Sarjana

Wednesday, 29 February 2012

Aplikasi Nilai-Nilai Murni Dalam Diri Usahawan

Pendahuluan
Islam bersikap positif terhadap aktiviti keusahawanan. Buktinya dapat dilihat daripada pemahaman sebuah hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud “Usaha yang baik itu ialah pekerjaan yang dilakukan sendiri oleh orang itu”.  Agama Islam memberi ruang yang luas kepada manusia untuk merangsang daya kreativiti bagi membangunkan peradaban insan. Dalam bidang muamalah contohnya, untuk memastikan sistem keusahawanan yang akan diuruskan oleh manusia tidak terdedah daripada sifat ketempangan yang boleh memudharatkan kepentingan umum manusia, Islam telah merangka satu garis panduan yang jelas berdasarkan petunjuk daripada al-Quran dan al-Sunnah. Islam juga secara langsung amat menyokong dan memberikan ruang yang cukup luas bagi urusan jual beli dan perniagaan ini. Ini bersesuaian dengan ayat al Quran yang bermaksud :
“ Dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”  al-Baqarah (2):275

Keistimewaan yang terpancar dalam sistem keusahawanan yang berorientasikan muamalah Islam kerana ia disuburkan dengan nilai-nilai murni yang menjadi teras kepada model pembangunan keusahawanan yang bersifat holistik. Manifestasi keunikan yang ada pada sistem keusahawanan Islam dapat dilihat daripada amalan keusahawanan yang telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Amalan tersebut dijustifikasikan sebagai satu peraturan muamalah dan digunapakai oleh generasi Islam selepasnya. Ramai dalam kalangan sahabat besar Nabi Muhammad S.A.W melibatkan diri dunia usahawan dan telah berjaya seperti Sayyidina Abu Bakar, Abdul Rahman bin Auf dan sebagainya wajar dijadikan model yang baik untuk dicontohi oleh golongan usahawan pada hari ini.

Apabila manusia membelakangkan faktor kegamaan, golongan tersebut akan bertindak bertuhankan hawa nafsu dalam mengejar kepentingan kebendaan sehingga menghalalkan apa sahaja cara untuk memenuhi segala impian meskipun bertentangan dengan prinsip agama dan norma masyarakat. Klimaknya berlakulah penyelewengan, rasuah, spekulasi yang bertentangan dengan nilai-nilai luhur manusia, penipuan, penindasan dan perlakuan negatif yang lain sehingga boleh merosakkan sistem sosio ekonomi masyarakat. Hal yang demikian disebabkan doktrin keusahawanan dikatakan sebagai “akta kekreatifan manusia” menuntut usahawan untuk mencipta dan meneroka sesuatu nilai daripada yang tiada. Justeru itu, ia perlu diimbangi dengan asas keagamaan yang berfungsi sebagai kuasa neutral untuk mengawal tingkah laku manusia daripada melakukan kezaliman dan pencerobohan sesama manusia.

Berdasarkan pandangan Islam, usahawan yang berjaya ialah individu yang cemerlang dalam setiap lapangan yang diusahakannya dan mengamalkan sepenuhnya nilai-nilai murni agama serta dapat menyumbangkan keuntungan yang diperolehinya untuk kepentingan agama dan masyarakat amnya. Keuntungan material semata-mata bukanlah dianggap indikator untuk menunjukkan kejayaan seseorang usahawan. Sebaliknya, kejayaan yang ingin dikecapi bukan sahaja di dunia bahkan berkesinambungan dengan alam akhirat. Kunci utama yang perlu dijadikan objektif ialah mendapat keredhaaan daripada Allah S.W.T. Apabila objektif ini diletakkan sebagai matlamat utama dalam diri usahawan sudah tentulah individu tersebut akan menginsafi bahawa kebahagian dan kejayaan hakiki yang ingin dikecapi oleh manusia ialah mendapat hasanah di dunia dan akhirat. Mementingkan keuntungan di dunia semata-mata mengakibatkan manusia alpa seolah-olah kehidupan yang abadi ini hanya dinikmati di dunia semata-mata.

Nilai-nilai murni menurut perspektif Islam dan konvensional dalam konteks keusahawanan.
Dato’ Ramlan Othman (2011) menegaskan bahawa mengamalkan nilai-nilai murni keusahawanan adalah amat penting bagi memastikan perniagaan seseorang itu berjaya. Nilai dan akhlak tidak dapat dipisahkan daripada keusahawanan. Ianya merupakan asas pembentukan peribadi setiap individu muslim termasuklah golongan usahawan. Golongan usahawan tidak hanya dipandang mulia malah dijanjikan dengan balasan yang baik di akhirat sekiranya mereka benar-benar memenuhi tuntutan agama. Konsep perniagaan dalam Islam melebihi objektif dunia yang hanya berlegar di sekitar keuntungan sahaja. Dalam Islam, perniagaan mempunyai nilai dan objektif yang meliputi kehidupan dunia dan akhirat. Perniagaan bukan sahaja menjadi sumber mencari rezeki malah satu cabang ibadah yang dapat mendekatkan diri dengan Allah. Konsep ubudiyah ini sememangnya menjadi teras segala perlakuan dan aktiviti harian umat Islam. Dengan ini ibadat tidaklah terhad dengan ibadat khusus sahaja malah meliputi segala aktiviti harian yang dikira sebagai ibadah umum.

Pada asasnya, nilai murni adalah nilai bersifat universal yang menjurus kepada adab terpuji, peradaban dan tatasusila individu dalam kerangka perhubungannya dengan Tuhan, manusia dan alam. Perbincangan nilai murni cenderung membahaskan domain nilai substantif seperti agama, rohaniah, moral dan estetika yang mencetuskan stimulasi positif seperti ketenangan emosi, kedamaian pemikiran, jiwa yang bersih dan keluhuran akal budi manusia.

Nilai murni juga merangkumi set nilai yang terdiri daripada nilai instrumental, nilai mutakhir dan nilai integratif. Berdasarkan kepada penjelasan ini, dapatlah difahami bahawa unsur-unsur alam dan benda yang lain di luar kategori manusia, dianggap tidak mempunyai nilai murni.

Umumnya, nilai murni dari perspektif Islam berfungsi sebagai petunjuk dan memandu manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan melalui pedoman wahyu. Nilai-nilai murni Islam lebih fokus kepada harmonisasi antara doktrin rabbani dan kemanusiaan untuk mencapai kejayaan hakiki dalam dimensi duniawi dan ukhrawi.

Nilai murni pada pandangan Islam bersifat alami dan diikat dengan doktrin agama. Individu yang menghayati nilai-nilai itu akan mendapat ganjaran kebaikan. Bagaimanapun, jika berlaku sebaliknya dengan nilai-nilai berkenaan, maka pelakunya akan mendapat dosa. Justeru, melihat kepentingan itu, manusia diingatkan supaya memperkaya dan melengkapkan diri dari aspek zahir dan batin dengan nilai-nilai yang positif.

