru, menumpukan usaha kepada perkembangan
ekonomi dan kebajikan sosial manusia. Mereka percaya bahawa sekolah boleh
memainkan peranan membentuk semula masyarakat yang harmoni dan sempurna. Maka,
peranan guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga membawa
isu-isu sosial yang penting untuk dibincang dan diselesaikan secara usahasama.
Ringkasnya, teori rekonstruktivisme menekankan teknik perbincangan dan
penggunaan kemahiran berfikir secara kreatif dan kreatif dalam penyelesaian masalah.
Untuk mencapai matlamat pendidikan ini, bahan-bahan pelajaran hendaklah
distrukturkan secara sistematik dan bersepadu. Mata pelajaran kemanusiaan
hendaklah menjadi fokus utama dalam rancangan kurikulum sekolah agar dapat
membentuk murid yang berperikemanusiaan, berlandaskan kebudayaan masyarakat
yang ideal.
Eksistensialisme
Aliran fahaman eksistensialisme
mengutamakan pembelajaran kendiri dan bukan mencari ilmu pengetahuan. Pelajar
tidak seharusnya mengorbankan individualiti mereka untuk memperolehi ilmu
pengetahuan. Oleh itu hanya pembelajaran yang berkesan sahaja yang mempunyai
makna kepada individu berkenaan. Fokus utama kurikulum hendaklah dipindahkan
daripada perkara alam dunia kepada dunia personaliti. Kurikulum eksistensialisme
pula mementingkan kebebasan. Kurikulum eksistensialisme tidak tetap kerana
kurikulumnya berdasarkan minat pelajar itu sendiri. Pelajar akan memilih
program pelajaran tanpa ada paksaan atau hasutan dari sesiapa. Guru bukan
penyebar ilmu tetapi membantu pelajar berjaya dalam usaha mencari kesedaran
kendiri. Mereka menyokong kaedah pembelajaran Socrates. Kebenaran
eksistensialisme berakhir pada diri. Bahan pembelajaran, cara pembelajaran, kuantiti
pembelajaran dan nilai pembelajaran hendaklah ditentukan oleh pelajar itu sendiri (Azizi Jaafar, 2009). Keputusan yang
dibuat oleh pelajar itu sama ada betul atau silap adalah di bawah
tanggungannya. Guru hendaklah menghormati pandangan dan pemilihan pelajar dan
tidak mempengaruhi pelajar dalam membuat keputusan. Sekolah pula tempat untuk
menyediakan peluang untuk memupuk kemahiran berfikir reflektif untuk menilai
diri serta keupayaan disiplin diri. Ahli eksistensialisme ini tidak memberi
perhatian kepada kewujudan kebenaran muktahir. Mereka menolak kebenaran adalah
mutlak. Semua makna dan kebenaran adalah hak individu. Mereka menganggap semua
kehidupan di dunia ini hanyalah sesuatu yang tidak bermakna.
Perkara yang paling penting dalam
pendidikan eksistensialisme ini ialah individu hendaklah mendidik diri sendiri
dan juga berupaya mambuat keputusan mengenai kelakuan, kursus yang ingin
diambilnya dan kaedah pembelajaran yang dikehendakinya. Pendidikan tidak
terarah kepada peningkatan intelek semata-mata tetapi perlu diberi perhatian
kepada sikap, perasaan, nilai dan komponen-komponen subjektif yang lain. Mata
pelajaran merupakan pengetahuan yang disusun dan bukan dianggap sebagai satu
matlamat atau satu cara untuk menyediakan pelajar kepada pekerjaan. Sebaliknya
ia digunakan sebagai satu cara untuk mencapai perkembangan diri. Oleh itu, dalam
proses pembelajaran, seseorang itu berkuasa ke atas buku teks. Ahli-ahli
fahaman ini mengatakan bahawa sukar untuk menyatakan bahawa sesuatu mata
pelajaran itu penting atau tidak kerana kebaikan sesuatu mata pelajaran akan
ditentukan oleh pelajar itu sendiri.
Pendekatan
dan Metodologi Falsafah Pendidikan
Pendekatan digunakan untuk falsafah
pendidikan adalah bergantung kepada interprestasi konsepnya. Sebagai contoh,
sekiranya falsafah pendidikan dipandang sebagai suatu cabang disiplin sosial,
maka pendekatan lazimnya akan menggunakan falsafah
penggunaan dan konsep pendidikan,
yang akan digunakan untuk kajian perkembangan idea baru dalam pendidikan.