Ini kerana, apabila keperluan rohaniah manusia dari aspek jasad dan roh tidak disantapkan dengan nilai luhur, ia boleh menyebabkan berlakunya kecacatan. Secara tidak langsung ia boleh merosakkan fungsi asal manusia untuk menjadi insan berkualiti. Meskipun pada zahirnya kelihatan jasad individu itu nampak sihat, dari aspek batiniahnya dijangkiti dengan penyakit yang boleh merosakkan jiwa. Akibatnya, timbullah sifat gelisah, marah, dendam, kecewa dan pelbagai lagi sifat tercela.

Kehidupan manusia perlu dibimbing dengan panduan wahyu supaya setiap tindakannya sentiasa bertepatan dengan tuntutan keagamaan dan selari dengan fitrah kemanusiaan. Manusia yang terpinggir dengan pedoman wahyu sering kali melanggar arahan dan peraturan agama serta bertindak di luar norma kemanusiaan demi memenuhi cita-citanya atas desakan hawa nafsu.

Sebaliknya, individu Muslim yang beriman sentiasa bertindak berasaskan nilai-nilai mahmudah yang diutarakan oleh Islam dan sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduknya. Golongan manusia sedemikian bukan saja mempunyai personaliti dan akhlak terpuji sesama manusia, malah pada masa yang sama, mereka juga memiliki adab yang baik dengan Allah S.W.T.

Sebagai individu mukmin yang baik, ia sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seperti berakhlak, bercakap benar, beramanah, akauntabiliti, mengutamakan pemuafakatan dan persefahaman, bertoleransi, menghormati hak orang lain dan sebagainya. Manusia yang bertakwa kepada Allah SWT sentiasa berhati-hati dan takut melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syarak sama ada secara terang-terangan atau di luar pandangan manusia.

Ironinya, inilah keistimewaan dan keunikan sistem agama yang berteraskan turutan tauhid rabbani. Sistem ini dihormati dan diiktiraf oleh manusia atas sifatnya yang sejagat dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman manusia bukan saja di alam dunia bahkan berkesinambungan di alam akhirat.

Meskipun nilai-nilai murni dilihat sebagai subjektif, mengetepikan nilai moral rohaniah akan menjadi pembangunan insan tidak bersifat holistik. Ini kerana, dengan mengabaikan nilai-nilai luhur yang mempengaruhi tingkah laku manusia ia akan memberi impak negatif kepada kerangka perhubungan manusia sesama manusia secara bersepadu. Justeru, nilai murni yang bersumberkan nilai rohaniah menjadi formula terbaik untuk mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai fitrah kemanusiaan yang murni, menyedarkan manusia mengenai hak dan tanggungjawab sosial lain. 

Ciri-ciri Usahawan Muslim
Tun Dr. Mahathir (2011) menjelaskan bahawa usahawan Bumiputera yang berjaya, tidak berbangga dengan kebolehan diri dan kejayaan yang dicapai, sebaliknya haruslah menerapkan nilai-nilai murni untuk terus kekal dan maju dalam perniagaan. Melihat senario ekonomi negara kita Malaysia yang kebanyakannya dimonopoli oleh peniagaan bukan Islam sedangkan jumlah penduduknya secara majoritinya adalah Muslim. Sebagai contoh, untuk mendapatkan bekalan khususnya makanan dan bahan penyediaan makanan yang halal memang sudah dirasakan kesukarannya sejak dahulu lagi, walaupun pelbagai usaha dijalankan untuk memantau kebersihan dan jaminan halal ini namun semuanya makin belum sepenuhnya dapat dibanteras.  Masih terdapat ramai pengusaha dan peniaga yang lalai dan mengambil ringan perkara ini. Namun apa yang ralatnya ialah perniagaan makanan dan bekalan mentah adalah dijalankan dan diusahakan oleh orang bukan Islam yang sudah tentunya tidak terlalu mementingkan halal dan kebersihan mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Islam sehinggakan inti kacang yang digunakan untuk membuat roti goreng itu pun didapatkan daripada pengusaha cina yang bukan Islam. Di mana menghilangnya peniaga dan pengusaha Muslim. Adakah mungkin faktor pengusaha Muslim ini sukar untuk hidup dan maju dalam bidang usahawan kerana tiada galakan dan sambutan daripada pengguna Islam yang kurang menyokong? Ataupun mungkinkah juga kerana saingan daripada peniaga bangsa lain yang terlalu sengit sehinggakan peniaga Islam ini tidak mampu bertahan lama lalu lingkup tanpa meninggalkan walau hanya debu pun. Daya ketahanan juga merupakan faktor yang mendorong kepada kejayaan usahawan di dalam perniagaan. Ianya melibatkan penerapan nilai-nilai murni dan etika seseorang usahawan dalam melaksanakan perniagaan. Antaranya ialah sikap bersabar, jujur dan amanah (Timmons dan Spinelli, 2000; Kuratko dan Hodgetts, 2001; Rosdi, 2002). Namun apa yang kita perhatikan adalah antara punca utama usahawan dan peniaga Muslim kurang maju dalam perniagaan adalah kerana saingan dengan bangsa lain yang terlalu hebat, namun sebenarnya ia masih boleh diatasi sekiranya perniagaan itu dijalankan menurut panduan yang telah digariskan dalam Islam. Terdapat beberapa faktor yang boleh dijadikan panduan kepada seluruh usahawan dan peniaga Islam yang ingin maju dan mengorak langkah dengan jayanya dalam bidang keusahawanan ini.
 i.            Keuntungan bukanlah menjadi matlamat utama.
Jadikanlah matlamat utama berniaga adalah untuk mencapai dan mendapatkan keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Sekiranya berniaga dengan niat untuk mendapat keuntungan sahaja kita akan mudah terpesong dan melanggar prinsip perniagaan dalam Islam.  Perniagaan yang diberkati adalah perniagaan yang dijalankan secara jujur, telus dan menjadikan pelanggan itu seperti saudara sendiri.
 ii.            Jujur dan Telus
Usahawan yang jujur akan mudah mendapat tempat di hati pembeli dan pelanggan. Justeru, hubungan yang baik antara pelanggan dan peniaga akan terbina sekiranya tiada unsur-unsur mengambil kesempatan dan mengambil untung yang melampaui batas ke atas pelanggan. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda bahawa akan di masukkan peniaga yang jujur dan telus itu ke dalam syurga bersama rasul-rasul Allah dan mereka yang beriman.
iii.            Terbuka dengan kritikan
Usahawan yang ingin berjaya tidak pernah takut dan memandang negatif ke atas setiap kritikan yang diberi oleh sesiapa sahaja terhadapnya mahupun produknya. Walaupun kenyataannya kritikan itu sesuatu yang amat pahit untuk ditelan namun ianya perlu dilihat daripada sudut pandangan yang positif agar dapat bertindakbalas dengannya dan memperbaiki keadaan. Sikap sebeginilah yang menujukkan anda seorang yang berani dalam melakukan perubahan dan pembaharuan demi memenuhi keperluan pengguna.
iv.            Utamakan kebersihan
Kebersihan dalam penghasilan produk pemakanan adalah amat dituntut di dalam Islam. Menjaga kebersihan bukan sahaja mengelakkan daripada mendatangkan kemudharatan tetapi menghadirkan perasaan selesa kepada pengguna itu sendiri. Apabila timbulnya perasaan selesa tersebut, hati pelanggan akan mudah terikat dengan produk yang dihasilkan dan juga perkhidmatan yang ditawarkan.
v.            Mempunyai impian dan matlamat yang tinggi
Walau dalam apa jua bidang yang diceburi kita perlulalah bercita-cita tinggi termasuklah juga dalam bidang usahawan ini. Usahlah takut untuk mencipta dan berimpian yang besar jika kita punya kemampuan dan keupayaan untuk mencapainya. Sebagai contohnya anda bermula dengan perniagaan warung yang kecil dan seterusnya mempunyai restoran yang sederhana besar, kemudian ingin membuka beberapa rangkaian di seluruh daerah dan seterusnya negeri. Bukan susah untuk merancang, tetapi apa yang sukarnya ialah untuk melaksanakannya, namun anda masih punya pilihan samada untuk membiarkan sahaja impian itu berkubur kerana semangat anda yang lemah atau meneruskan dan menjadikannya satu kenyataan. Segala keputusan dan hasil adalah berada di tangan anda, namun yang penting jangan lupa untuk memanjatkan doa memohon pertolongan daripada Allah SWT.
vi.            Bekerjasama dengan saingan dalam pasaran yang sama
Mentaliti masyarakat melayu yang suka dengki, hasad dan ingin untung seorang ini haruslah di kikis dan dibuang terus. Kalau bukan kerana sikap ini mungkin tidak akan ada peniaga yang dibomohkan dan disantaukan oleh orang-orang tertentu yang tidak senang dengan kejayaan seseorang itu. Kita boleh mengambil contoh peniaga bukan Islam seperti bangsa cina contohnya. Mereka benar-benar tolong menolong sesama mereka dalam perniagaan. Seperti pengalaman seorang pelajar ini yang ingin membeli telefon bimbit di sebuah kedai di ibu kota, namun model yang diinginkan tiada di kedai tersebut, tetapi peniaga cina ini tidak membiarkan pelanggannya itu berlalu begitu sahaja sebaliknya membawanya ke kedai yang berhampiran untuk membantunya membuat pilihan di sana. Perkhidmatan ini sangat memuaskan hati pelajar tersebut. Bagaimanakah peniaga cina tersebut boleh melakukan sebegitu sedangkan dia tidak mendapat sebarang untung pun di situ, hebat sungguh cara berbisnes bangsa cina ini.

Perbuatan jatuh-menjatuhkan sesama peniaga juga tidak haruslah berlaku dalam perniagaan Islam, sebaliknya haruslah bergandingan memajukannya. Menubuhkan persatuan peniaga juga boleh dipertimbangkan sebagai medan perbincangan dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam perniagaan. Melaluinya juga para peniaga boleh bertukar-tukar pendapat dan fikiran dan juga pengalaman untuk mengembangkan lagi perniagaan.
vii.            Sesekali tidak menjual barangan haram
Ada sebilangan peniaga yang tidak menganggap penjualan barangan yang haram ini sebagai satu perkara yang harus dijauhi. Barangan yang haram ini bukanlah sahaja seperti yang kita maklum iaitu arak, daging babi atau yang bersangkutan dengannya tetapi barangan curi, barangan yang boleh memudaratkan seperti dadah dan sebagainya, barangan yang salah di sisi undang-undang seperti penjualan senjata api dan daging binatang liar tanpa lesen yang sah juga dikategorikan sebagai barangan haram. Perniagaan dalam Islam ini haruslah barangan dan perniagaan yang tidak melibatkan barang yang meragukan daripada segi kandungan dan pembuatannya. Islam terlalu luas skopnya namun kenapa masih ada di antara kita yang masih ingin melibatkan dalam perkara syubhah begini.

Usahawan muslim perlulah mengambil langkah yang lebih tangkas dan cekap dalam memajukan bisnes yang melibatkan penghasilan makanan bagi umat Islam ini. Kandungan dan penjualan makanan umat Islam kini semakin tidak diambil peduli dan dipandang ringan oleh sesetengah pihak berwajib. Pengguna juga kurang mengambil berat apa yang dimakan mereka, tidak kira samaada makanan itu halal ataupun tidak, apa yang penting bagi mereka adalah sedap. Seharusnya kita sebagai umat Islam perlu menitik beratkan soal pemakanan ini sebab ia akan menjadi darah daging kita.

Menurut Khaairuddin (1996), terdapat beberapa budaya hidup yang perlu dimiliki oleh setiap diri usahawan untuk menentukan kejayaan dalam perniagaan yang diceburinya. Asas budaya hidup ini perlu diamalkan tidak mengira jenis dan saiz perniagaan tersebut. Antaranya ialah rajin dan mempunyai daya inisiatif, yakin terhadap keupayaan diri, bersikap positif, bersemangat tinggi dan bertenaga, bijak mengambil peluang dalam perniagaan dan cekal iaitu tabah serta berani menghadapi apa jua cabaran. Seterusnya usahawan juga perlu bijak mengambil risiko,mengamalkan nilai-nilai kehidupan yang mulia, cekap dalam mencari maklumat, prihatin terhadap mutu kerja yang berkualiti dan berkomitmen terhadap tugas yang diamanahkan.

Cerminan Nilai-Nilai Murni Dalam Diri Usahawan Muslim
Setiap perilaku dan pemikiran manusia yang kompleks dipengaruhi oleh sistem nilai yang menjadi nadi kepada kehidupan manusia. Secara amnya, sistem nilai yang telah bertapak kukuh dalam kosmologi pemikiran masyarakat telah distrukturkan sama ada melalui pemikiran atau diperakui oleh hukum sosiologi manusia dan diiktiraf sebagai norma-norma yang diraikan serta dihormati oleh sesuatu masyarakat. Walau bagaimanapun, perubahan yang berlaku dalam masyarakat disebabkan oleh keperluan manusia yang berbeza mengikut suasana dan realiti dan perkembangan tamadun manusia yang silih berganti menyebabkan berlakunya dikotomi nilai yang dipolemikkan oleh ahli-ahli masyarakat yang mewakili pelbagai bangsa dan kaum.