Gowin D.B. (1969), dalam
penulisannya yang bertajuk Philosophy of
Education, Encyclopedia of Education Research, 4th Edition,
memperkenalkan lima metodologi utama sebagai kajian berlandaskan falsafah
pendidikan.
1. Analisis
Konsep : iaitu menganalisis dan mengenal pasti masalah di bawah konsep
pendidikan dan menghuraikannya dengan cara eksplisit.
2. Analisi
Bahasa : iaitu menganalisis penggunaan bahasa, sama ada tepat, jelas, kabur
atau diputarbelit, dan menghalusinya untuk mengelakkan aplikasi silap dalam
analisis konsep.
3. Kaedah
Dialektikal : kaedah ini sering digunakan dalam falsafah, untuk memeriksa di
antara idea-idea yang menentang supaya mendapat kebenaran.
4. Pembentukan
Teori : iaitu membentuk model atau teori baru berdasarkan teori pendidikan yang
sedia ada.
5. Kaedah
Fenomenikal : iaitu penggunaan kaedah ini untuk membantu kefahaman terhadap
realiti secara objektif dan tepat.
Falsafah
Pendidikan dan Peranannya
Sebagaimana yang telah dihuraikan,
falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional
dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli
falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah
ialah mencari serta membukti kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk
perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.
Berdasarkan huraian di atas,
falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau pandangan
terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Maka, Falsafah
Pendidikan Kebangsaan ini adalah digubal daripada usaha berfikir secara
rasional dan kritis, berlandaskan ideologi negara sebagaimana yang telah
dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, termasuk Rukun
Negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini akan menjadi suluh yang memberi
pedoman dan inspirasi kepada segala usaha pendidikan, sama ada di dalam
institusi pendidikan atau di luar institusi pendidikan.
Kesimpulan
Falsafah barat memainkan peranan
penting terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia. Falsafah pendidikan
Kebangsaan mempunyai beberapa ciri-ciri yang diterapkan dari falsafah barat.
Falsafah pendidikan barat terbahagi kepada dua bahagian iaitu falsafah
tradisional dan falsafah barat. Falsafah tradisional pula diri daripada
essensialisme dan parennialisme manakala falsafah moden terdiri daripada
progressivisme dan eksistensialisme. Kedua-dua bahagian ini mempunyai mazhab-mazhab
tertentu dan secara keseluruhannya penumpuan kesemua mazhab berdasarkan faktor
kurikulum, peranan guru, kaedah mengajar dan peranan murid. Di dalam falsafah
pendidikan barat terdapat mazhab yang memberikan penumpuan pembinaan insan yang
berketerampilan dan aspek ini juga terdapat dalam falsafah pendidikan kita.
Keempat-empat falsafah yang telah dibincangkan ini boleh dikatakan sebagai asas
kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Walau bagaimanapun, falsafah-falsafah
ini digabungkan dan diubahsuai mengikut keperluan negara kita. Hanya mengambil
aspek-aspek yang penting dan berguna sahaja yang diambil kira dalam penggubalan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga meletakkan
kembali asas kepada perkembangan insan berjiwa kemerdekaan iaitu kepercayaan
kepada Tuhan.
Rujukan
Abdul Rahman Hj. Abdullah (2005). Wacana
Falsafah Ilmu : Analisis Konsep-konsep Asas Falsafah dan Falsafah Pendidikan
Negara. Kuala Lumpur : Utusan Publications.
Abdul Rahman dan Zakaria Kasa
(1986). Falsafah dan Konsep Pendidikan (Edisi
Ketiga).
Serdang
: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Azizi Jaafar (2009). Aliran-Aliran Falsafah Pendidikan, diakses
pada 7 April, 2012, daripada
http://abuakhyar1.blogspot.com/
Mok Soon Sang (2004). Ilmu pendidikan
untuk KPLI. Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Percetakan Seasons Sdn. Bhd
Mok Soon Sang (2010). Falsafah dan Pendidikan Di Malaysia. Selangor
: Multimedia Marketing Sdn Bhd.
Mok Soon Sang (2012). Falsafah dan
Pendidikan di Malaysia (Edisi Ketiga). Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn
Bhd.
Zaini Abdullah (2011). Falsafah dan
Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Tanjung Malim : UPSI Publications.