Masing-masing berpegang dengan norma dan sistem nilai yang tersendiri sehingga ada yang merendah-rendahkan dan berpandangan skeptikal di antara satu sama lain. Namun begitu, di pandang pada dimensi yang positif pula, perubahan dan perbezaan masyarakat di dunia tentang kepelbagaian sistem nilai yang didokong tersebut dilihat sebagai satu perkembangan yang positif kerana ianya telah menyumbang dan memperkayakan serta melengkapi di antara satu sama lain dalam memahami falsafah nilai. Secara tidak langsung kematangan sistem falsafah ini menjadi asas untuk memahami teoritikal nilai-nilai murni yang diterima oleh masyarakat umum. Ia memberi gambaran bahawa falsafah nilai-nilai murni yang ditaja oleh pemikiran manusia sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten dan sentiasa dibuka untuk ditafsirkan mengikut selera keperluan masyarakat.

Apabila Islam disyariatkan di atas muka bumi ini, ajarannya membawa rahmat kepada manusia, memperbaiki sistem pembangunan manusia dan memerdekakan fizikal serta fisiologi manusia kepada satu cara hidup yang sempurna. Doktrinasi ajarannya juga telah berjaya memartabatkan peradaban manusia sebagai tamadun manusiawi yang unggul dari aspek fizikal dan ma`nawi. Menyentuh tentang falsafah nilai dan norma hidup masyarakat, ajaran Islam bersikap positif terhadap sistem tersebut bahkan bersikap toleransi selagimana tidak bercanggah dengan prinsip syariat Islam. Sebagai contoh, pada ketika Islam diturunkan di bumi Arab, masyarakatnya pada masa tersebut telahpun mempunyai sistem falsafah tradisi nilainya yang tersendiri.

Tradisi nilai yang terpuji yang dipraktikkan oleh masyarakat Arab masih lagi diterima oleh Islam dan dianggap sebagai relevan dengan sistem nilai Islam. Nilai-nilai mulia masyarakat Arab seperti menepati janji, memuliakan tetamu dan nilai-nilai murni yang lain masih lagi dikekalkan dalam konsep nilai-nilai murni Islam. Oleh yang demikian jelaslah bahawa sesuatu tingkah laku atau asas pemikiran manusia yang menepati dengan sistem nilai Islam diterima sebagai perbuatan yang Islamik. Dari skala mikro pula, apabila sesuatu nilai atau norma yang dilazimi menjadi satu bentuk budaya yang dihormati dan diiktiraf oleh masyarakat Islam secara menyeluruh ia dikenali sebagai `urf yang mengikat kehidupan masyarakat. (Mahmood Zuhdi, 2006)

Jika dilihat kepada sistem nilai-nilai murni dalam skop syariat Islam, ia berasaskan kepada turutan tauhid yang menjadi acuan kepada falsafah sistem nilai. Melalui konsep pandang semesta tauhid, nilai-nilai murni dilihat bersifat sejagat atau universal dan relevan serta realistik dalam memenuhi komponen keperluan kehidupan manusia. Umumnya, nilai-nilai tersebut adalah bersumberkan wahyu serta diadun dengan pemikiran manusia untuk diterjemahkan secara praktikal.

Isi kandungan nilai-nilai tersebut juga perlu mengambilkira kepentingan dan kemaslahatan umum dan bukannya untuk kepentingan kelompok masyarakat tertentu sahaja. Atas asas inilah nilai-nilai murni yang berpaksikan ajaran agama disifatkan sebagai `alami kerana ianya tidak diwakili oleh kepentingan-kepentingan tertentu sebaliknya penghayatan dan pelaksanaannya dapat memberi jaminan kesejahteraan kepada umat sejagat.

Oleh kerana itu, Islam secara objektifnya memberi penekanan kepada manusia untuk meletakkan doktrin nilai-nilai murni sebagai asas keperluan manusiawi dalam mengurus dan mentadbir alam ini untuk melangsungkan survival ummah. Nilai-nilai murni merupakan santapan rohaniah dalam proses untuk melahirkan individu muslim yang muttaqin. Sebagai analoginya, nilai-nilai murni yang dicernakan dalam jiwa dan pemikiran seseorang ditamsilkan sebagai sinaran matahari yang menerangi alam. Cahayanya membawa manfaat yang sangat berguna kepada semua makhluk. Kekuatan dalaman (instrinsik) manusia yang disuntik dengan nilai rohaniah akan memantulkan pola perlakuan yang cenderung kepada perkara ma`ruf dan benci kepada kemungkaran seperti yang telah difardhukan oleh syara`. Ia juga dianggap sebagai daya atau momentum yang menjana kuasa dalaman manusia untuk bertindak secara positif sepertimana yang ditegaskan falsafah akhlak Islam.

Manusia yang diciptakan oleh Allah S.W.T. telah dianugerahkan dua unsur penting untuk menghidupkan lagi potensi insan sebagai khalifatulard. Unsur-unsur tersebut dikenali sebagai akal dan nafsu. Dengan adanya pemberian tersebut, akal tidak boleh bertindak secara bersendirian kerana ia memerlukan lokus kawalan iaitu perlu diberi tunjuk arah oleh wahyu. Melalui pedoman dan taufiq Ilahi inilah manusia akan selamat dan kehidupannya bertambah berkat. Ini kerana, akal tanpa bimbingan wahyu selalu tersalah dalam membuat pertimbangan kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor dalaman seperti nafsu dan faktor luaran seperti unsur-unsur persekitaran dan logik.

Unsur kedua yang dianugerahkan kepada manusia ialah nafsu. Sifat asasi nafsu ini lazimya cenderung membawa manusia kepada nilai-nilai haiwani yang menyukai kepada keseronokan keduniaan. Kehendak nafsu yang membuak-buak dan tidak terbatas kepada keperluan duniawi sentiasa mengaburi pandangan mata hati manusia daripada mencintai perkara-perkara kebaikan. Implikasinya, apabila nafsu kebinatangan ini menguasai diri manusia ia akan mencetuskan konfik dalaman dan mematikan hati untuk mengenali pintu kebenaran yang hak. (K.A Rashid, 1988)

Akibatnya, jiwa manusia tersebut diruntun dengan perasaan keluh kesah, putus asa, bertindak secara bebas meskipun bertentangan dengan nilai dan etika dan pelbagai perkara kejahatan yang lain. Walaupun pada anggapan golongan manusia tersebut dikatakan telah berjaya memuaskan kehendak nafsunya, namun secara de factonya tindakan tidak bermoral yang dilakukan tersebut mematikan roh insaniah dan menyuburkan lagi nafsu kepada unsur-unsur perlakuan jahat.

Gambaran al-Quran tentang sifat-sifat asasi nafsu yang ada diri manusia seperti berikut:
Pertama: Nafsu Ammarah: Umumnya nafsu pada tahap ini cenderung kepada unsur-unsur kejahatan. Premis kenyataan ini dijelaskan dalam al-Quran seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang”. (Yusuf:53)

Kedua: Nafsu Lawwamah: Pada kategori ini, secara tipikalnya nafsu sering mengkritik dirinya terhadap amalan yang dilakukan dan bersifat apologetik menginsafi kesalahan dan kesilapan yang lalu. Dalam masa yang sama juga, ia turut menyesali ke atas perkara kebaikan yang tidak dapat dikerjakan secara seoptimum mungkin. Sifat tabie nafsu tersebut diterangkan dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Aku bersumpah demi hari kiamat,2. Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri).” (al-Qiyamah:1-2)

Ketiga: Nafsu Mutmainnah: Dalam hirarki nafsu, kategori nafsu demikian berada pada tahap yang paling tinggi. Manusia yang memiliki nafsu pada tingkatan ini cenderung memberi ketenangan dan kebahagian kepada pemiliknya. Ini kerana, nafsu ini dikuasai dan diimbangi dengan unsur iman dan ketaqwaan yang tinggi kepada Allah S.W.T. Nafsu tersebut terarah kepada menghayati nilai-nilai agama serta mempunyai itizam yang tinggi dalam menghayati akhlak rabbani . Perkara ini dibentangkan dalam al-Quran, firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“ Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi dieidhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, Masuklah ke dalam syurga-Ku” (al-Fajr:27-30)

Bagi mengelakkan diri manusia daripada dipengaruhi oleh unsur-unsur keji yang boleh merosakkan diri dan agama, seluruh kehidupannya perlu dihiasi dengan manifestasi nilai-nilai murni yang beridealismakan nilai-nilai luhur dan mencontohi adab tingkah laku terpuji seperti yang ditunjukkan oleh keperibadian Nabi Muhammad S.A.W. Contoh personaliti ini merupakan model yang terbaik dalam kalangan manusia untuk merangka blue print sistem nilai yang berfungsi untuk memperindahkan kehalusan budi yang perlu dihayati oleh setiap manusia dalam setiap bidang kehidupan. Menyedari tentang kepentingan nilai-nilai murni perlu diaplikasikan dalam setiap ruang lingkup kehidupan manusia, setiap tindakan dan gerak-gerinya dalam berinteraksi dengan PenciptaNya, sesama manusia dan alam perlu didasari dengan nilai-nilai adab sama ada secara zahir atau batin. Individu Muslim yang dididik dan diasuh dengan nilai-nilai murni yang berasaskan kepada kesedaran akhlak dan beragama akan menjadi lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam melaksanakan tuntutan keagamaan.

Secara lebih jelas lagi, individu tersebut dapat melaksanakan tuntutan ibadah yang merangkumi ibadah khusus dan umum dengan penuh rasa rendah diri atas kesedaran bahawa Allah S.W.T sentiasa memantau dan mengawasi serta akan menghisab setiap tindakan hambaNya. Atas pertimbangan inilah, setiap aktiviti yang dilakukan bukan hanya berdasarkan orientasi keuntungan dunia yang menjadi pertimbangannya semata-mata. Bahkan amal perbuatannya merentasi kepada pertimbangan alam lain iaitu mendapat ganjaran dan habuan di akhirat kelak.

Individu mukmin yang diperkukuhkan dengan orientasi nilai-nilai murni sentiasa menunaikan tanggungjawab agamanya secara ikhlas dan jujur. Dalam ibadah khusus misalnya kewajipan menunaikan solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya dilaksanakan dengan perasaaan khusyu` dan tawaddu` mengharapkan keredhaan dan kerahmatan dari Allah Yang Maha Esa. Individu yang berjaya memenuhi tanggungjawab agama ini secara sempurna sudah pastilah jiwa dan pemikirannya bersih dari kekotoran yang dinodai dengan unsur-unsur mazmumah menjadi faktor hijab (penghalang) untuk berinteraksi dengan Allah secara lebih sempurna. Individu yang suci dari aspek zahir dan batinnya dengan nilai-nilai rohaniah akan meninggalkan kesan positif terhadap jasad dan rohnya seperti tenteram jiwanya, lapang akalnya dan tenang hatinya kerana dipenuhi dengan ilmu, hikmah dan taufiq dari Ilahi.

Manusia yang mencapai tahap sedemikian akan memperolehi ijazah yang tertinggi daripada Allah S.W.T iaitu mencapai tahap peringkat mukmin yang hakiki. Anugerah ini hanya dikurniakan kepada manusia yang memiliki kualiti iman yang jitu dan tinggi. Ini kerana, tingkatan iman yang dimiliki oleh seseorang akan menentukan status hirarkinya di sisi Allah S.W.T. Pada peringkat ini, seluruh perlakuan dan hidupnya hanya diprojekkan kepada ketaatan yang mutlak kepada Allah S.W.T. Justeru itu, apabila manusia berjaya berinteraksi secara positif dengan Allah S.W.T, secara tidak langsung ia menjadi asas yang konkrit untuk menjalinkan interaksi asas lain yang merangkumi komponen sesama manusia dan alam.

Sehubungan dengan itu, dalam memenuhi tuntutan ibadah umum yang bersifat fardhu kifayah seperti muamalah, siasah, perundangan, iqtisad (aktiviti perekonomian) dan sebagainya, perlaksanaan obligasi tersebut perlu dikombinasikan dengan nilai-nilai Islam yang murni. Sistem nilai yang berteraskan agama menjadi intisari asas kepada pembangunan insaniah. Produk manusia yang dihasilkan melalui pentarbiyahan agama akan melahirkan institusi masyarakat yang meletakkan kepentingan agama mengatasi segala-galanya. Ajarannya juga bukan sahaja diperakui sebagai undang-undang yang tertinggi tetapi juga mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengaplikasikan isi kandungannya dengan penuh hormat dan tanggungjawab.

Fenomena positif ini dapat melahirkan generasi yang diistilahkan sebagai institusi masyarakat rabbani yang mendapat keampunan dan rahmat daripada Allah S.W.T. Melihat kepada keperihalan inilah, nilai-nilai murni yang berteraskan ajaran agama perlu dijadikan sebahagian daripada komponen asas untuk pembangunan model insan yang lebih komprehensif. Penghayatan nilai-nilai murni dalam aspek kehidupan manusia akan menyuburkan nilai-nilai positif seperti berilmu, amanah, bercakap benar, berintegriti, akauntabiliti, kasih sayang, adil, hormat menghormati, kesederhanaan, berakhlak mulia, menegakkan kebenaran, keharmonian, takut kepada Allah dan pelbagai lagi.

Dalam konteks dunia sufism pula, aliran ini memberi penekanan kepada manusia untuk mengapikasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai yang digagaskan meliputi nilai siap siaga (murabatah), penetapan syarat (musyaratah), pengawasan (muraqabah), menilai diri (muhasabah), dalam beramal menghukum diri di atas kelemahan dan kekurangan yang ada (mu`aqabah), mengkritik diri dan menginsafi dengan memohon keampunan kepada Allah S.W.T melalui mekanisme taubat (mu`atabah).

Paradigma kemanusiaan atau dikenali sebagai “al-Nuz`ah al-Insaniyyah” adalah jelas diutarakan oleh Islam sebagai memperkasakan nilai-nilai kebaikan untuk kesejahteraan sejagat dan tunduk kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Apabila sinar Islam memayungi alam ini, falsafah ajarannya jelas membawa rahmat kepada seluruh manusia dan makhluk lain amnya. Mesej pengajarannya yang bersifat universal penuh dengan prinsip-prinsip kemanusiaan dan kaya dengan timbunan nilai-nilai murni yang luhur adalah sesuai dan menepati dengan keperluan fitrah manusia.

Menurut faham Islam, manusia yang menjadi penghuni alam ini mempunyai hak dan keistimewaan yang sama di sisi Allah S.W.T. Berasaskan ketentutan inilah, ajaran Islam dilihat sebagai agama yang indah yang memberikan keadilan yang sewajarnya kepada seluruh umat kerana intisari ajaran Islam menzahirkan nilai-nilai seperti kebenaran, keadilan, amanah, memelihara dan menghormati hak asasi, memperkasa citra kemuliaan manusia dan menghormati substansinya. (Wahbah Zuhaily, 1997)

Keistimewaan nilai-nilai murni yang bersendikan wahyu agung adalah berbeza dengan falsafah nilai yang ditaja oleh sistem Barat yang hanya memberi prioriti kepada asas pragmatisme dan meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan. Barat hanya sekadar melihat unsur-unsur kemanusiaan dalam aktiviti yang melibatkan sumber perekonomian, etika kerja dan faktor-faktor kebajikan. Dikotomi nilai ini berlaku disebabkan pengasingan elemen-elemen rohaniah dengan falsafah hidup manusia yang menyebabkan indikasi kepada konseptual nilai hanya diterimaoleh kelompok manusia tertentu sahaja. Pemisahan doktrinasi agama dalam memahami keperluan manusia juga menyebabkan berlakunya dekadensi moral yang boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan umat. Natijahnya, kebobrokan nilai yang berlaku dalam institusi sosial masyarakat boleh menimbulkan kekacauan, kebimbangan dan kestabilan yang bertentangan dengan semangat maqasid syariyyah yang diutarakan dalam Islam.

Menyentuh tentang isu dekandensi yang berlaku dalam masyarakat, faktor ini berlaku disebabkan perubahan kondisi yang berlaku dalam masyarakat. Menurut Mahmud al-Syarqawi, sejarah telah membuktikan bahawa perubahan gelagat manusia daripada terikat dan patuh kepada ketentuan agama dengan beriman dan berakhlak terpuji kepada kejahilan, kesesatan dan cara hidup yang bebas mengakibatkan berlakunya keruntuhan tamadun manusia (Mahmud al-Syarqawi, 1970).Simptom penyakit yang dihadapi oleh masyarakat telah berlaku sejak dari zaman Nabi Adam A.S. sehinggalah pada zaman umat Nabi Muhammad S.A.W. adalah berdasarkan skrip yang sama cuma yang membezakannya ialah watak manusia dan persekitaran. Penyelewengan akidah, kemuflisan moral dan ketandusan amalan nilai-nilai murni yang dimanifestasikan dengan kehidupan manusia yang buruk, tidak bermaruah, tercabutnya unsur-unsur kemanusiaan, penindasan, tamak, hasad dengki, kezaliman dan nilai-nilai negatif yang lain merupakan virus yang membunuh ketamadunan manusia.

Gejala-gejala negatif yang berlaku dalam masyarakat adalah disebabkan kelonggaran manusia berpegang teguh dengan panduan dan hikmah yang diturunkan oleh Allah S.W.T melalui wahyu. Apabila manusia mengutamakan kepentingan dunia mengatasi ketentuan wahyu menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dalam proses pembangunan manusia. Ditambah lagi dengan penguasaan dan monopoli tamadun kebendaan yang mengkagumkan dalam pelbagai bidang keperluan manusia menyebabkan manusia alpa kepada hakikat pencapaian tersebut. Namun disebalik kemakmuran dan pembangunan yang tidak seimbang dikecapi tersebut, mengakibatkan manusia hilang arah dan pedomannya serta luputnya nilai-nilai murni yang menjadi ukuran kejayaan manusia. Difusi nilai-nilai murni yang menjadi asas pandangan semesta masyarakat telah digantikan dengan nilai-nilai haiwaniah yang menjadi sebati dengan jiwa manusia yang menguruskan alam ini. Shahnon Ahmad (1990) 

Akibatnya, interaksi manusia dengan alam yang yang bersikap positif bertukar menjadi pasif dan golongan pelampau tersebut rakus mencabuli hak-hak alam sehingga berlaku ketidakstabilan ekosistem dan memusnahkan planet yang amat berharga ini. Dunia menjadi kacau bilau disebabkan manusia sudah tidak ada lagi arah tujuan dan berada dalam dilema dalam menaksirkan sesuatu perbuatan sama ada diklasifikasikan sebagai baik atau sebaliknya. Unsur-unsur moral hanya dijadikan khazanah yang disimpan dalam sesuatu manuskrip atau menjadi bahan sejarah dalam sesuatu ideologi atau aliran-aliran kepercayaan tertentu. Kelompok masyarakat yang sepatutnya ditegakkan atas semangat ummah yang mementingkan elemen kasih sayang, harmoni, hormat, silaturrahim dan sebagainya sudah bertukar menjadi pecah belah dan mementingkan fahaman individualistik. Pada ketika itu, manusia mula mentafsirkan nilai mengikut selera hawa nafsu dan pertimbangan akal logiknya semata-mata.

Menginsafi hakikat tersebut, manifestasi kehidupan manusia yang inginkan kesejahteraan di dunia dan akhirat atau diistilahkan sebagai (al-falah) perlu menjadikan agama sebagai tiang seri hidupnya dan nilai-nilai murni adalah pakaian zahir dan batin mereka. Justeru itu, setiap keperluan kehidupan insan yang merangkumi politik, pentadbiran, kebudayaan, kesenian, ekonomi, teknologi dan pelbagai lagi perlu diharmonisasikan dengan nilai-nilai murni yang bertunjangkan agama. Cerminan nilai-nilai murni dalam diri manusia akan memantulkan sinar rohaniah yang mengawal setiap aktiviti perlakuan insan bertindak mengikut batasan yang ditentukan oleh agama. Apa yang jelas penghayatan kepada nilai-nilai tersebut dapat menjamin kemaslahatan survival umat manusia dalam melangsung peradaban manusia yang diredhai dan diberkati oleh Allah S.W.T. Kesombongan, keegoaan dan kebongkakan manusia membelakangkan nilai-nilai murni dalam kehidupan akan mendorong mereka mencipta pelbagai bentuk kemusnahan dan ketempangan dalam sistem pembangunan insan yang bersifat holistik.

Nilai Murni Sebagai Unsur Budaya Niaga
Menyentuh nilai murni yang ada dalam masyarakat Melayu, ianya bersumber daripada nilai-nilai yang dianjurkan dalam agama Islam. Nilai yang banyak diserap dalam masyarakat sejak lebih 800 tahun memeluk Islam, termasuklah nilai jujur, amanah, bersih, adil dan hormat menghormati dan sebagainya. Nilai-nilai ini agaknya bertapak lebih kukuh dalam masyarakat kerana sesuai dengan suasana dalam masyarakat luar bandar dan berasas tani.

Nilai-nilai di atas adalah baik dan juga sesuai dalam alam perniagaan. Tetapi ia tidak cukup kerana alam perniagaan menghendaki nilai-nilai tambahan seperti kerajinan dan displin kerja yang baik, sikap tekun dalam melaksanakan sesuatu tugas(persistence), dayatahan(resilience) atau kecekalan dalam menghadapi cabaran, kecenderungan menghadapi risiko, disiplin kewangan dan sikap ketegasan. Oleh kerana alam perniagaan merupakan alam baru bagi bangsa Melayu, maka nilai-nilai ini belum cukup berkembang dalam masyarakat kita.

Sikap daya tahan yang cukup tinggi juga perlu untuk bertahan lama dalam perniagaan. Ini kerana jarang-jarang perniagaan maju dengan serta merta, tetapi memerlukan masa yang sederhana lama sebelum menunjukkan kejayaan. Ada kalanya peniaga melalui masa kejatuhan sekali dua sebelum mencapai kestabilan.

Nilai disiplin kewangan pula amat penting tetapi masih pada tahap rendah dalam masyarakat Melayu. Nilai ini wujud dalam sesebuah perniagaan jika ada kemampuan mengawal wang atau modal perniagaan hanya untuk perbelanjaan perniagaan sahaja. Kelemahan wujud apabila wang perniagaan digunakan untuk perbelanjaan keluarga, seperti membeli perabot atau kereta yang tiada kaitan dengan perniagaan. Kerap kali ini berlaku tanpa menghirau kepentingan rakan niaga dan akhirnya menyebabkan kejatuhan sesebuah perniagaan.

Sikap cenderung kepada risiko (risk preference) kini masih pada tahap yang rendah dalam masyarakat Melayu. Ini bukan sifat semula jadi bangsa Melayu, kerana Melayu tidak takut risiko dalam hidup, malah Melayu tidak takut mati kerana pegangan Agama Islam mereka. Sebab itu Melayu ramai berkhidmat dalam Perkhidmatan Polis dan Angkatan Tentera. Tetpi Melayu menjauhi risiko perniagaan, takut rugi agaknya kerana sikap Masyarakat yang memandang rendah malah mengutuk kegagalan perniagaan. Sikap ini perlu diperbetulkan, malah kaum keluarga harus digalak membantu ahli keluarga yang mengalami kegagalan yang munasabah.

Satu lagi nilai yang penting kepada usahawan Barat ialah matlamat membuat sebanyak mungkin keuntungan dan kecenderungan mengumpulkan harta sebanyak mana yang dapat. Inilah nilai penggerak utama sistem kapitalis Barat. Ini sesungguhnya bercanggah dengan nilai Agama Islam, jadi matlamat sistem kapitalis Barat perlu disesuaikan supaya tidak barcanggah dengan pegangan nilai bangsa Melayu yang beragama Islam. Ramai dikalangan para cendikiawan kita menganjurkan pendekatan secara Islam yang lebih sederhana, ia itu dengan mementingkan amal jariah dan sumbangan kepada kemajuan ummah dalam waktu yang sama menggalakkan usaha memajukan perniagaan. Bagi saya pendekatan inilah sebaik baiknya untuk masyarakat peniagaan Melayu dan beragama Islam.

Penerapan Nilai Murni Perlu Selari dengan Kemajuan Masyarakat
Nilai-nilai murni seperti di atas boleh diajar dan difahami tetapi tidak mudah diamali dan mudah pula dilupai. Ini kerana sesuatu nilai hanya menunjukkan kesannya jika di amalkan dalam masyarakat. Jika masyarakat tidak memerlukannya ia tidak akan berkembang. Sebab itulah kebanyakan nilai ini tidak berkembang dalam masyarakat kita tetapi telah menjadi sebati dalam masyarakat China dan masyarakat maju yang lain.

Penerapan nilai murni ini tidak dapat dilaksanakan dengan cepat tanpa wujudnya golongan perniagaan yang subur dalam sesebuah masyarakat. Latihan boleh diteruskan untuk menyedarkan masyarakat tentang kewujudan nilai-nilai ini, tetapi dengan tiada masyarakat perniagaan yang subur, pengetahuan ini hanya tinggal pengetahuan tanpa pegangan atau komitmen dalam masyarakat secara menyeluruh. Malah dalam masa yang singkat nilai-nilai ini akan dilupai.

Dengan suasana yang ada sekarang, di mana tahap pencapaian usahawan Melayu masih rendah, peranan aktif kerajaan amatlah penting untuk memajukan masyarakat perniagaan Islam. Ini perlu bagi mewujudkan pertumbuhan golongan usahawan yang selari dengan penerapan nilai-nilai murni dalam masyarakat, ke arah membentuk masyarakat perniagaan yang berjaya.

Terlalu banyak kelemahan dalam perlaksanaan program kerajaan yang mengekang kemajuan masyarakat usahawan pada hari ini. Dari segi pendidikan dan latihan dalam bidang perniagaan, adalah diakui kerajaan telah melakukan yang terbaik. Ia telah mengwujudkan banyak institusi pengajian tinggi awam disamping puluhan institusi swasta yang mengendali program program latihan dalam segala bidang, termasuk bidang perniagaan dan yang berkaitan dengannya. Di samping itu, Kerajaan telah juga melaksanakan program program khas melatih usahawan Bumiputera. Dari sudut lain Kerajaan telah menyediakan bermacam macam program yang menyediakan kemudahan seperti pinjaman mudah, premis perniagaan, kajian pasaran dan kajian kemungkinan projek, malah sebahagian modal niaga dan modal promosi pasaran. Dari segi pasaran, kerajaan telah mengagihkan kontrak pembinaan dan pembekalan khas untuk bumiputera. Semua program untuk Bumiputera ini sedikit sebanyak memberi gambaran yang golongan Peniaga Bumiputera dilayani seperti anak emas.

Jika itu hakikatnya, mengapakah mereka belum cukup berjaya? Apakah mungkin, layanan yang berlebihan sebegitu rupa yang membuat usahawan Bumiputera terlalu selesa sehingga hilang motivasi untuk bersaing? Jika begitu, mungkinkah prestasi usahawan Bumiputera dapat di tingkatkan dengan cara mewujud suasana yang lebih kompetitif? Dan bgaimanakah suasana ini boleh diwujudkan?

Sebaliknya, betulkah persepsi rakyat bahawa wujudnya pilihkasih dan kesilapan dalam pengagihan kontrak kerajaan dan perlaksanaan program penswastaan? Jika betul, pasti gejala ini telah banyak menjejaskan pertumbuhan perniagaan Bumiputera, sekaligus melemahkan proses penerapan nilai nilai murni ke dalam masyarakat.

Kesan-Kesan Pengabaian Nilai-Nilai Murni Dalam Perniagaan
Al-Quran secara jelas mengkritik golongan manusia yang bertindak melakukan penyelewengan dan mengabaikan nilai-nilai murni dalam setiap aktiviti perniagaan. Golongan ini melakukan penipuan dan penindasan dalam perniagaan disebabkan keuntungan merupakan objektif yang penting dalam hidup mereka. Sikap sedemikian dicela oleh al-Quran sebagaimana dapat dilihat dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“ Celakalah untuk tiap-tiap orang pengumpat dan pencela yang mengumpul harta benda dan menghitung-hitungkannya, tidakkah ia mengira bahawa hartanya itu akan mengekalkannya di dunia ini?” (104:1-3)

Dalam surah yang lain, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Perlumbaan memperbanyakkan harta dan anak-anak telah melalaikan kamu (iaitu mengabaikan nilai-nilai yang lebih mulia) sehingga kamu masuk kubur”. (102: 1-2)

Secara amnya, aktiviti pengumpulan harta sangat dituntut oleh Islam, meskipun begitu ia perlu berjalan atas landasan turutan yang adil dan tidak berlaku kontradiksi dengan kepentingan umum manusia. Justeru itu, Islam telah pun menyediakan satu garis panduan berkaitan bentuk-bentuk perniagaan yang dihalalkan dan melarang aktiviti perniagaan yang mempunyai unsur-unsur yang diharamkan. Oleh yang demikian seseorang usahawan yang mengabaikan nilai-nilai murni dalam kegiatan perniagaannya akan mendedahkan dirinya melakukan perkara yang boleh merosakkan kepentingan masyarakat dan merampas hak orang lain. Di samping itu juga, nilai-nilai negatif yang diamalkan oleh sebahagian daripada usahawan secara tidak langsung boleh merosakkan akhlak dalam sesebuah masyarakat. Menginsafi hakikat ini menyebabkan Islam mengharamkan perbuatan yang bercanggah dengan norma-norma masyarakat dan agama seperti amalan riba, tipu helah, judi, sorok barang dan pelbagai lagi. Islam juga melarang penganutnya daripada melakukan pembaziran. Sebagai contoh, menggunakan pinggan yang diperbuat daripada emas untuk hidangan makanan kerana ia boleh mengundang kepada perasaan sombong, riak dan sebagainya.

Natijahnya, keusahawanan yang bercitrakan kerangka Ilahi akan membentuk satu sistem perekonomian yang mengutamakan prinsip keadilan dan kesaksamaan serta nilai-nilai murni yang positif. Justeru itu, nilai-nilai murni yang berorientasikan prinsip akhlak yang terpancar melalui aktiviti keusahawanan akan meninggalkan kesan yang praktikal dalam kehidupan seseorang. Dalam masa yang sama ia bertindak sebagai tenaga kawalan dalaman dalam diri seseorang dalam setiap tingkah laku. Atas kesedaran inilah para usahawan perlu memberi penekanan terhadap nilai-nilai murni dalam sebarang aktiviti ekonomi mereka seperti berakhlak terpuji, profesionalisme, keadilan, amanah, berintegriti, bersyukur, amanah, bertanggungjawab dan sebagainya. Pengabaian kepada penghayatan nilai-nilai murni tersebut akan melahirkan individu usahawan yang bersifat individualistik, materialistik, bersikap Michiavelli, mengejar jalan pintas untuk mengaut keuntungan sehingga sanggup membelakangkan nilai-nilai luhur agama dan kepentingan umum masyarakat.

Kesimpulan
Secara konseptualnya, usahawan berjaya boleh ditakrifkan sebagai individu yang cemerlang dalam aktiviti keusahawanan dan komited terhadap perintah agama atas kapasitinya sebagai seorang muslim, mukmin dan muhsin. Dalam Islam, ketentuan untuk mencapai kejayaan ini dikenali sebagai konsep al-Falah. Dengan kata lain, konsep ini dapat difahami sebagai pencapaian cemerlang yang mencakupi keseluruhan aspek kehidupan manusia dari aspek kerohanian, kebendaan, moral dan sebagainya untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Kehidupan yang baik dan sejahtera serta sentiasa mendapat keberkatan dari Allah S.W.T. Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagian) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan habuanmu dari (kenikmatan) di dunia.”
(Al-Qasas: 77).

Melalui konsep ini, golongan usahawan akan lebih cenderung untuk berusaha secara konsisten melaksanakan tugasnya sebagai khalifah al-Ard untuk melakukan kebaikan kepada manusia demi mencari keredhaan yang hakiki. Semangat al-Falah yang dihayati oleh usahawan muslim akan mendorong mereka mengoptimumkan segala sumber-sumber yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T untuk kemaslahatan umat manusia sejagat.

Usahawan muslim perlu memastikan mereka menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang bentuk penyelewengan dan unsur-unsur yang boleh mencemarkan keharmonian sistem keusahawanan Islam. Harta yang diperolehi melalui aktiviti perekonomian bukan bersifat pemilikan yang mutlak, sebaliknya manusia hanyalah sebagai pemegang amanah yang menguruskan sumber tersebut. Usahawan berjaya juga perlu mengambilkira faktor pembangunan insan dalam lapangan kerja yang diusahakannya. Contohnya, melazimkan sembahyang berjamaah dalam kalangan pekerjanya, membudayakan penghayatan ilmu dalam kalangan stafnya, bersifat terbuka dan bertoleransi terhadap kritikan yang membina, menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat luar dan menekankan nilai-nilai murni dalam organisasinya. Usahawan yang mempraktikkan nilai-nilai tersebut akan mendapat ganjaran yang besar kelak. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:

“Peniaga yang bersifat benar bersama dengan para anbiya’, siddiqin dan para syuhada’.”
(al-Thirmizi)

No comments:

Post a Comment